PN sentiasa cakna isu rakyat termasuk pemandu lori

- Advertisement -

KEMAMAN: Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS Pusat, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin berkata, PERIKATAN NASIONAL (PN) sentiasa cakna isu-isu rakyat termasuk melibatkan pemandu lori.

- Advertisement -

Beliau yang mengetuai Portfolio Pengangkutan PERIKATAN NASIONAL turut menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi Parlimen Malaysia berkata, jawatankuasa tersebut sentiasa mengadakan pertemuan dan perbincangan perkara-perkara terkait isu pengangkutan.

Namun, ujarnya perkara yang berkaitan dengan dasar dan polisi perlu ada data kajian sebelum sesuatu peraturan dibentang untuk dipinda.

Beliau menyatakan demikian semasa mengadakan pertemuan bersama Persatuan Pengusaha Lori Terengganu usai Majlis Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, di sini hari ini.

“Pemandu lori ni ejen yang penting untuk pastikan rangkaian logistik tidak lumpuh. Kita akan teliti setiap aduan, pandangan dan cadangan.

“Insya-Allah kami daripada PERIKATAN NASIONAL sentiasa cakna isu-isu rakyat tidak terkecuali yang melibatkan pemandu lori,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Jerantut.

Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor yang turut hadir pada pertemuan itu berkata, permasalahan berkaitan demerit pernah dibangkitkan pada sidang parlimen Februari lalu.

“Jawapan Menteri Pengangkutan tidak jelas dalam isu demerit. Saya setuju kena teliti semula,” ujar beliau.

Sementara itu, pengerusi persatuan, Fadli Hisham hadir bersama enam wakil persatuan berkongsi beberapa perkara yang menjadi keresahan dalam kalangan pemandu lori.

Beliau turut mempersoalkan beberapa peraturan yang dilihat mempersulitkan tugasan hakiki pemandu.

“Kita minta supaya beberapa peraturan dan SOP diberi kelonggaran seperti berkaitan had muatan dan klasifikasi berkaitan muatan berbahaya.

“Kompaun kena bayar, poin demerit kena juga. Ini yang ramai pemandu suarakan supaya kerajaan teliti semula,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/11/2023

- Advertisement -