PRK Kemaman: Tempoh serah borang pencalonan tamat

- Advertisement -

KEMAMAN: Tempoh penyerahan borang bagi calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman tamat.

- Advertisement -

Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab mengumumkan demikian sebentar tadi.

Tempoh proses penamaan calon selama sejam di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman bermula jam 9.00 pagi tadi.

Hanya dua calon sahaja yang telah mengemukakan borang pencalonan iaitu Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada PRU15 lalu, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi apabila memperolehi 65,714 undi, menewaskan Dato’ Seri Ahmad Said (BN-Umno) yang mendapat 38,535 undi, Hasuni Sudin (PH-PKR – 8,340) dan Rosli Ab Ghani (Pejuang – 506).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman diadakan pada 2 Disember dan pengundian awal 28 November.

Daftar pemilih yang digunakan pada PRK itu ialah yang dikemaskini sehingga 3 Oktober lalu dengan jumlah 141,790 pemilih. – HARAKAHDAILY 18/11/2023

- Advertisement -