Penyair Palestin ditangkap Israel ketika cuba tinggalkan Gaza

Mosab Abu Taha kini tidak diketahui nasibnya. (FOTO: City Lights Bookstore)

SEMENANJUNG GAZA: Penyair dan penulis terkenal Palestin, Mosab Abu Toha telah ditangkap oleh tentera Israel ketika cuba meninggalkan Gaza.

Rakan-rakan dan ahli keluarganya telah memaklumkan tentang perkara itu berkata bahawa sebelum ini, Mosab telah diberitahu oleh pegawai kedutaan Amerika Syarikat bahawa dia dan keluarganya akan dapat menyeberang ke Mesir, kerana salah seorang anaknya adalah warganegara AS. 

“Mosab sekeluarga dalam perjalanan dari utara ke selatan Gaza, menuju ke persimpangan Rafah pada hari Ahad (19 Nov), apabila dia ditangkap bersama lelaki-lelaki Palestin lain di pusat pemeriksaan tentera Israel.

Advertisement

“Tentera menahan Mosab ketika dia tiba di pos pemeriksaan, selepas bertolak dari utara ke selatan Gaza, seperti yang diperintahkan tentera. Kedutaan Amerika menghantar dia dan keluarganya untuk melalui persimpangan Rafah,” kata abang penyair itu, Hamza, di media sosial, lapor The Guardian.

“Kini, kami tidak mendengar apa-apa perkhabaran daripadanya,” tambahnya.

Rakan Mosab, Diana Buttu, seorang peguam Palestin-Kanada dan bekas jurucakap Pertubuhan Pembebasan Palestin, berkata: “Anak lelaki Mosab yang dilahirkan di Amerika Syarikat, dibenarkan untuk dipindahkan beberapa minggu lalu, tetapi nama Mosab tiada dalam senarai.”

“Namun akhirnya, nama Mosab, isteri serta anak-anak yang lain dimasukkan dalam senarai, dan mereka sekeluarga  kemudian menunggu untuk keluar dari Gaza apabila keadaan selamat,” ujarnya.

“Mereka cuba berpindah dari utara ke selatan Gaza, apabila ditahan di pusat pemeriksaan bersama-sama ramai warga Gaza yang lain. 

“Mereka disuruh mengangkat tangan untuk menunjukkan bahawa mereka tidak membawa apa-apa barang. Isterinya memberitahu saya, Mosab kemudian diperintahkan untuk meninggalkan isteri dan anak-anaknya dan kemudian tentera menahannya, bersama ramai lelaki lain – kira-kira 200 orang. Sejak itu, isterinya berkata tidak mendengar khabar daripada Mosab.”

Jabatan negara AS mahupun Angkatan Pertahanan Israel (IDF), tidak menjawab permintaan  The Guardian untuk memberikan komen tentang perkara itu.

Terdahulu, Mosab telah menulis dalam majalah New Yorker tentang pengalamannya di Gaza  yang dibom tentera Israel ketika menetap di kem pelarian Jabalia di utara Gaza. 

Koleksi puisinya yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris di AS adalah finalis untuk anugerah National Book Critics Circle, dan memenangi anugerah America Book 2023.

“Mosab adalah salah seorang penulis kami yang paling produktif,” kata Buttu lagi. 

“Untuk diterbitkan secara meluas pada usia yang begitu muda dan mendapat semua anugerah dan pujian untuk tulisannya, ia menunjukkan kepada anda betapa hebatnya Mosab sebagai seorang penulis.”

“Dia seorang penyair yang luar biasa,” kongsi pula Laura Albast, seorang wartawan Palestin, pengarang dan rakan Abu Toha

“Puisi yang ditulisnya sangat mudah diakses, tetapi ia juga menggambarkan apa yang berlaku kepada kami (di Gaza), menceritakan bagaimana dia menunggang basikalnya untuk cuba sampai ke rumah ketika bom dijatuhkan Israel.”

Sebelum ini, Mosab dan keluarganya telah berlindung di Jabalia, di mana mereka mendapat berita bahawa kediaman mereka di Beit Lahia telah dibom. 

Dalam artikel New Yorker yang diterbitkan pada 6 Nov lalu, Mosab menggambarkan bahawa dia  telah berbasikal ke rumahnya untuk cuba menyelamatkan sesuatu daripada koleksi buku kecilnya.

“Saya berharap sekurang-kurangnya dapat mencari salinan buku puisi saya sendiri, mungkin berhampiran pokok zaitun jiran saya, tetapi tidak apa-apa pun ditemui selain serpihan konkrit rumah dan bau letupan.

“Sekarang saya duduk di penempatan sementara di kem Jabalia, menunggu gencatan senjata. Saya rasa seperti berada di dalam sangkar. 

“Saya dan penduduk Gaza ‘dibunuh’ setiap hari. Hanya dua perkara yang boleh saya lakukan ialah panik dan bernafas. Tiada harapan di sini,” tulisnya.

Sementara di laman webnya, New Yorker melaporkan bahawa keberadaan terkini Mosab tidak diketahui dan mengatakan ia telah menyertai organisasi lain dalam menyeru agar penyair itu kembali dengan selamat.  HARAKAHDAILY 21/11/2023