Banjir kilat di Ketereh, PBT tidak cukup peruntukan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) meminta kerajaan menyatakan tindakan bagi menyelesaikan sistem perparitan di Parlimen Ketereh kerana hujan berterusan menyebabkan banjir kilat.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tiada peruntukan bagi menyelesaikan isu perparitan.

- Advertisement -

“Apabila saya berhubung dengan PBT.. jawapannya adalah tidak cukup peruntukan. Apa yang berlaku di Ketereh, terutama di belakang Caltex, simpang empat di Pekan Ketereh.. air di situ apabila berlaku sahaja hujan, dia terus sampai ke dalam rumah.

“Jadi macam mana caranya untuk (macam menteri bagi tahu tadi kena minta daripada kementerian).. okay sekarang ini, jawapan yang saya dapat daripada PBT tak cukup kewangan, jadi macam mana saya nak menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kementeriannya cakna dalam usaha menjamin ketenteraman dan keselamatan rakyat yang berhadapan dengan bencana banjir kilat serta menyokong pelaksanaan projek-projek tebatan banjir yang dimohon oleh PBT.

“Dari segi peruntukan itu kepada PBT boleh datang daripada pelbagai pihak. Masalah yang berlaku di Kelantan.. caruman (perparitan) itu tidak wujud maksudnya, di peringkat kerajaan negeri tabung sedemikian rupa tidak diwujudkan maka, segala-galanya (bencana) hanya bergantung kepada dana yang disalurkan di peringkat kementerian.

“Sedangkan negeri-negeri lain pun telah mewujudkan caruman perparitan ini bagi membolehkan PBT itu menambah baik dalam sistem perparitan.

“Cuma untuk permohonan kementerian akan mempertimbangkan. Mohon kerjasama semua pihak untuk kita tingkatkan lagi keberkesanan dalam menguruskan sistem perparitan dan longkang,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/11/2023

- Advertisement -