Perlis lantik 2 lagi anggota Exco

- Advertisement -

KANGAR: Dua lagi Adun PERIKATAN NASIONAL (PN) dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi penggal baharu berkuat kuasa pada 25 November ini.

- Advertisement -

Wakil rakyat tersebut iaitu Adun Kayang, Asrul Aimran Abd Jalil dari PAS dan Adun Tambun Tulang, Wan Zikri Afthar Ishak (Bersatu).

Dengan pelantikan itu menjadikan jumlah anggota Exco Perlis sekarang sebanyak tujuh orang.

Asrul Aimran akan memegang portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Pembangunan Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan.

Manakala Wan Zikril Afthar pula menerajui Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan; Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Wilayah Ekonomi Baharu dan Pemerkasaan Usahawan dan Ekonomi Kreatif.

Selain itu, terdapat beberapa perubahan bidang tugas dalam kalangan Exco sedia ada melibatkan beberapa penyusunan semula portfolio.

Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Exco bagi penggal baharu diadakan di Istana Arau hari ini dihadiri Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Hadir sama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Menteri Besar Mohd Shukri Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof. – HARAKAHDAILY 16/11/2023

- Advertisement -