KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta membuat penjelasan berhubung penangguhan pengumuman mengenai Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (IPKN) oleh Kementerian Pertahanan.
Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) mempersoalkan sama ada penangguhan tersebut berpunca akibat skandal pembinaan kapal peronda generasi kedua Littoral Combat Ship (LCS).
Menurutnya, dokumen utama IPKN bertujuan untuk membina keupayaan industri pertahanan yang ada di negara ini seperti pembinaan kapal perang.
Katanya, pembelian kapal Littoral Mission Ship (LMS) dari luar negara menyebabkan penerangan di IPKN tidak lagi relevan dan bertentangan dengan pembelian terus yang akan dilaksanakan oleh kerajaan.
“Jadi saya ingin mohon penjelasan menteri mengenai penangguhan tersebut,” katanya ketika Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menyatakan bahawa kerajaan tidak menangguhkan pengumuman tersebut kerana memerlukan perkara itu dimuktamadkan yang melibatkan kerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Kita sudah memuktamadkan perbincangan dengan pihak MITI bagi memastikan dasar industri pertahanan tidak bercanggah dengan apa yang telah dirancang dalam konteks pembangunan negara kita,” katanya.
Tambah beliau, isu yang melibatkan LCS dan seumpamanya tidak terkait dalam perkara tersebut memandangkan terdapat teras-teras asas yang perlu diambil kira dalam merangka Dasar Industri Pertahanan. – HARAKAHDAILY 21/11/2023