PAS tidak pandang mudah calon parti lawan – Dr Samsuri

- Advertisement -

KEMAMAN: PAS tidak memandang mudah calon parti lawan yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman 2 Disember ini, biarpun menang dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, parti itu tidak boleh merasa selesa walaupun menang kerusi berkenaan pada PRU lepas dengan majoriti besar.

- Advertisement -

Katanya, beliau menghormati calon tidak kira dari mana, hatta daripada parti bebas sekalipun.

“Secara peribadi saya menghormati mana-mana calon, tidak ada unsur kita memandang sebelah mata sahaja calon lawan,” katanya pada sidang media selepas Ceramah Perdana Majlis Pengisytiharan Calon PAS PRK Kemaman, di Dewan Terbuka Kemaman Arena Square, di sini malam tadi.

Beliau yang juga calon PAS sebagai mewakili PERIKATAN NASiONAL (PN) berkata, sekiranya diberi mandat rakyat pada 2 Disember ini, isu-isu berkaitan Terengganu boleh diketengahkan di Dewan Rakyat.

“Tentulah peranannya besar boleh dimainkan dan sangat memberi manfaat kepada rakyat. Yang paling penting ia dapat memberikan lebih nilai tambah kepada rakyat,” katanya.

Oleh itu beliau yang juga Adun Ru Rendang berharap pengundi yang berada di luar dan dalam Kemaman hendaklah keluar mengundi beramai-ramai.

“Tidak ada pilihan raya yang tidak penting, semua pilihan raya adalah penting. Kecil ke besar ke semua ada cabaran..,” katanya.

Barisan Nasional (BN) pula mencalonkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen Kemaman. – HARAKAHDAILY 17/11/2023

- Advertisement -