Surah Taha: Prinsip, pendekatan dan cabaran dakwah (7)

- Advertisement -

KEBENARAN hari akhirat

- Advertisement -

مَنْ اَعْرَضَ عَنْهُ فَاِنَّهٗ يَحْمِلُ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ وِزْرًا

“Barangsiapa berpaling daripadanya (al-Quran) itu, maka sesungguhnya dia akan menanggung beban (dosa) yang berat pada hari Kiamat, (100)”

Ada orang-orang yang menolak al-Quran terutamanya orang-orang kafir begitu juga orang Islam sendiri ada yang menolaknya dengan maksud tidak beramal dengannya akan menanggung dosa yang berat di hari kiamat:

خٰلِدِيْنَ فِيْهِ ۗوَسَاۤءَ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ حِمْلًا

“Mereka kekal di dalam keadaan itu. Dan sesungguhnya, buruknya beban dosa itu bagi mereka pada hari kiamat, (101)”

Berat tanggungannya apabila masuk ke dalam neraka. Kalau kita demam pun sudah berasa susah, ini baru di dunia. Kita boleh bayanglah bagaimana azab dan tanggungan di akhirat nanti:

يَّوْمَ يُنْفَخُ فِى الصُّوْرِ وَنَحْشُرُ الْمُجْرِمِيْنَ يَوْمَىِٕذٍ زُرْقًا

“Pada hari (kiamat) sangkakala ditiup (kali yang kedua) dan pada hari itu Kami kumpulkan orang-orang yang berdosa dengan (wajah) biru pudar, (102)”

Sangkakala ditiup sebanyak dua kali. Tiupan yang pertama adalah di saat semua makhluk yang ada di langit dan bumi mati. Tiupan yang kedua adalah di saat semua makhluk yang mati itu bangkit semula dan bergerak ke Padang Mahsyar.

Dalam ayat ini, tiupan yang dimaksudkan adalah tiupan yang kedua kali, di mana semua manusia tidak kira sama ada beriman atau tidak dihimpunkan sekali. Orang yang tidak beriman bangkit dalam keadaan kelabu mata yang bermaksud tidak tahu hala tuju ke mana: 

يَّتَخَافَتُوْنَ بَيْنَهُمْ اِنْ لَّبِثْتُمْ اِلَّا عَشْرًا

Mereka saling berbisik sesama sendiri: “Kamu tinggal (di dunia) tidak lebih sepuluh (hari).(103)”

Orang-orang kafir saling berbisik antara satu sama lain mengenai keadaan yang mereka sedang hadapi. Apa yang dimaksudkan dengan sepuluh dalam ayat ini tidak disebut dalam kitab tafsir: 

نَحْنُ اَعْلَمُ بِمَا يَقُوْلُوْنَ اِذْ يَقُوْلُ اَمْثَلُهُمْ طَرِيْقَةً اِنْ لَّبِثْتُمْ اِلَّا يَوْمًا

“Kami lebih mengetahui akan apa yang mereka katakan, ketika orang yang paling lurus jalannya mengatakan: “Kami tinggal (di dunia), tidak lebih daripada sehari sahaja.” (104)”

Masa yang disebut tidaklah tepat cuma anggaran sahaja. Masing-masing membuat andaian. Ayat ini menunjukkan bahawa ia sebentar sahaja, itulah perbandingan antara kehidupan di dunia dan akhirat. Walaupun hidup selama 100 tahun, kemudian meninggal, berada di dalam kubur beratus-ratus tahun tetapi kehidupan di akhirat lebih singkat daripada itu. Sebab apabila masuk ke dalam syurga atau neraka, kekal sampai bila-bila dan tiada tempoh.

Yang berada di dalam neraka akan menanggung azab sampai bila-bila sekiranya Allah tidak mengampuninya. Yang berada di dalam syurga pula akan merasai nikmat dan tidak tua sampai bila-bila.

Nabi S.A.W pernah berkata kepada seorang wanita tua bahawa orang tua tidak boleh masuk syurga [1]. Tiada orang yang masuk syurga dalam keadaan tua dan sakit. Cara pembuangan kumuh dalam syurga adalah melalui peluh:

وَيَسْـَٔلُوْنَكَ عَنِ الْجِبَالِ فَقُلْ يَنْسِفُهَا رَبِّيْ نَسْفًا

“Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) mengenai gunung-gunung, maka katakanlah: “Tuhanku akan menghancurkannya (pada hari Kiamat) sehancur-hancurnya, (105)”

Antara perkara yang ditanya oleh orang kafir kepada Nabi S.A.W adalah mengenai keadaan gunung-ganang di kemudian hari. Sesetengah orang pada zaman dahulu menyembah dan memiliki kepercayaan tertentu terhadap gunung. Contohnya, orang Kadazandusun memuja Gunung Kinabalu sebab takut dengannya. Puncaknya tidak kelihatan kerana ditutupi oleh awan, jadi orang berasa takut nak mendakinya sebab takut hilang.

Gunung-ganang akan menjadi hancur seperti debu yang ditiup oleh angin. Dalam kajian sains, bumi akan pecah dengan sendiri. Akan berlaku pertembungan antara planet. 

فَيَذَرُهَا قَاعًا صَفْصَفًا

“Kemudian Dia akan menjadikan (tapak gunung-gunung) itu rata sama sekali, (106)”

Bumi akan runtuh dan menjadi rata: 

لَّا تَرٰى فِيْهَا عِوَجًا وَّلَآ اَمْتًا

“(Sehingga) kamu tidak akan melihat lagi ada tempat yang rendah atau yang tinggi di sana. (107)”

Ini merupakan sebahagian daripada peristiwa hari kiamat. Gunung akan runtuh. Laut akan bergelora dan terbakar hangus. Ayat-ayat al-Quran boleh digunakan untuk berubat atas niat kita dan izin-Nya:

يَوْمَىِٕذٍ يَّتَّبِعُوْنَ الدَّاعِيَ لَا عِوَجَ لَهٗ ۚوَخَشَعَتِ الْاَصْوَاتُ لِلرَّحْمٰنِ فَلَا تَسْمَعُ اِلَّا هَمْسًا

“Pada hari itu mereka menurut (panggilan) penyeru (malaikat) tanpa berbelok-belok (membantah) dan semua suara tunduk merendah kepada Tuhan Yang Maha Pengasih, dan Dia redhai perkataannya. (108)”

Pada hari kiamat, malaikat mengawal makhluk-makhluk lain supaya tidak melencong ke arah lain. Dalam riwayat ada menyebut, ibarat malaikat mengusir anak kambing.

Semua makhluk berhimpun dan hanya suara Allah yang kedengaran. Cuma ada juga bisikan-bisikan manusia dan bunyi tapak kaki yang perlahan. Semua berasa takut dengan-Nya. Ibarat murid-murid sekolah yang berhimpun dan diam ketika guru besar berucap di hadapan: 

يَوْمَىِٕذٍ لَّا تَنْفَعُ الشَّفَاعَةُ اِلَّا مَنْ اَذِنَ لَهُ الرَّحْمٰنُ وَرَضِيَ لَهٗ قَوْلًا

“Pada hari itu, tidak berguna syafaat (pertolongan), kecuali daripada orang yang diizinkan oleh Tuhan Yang Maha Pengasih, dan Dia redhai perkataannya. (109)”

Pada hari kiamat, tiada seorang pun yang dapat menolong kecuali orang yang diberi izin oleh-Nya. Ada sesetengah pandangan menyatakan bahawa tiada syafaat langsung di akhirat kecuali Nabi. Tetapi pandangan yang masyhur menyatakan ada syafaat daripada orang alim, hafiz al-Quran dan para syuhada. Budak yang meninggal sewaktu masih kecil juga diberi peluang untuk memberi syafaat kepada ibu dan bapanya [2].

Kata ulamak, pilihlah sahabat-sahabat yang baik. Mudah-mudahan dia boleh menolong kita di akhirat nanti. Kalau berkawan dengan kawan yang kurang baik, nanti dia tidak boleh menolong dirinya sendiri, inikan pula nak menolong kita.

Kita berkawan dengan orang alim dengan maksud kita menghormati dan memuliakannya dengan harapan sekurang-kurangnya dia akan mengingati kita kelak. Misalnya, seorang pensyarah yang mengenal anak muridnya, kalau muridnya berkelakuan baik, dia akan menaikkan markah peperiksaan supaya lulus:

يَعْلَمُ مَا بَيْنَ اَيْدِيْهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلَا يُحِيْطُوْنَ بِهٖ عِلْمًا

“Dia (Allah) mengetahui apa yang di hadapan mereka (yang akan terjadi), dan apa yang di belakang mereka (yang telah terjadi), sedang ilmu mereka tidak dapat meliputi ilmuNya. (110)”

Ilmu Allah meliputi segala-galanya. Dia mengetahui jumlah air dalam laut dan pasir di pantai. Kata ulamak, Dia mengetahui secara ‘detail’.

Kehebatan ayat al-Quran

وَعَنَتِ الْوُجُوْهُ لِلْحَيِّ الْقَيُّوْمِۗ وَقَدْ خَابَ مَنْ حَمَلَ ظُلْمًا

“Dan semua wajah tertunduk di hadapan (Allah) Yang Hidup dan Yang Kekal Mentadbir. Sesungguhnya telah rugi orang yang melakukan kezaliman. (111)”

Semua makhluk berdepan dengan Allah dalam keadaan tunduk kerana berasa hina. Semua diam membisu disebabkan oleh kehebatan-Nya. Orang yang melakukan kezaliman amatlah rugi.

Ini merupakan salah satu yang disebut sebagai Ismullah Al-A’zam atau nama Allah yang paling agung. Dalam sebuah Hadis disebutkan bahawa ada tiga tempat dalam al-Quran seperti dalam Surah Al-Baqarah (ayat Kursi), surah Aali-Imran dan surah Taha [3] yang menyatakan nama Allah yang istimewa iaitu Al-Hayyul Qayyum.

Kita boleh menggunakannya sekiranya berada dalam keadaan terdesak. Kalimah ini dikatakan telah digunakan oleh ‘Asif Bin Barkhiya ketika memacakkan tongkatnya di atas tanah yang memindahkan singgahsana Balqis ke istana Nabi Sulaiman.

Kata Ibn Qayyim, ayat al-Quran menjadi berkesan apabila dibaca oleh orang yang kuat iman, bersih hati, amal yang baik dan hubungannya dekat dengan Allah S.W.T. Cara berubat dengan menggunakan air tawar menjadi lebih berkesan berbanding dengan ubatan.

Sesetengah orang membaca ayat dalam air dan ia berkesan dan sesetengahnya pula tidak. Ini disebabkan oleh kekuatan rohani orang yang membaca ayat dalam air tersebut. Faktor lain adalah bergantung pada amalan harian yang dilakukan dan juga keikhlasan. Dengan faktor-faktor tersebut, ia akan mengubah sifat air dan air itu menjadi penawar.

Kita kena memahami suatu perkara secara rohani bukan secara fizik sahaja. Ada banyak perkara yang tidak dapat difikir oleh akal. Dalam kisah Imam Abu Hanifah, ada orang yang diganggu histeria tidak sembuh-sembuh di Baghdad. Abu Hanifah berjaya mengubatinya hanya dengan menggunakan terompahnya sehingga orang itu sembuh bertahun-tahun.

Setelah kematian Abu Hanifah, orang itu kembali jatuh sakit. Dua orang anak muridnya bernama Abu Yusuf dan Muhammad bin Al-Hasan mencuba dengan cara yang sama dibuat oleh Abu Hanifah sebelum ini. Namun, orang itu tidak sembuh malah mengecam bahawa terompah yang digunakan bukan lagi milik Abu Hanifah.

Perubatan Islam sebenarnya bukan setakat membaca ayat al-Quran malah termasuk mengambil suntikan dan ubatan yang halal dan tidak bercanggah dengan syarak. Nabi S.A.W sendiri pernah menggunakan barang bukan jampi. Nabi pernah mengalami luka dan pendarahan yang teruk dalam peperangan. Anak Baginda iaitu Fatimah membakar tikar dan abunya ditampal pada luka tersebut [4]. Tikar itu diperbuat daripada daun yang hanya ada di Tanah Arab, maksudnya bukan tikar yang sembarangan.

Sahabat lain datang mengadu kepada Nabi bahawa dia mengalami sakit perut. Nabi menyuruhnya supaya meminum madu namun dia tidak sembuh. Bukan bermakna madu tidak menjadi penawar tetapi perut dia sebenarnya yang bermasalah [5]: 

وَمَنْ يَّعْمَلْ مِنَ الصّٰلِحٰتِ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَا يَخٰفُ ظُلْمًا وَّلَا هَضْمًا

“Dan barangsiapa yang mengerjakan amal-amal soleh, sedang dia (dalam keadaan) beriman, maka tidaklah dia takut dizalimi (terhadapnya) dan tidak (pula takut) akan pengurangan haknya. (112)”

Orang yang beriman dan beramal soleh tidak berasa bimbang dalam hidup. Sebab iman yang menjaganya dan dia yakin dengan amalnya bahawa Allah akan memberi kebaikan kepadanya. Dengan iman yang benar dan amal soleh, kita boleh hadap segalanya dalam hidup.

Tidak bermakna kita tidak berasa sedih, runsing dan bimbang sebab itu memang perangai manusia. Jangan membiarkan perasaan tersebut menyebabkan kita hilang pertimbangan. Bacalah doa kalau berasa runsing [6]: 

يا حي يا قيوم برحمتك أستغيث، أصلح لي شأني كله، ولا تكلني إلى نفسي طرفة عين

“Wahai Tuhan Yang Hidup Yang Maha Berdiri Dengan Sendiri dengan rahmat Engkaulah aku meminta tolong, perelokkanlah segala urusan urusanku keseluruhannya, dan janganlah Engkau membiarkanku kepada diriku sendiri walau sekelip mata”. 

Satu doa lagi untuk menghilangkan rasa sedih dan juga untuk melunaskan hutang [7]:

اللهم إني أعوذ بك من الهمِّ والحزن، والعجز والكسل، والجبن والبخل، وضلع الدَّين، وغلبة الرِّجال

Begitulah, sentiasa ada doanya yang dituntut untuk kita membacanya pada setiap pagi dan petang: 

وَكَذٰلِكَ اَنْزَلْنٰهُ قُرْاٰنًا عَرَبِيًّا وَّصَرَّفْنَا فِيْهِ مِنَ الْوَعِيْدِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُوْنَ اَوْ يُحْدِثُ لَهُمْ ذِكْرًا

“Dan demikianlah Kami menurunkan Al-Quran dalam Bahasa Arab, dan Kami terangkan berulang-ulang di dalamnya sebahagian ancaman supaya mereka bertakwa, atau agar (al-Quran) itu memberi pengajaran bagi mereka. (113)”

Al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab. Selain Bahasa Arab, itu bukan al-Quran. Juga bukan yang diterjemah atau dicampuraduk. Bahasa Arab tidak dapat ditandingi dari segi makna, balaghah dan nahunya. Ia merupakan bahasa yang paling hebat di dunia.

Ulamak yang menterjemahkan al-Quran tidak mengabaikan walau satu perkataan. Hatta huruf wau pun diberikan makna. Sebab bimbang akan lari daripada maksud yang sebenar:

فَتَعٰلَى اللّٰهُ الْمَلِكُ الْحَقُّۚ وَلَا تَعْجَلْ بِالْقُرْاٰنِ مِنْ قَبْلِ اَنْ يُّقْضٰٓى اِلَيْكَ وَحْيُهٗ ۖوَقُلْ رَّبِّ زِدْنِيْ عِلْمًا

“Maka Maha Tinggi Allah, Raja yang sebenar-benarnya. Dan janganlah engkau (Muhammad) tergesa-gesa (membaca) al-Quran sebelum selesai diwahyukan kepadamu dan katakanlah: “Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmu kepadaku.” (114)”

Nabi dilarang untuk membaca al-Quran dengan tergesa-gesa semata-mata untuk mengikut malaikat Jibril. Allah menyuruh Baginda supaya membaca doa dalam ayat ini. Ia boleh diamalkan oleh orang-orang yang sedang menyambung pengajian. Semakin kita belajar, semakin kita tidak tahu. Orang yang cerdik sentiasa menimba ilmu:

وَلَقَدْ عَهِدْنَآ اِلٰٓى اٰدَمَ مِنْ قَبْلُ فَنَسِيَ وَلَمْ نَجِدْ لَهٗ عَزْمًا

“Dan sesungguhnya Kami telah pesankan kepada Adam dahulu, tetapi dia lupa dan Kami tidak dapati kemahuan yang kuat padanya. (115)”

Ayat ini mengingatkan Nabi S.A.W supaya tidak berlaku seperti yang telah berlaku kepada Nabi Adam. Sebab Nabi Adam pernah dipesan supaya tidak mendekati suatu pokok dalam syurga. Inilah kelemahan kita iaitu mudah lupa. Sifat ini menyebabkan kita mudah melakukan perkara-perkara yang Allah larang.

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Yang di-Pertua Dewan Negeri Kelantan, Dato’ Sri Amar Diraja Haji Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 13 November 2023 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan.HARAKAHDAILY 17/11/2023

Rujukan:
[1] Diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi dalam kitabnya Al-Shamail (no.241).
[2] Berdasarkan Hadis Riwayat Ibnu Majah (no. Hadis 1609).
[3] Hadis Riwayat Ibnu Majah (no. Hadis 3856).
[4] Hadis Sahih Riwayat Imam Bukhari (no.Hadis 5722).
[5] Hadis Sahih Riwayat Imam Bukhari (no.Hadis 5716).
[6] Hadis Riwayat Imam An-Nasa’i (6/147).
[7] Hadis Sahih Riwayat Imam Bukhari (no.Hadis 2679).

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!