Palestin: CLJ gesa Menteri komen secara bertanggungjawab

- Advertisement -

PEGUAM Prihatin Keadilan (Concerned Lawyers for Justice – CLJ) dengan tegas mengutuk pengeboman berterusan oleh Israel ke atas Gaza. 

Ia menyebabkan kehilangan nyawa yang tidak berdosa dan krisis kemanusiaan yang teruk.

Kami amat bimbangkan kenyataan terkini oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang menyatakan bahawa Negeri Sarawak secara khususnya enggan menerima pelarian dari negara yang dicirikan kononnya oleh ‘keganasan, kemarahan, dan kebencian’. 

Sikap sedemikian bukan sahaja tidak benar, malah melambangkan kekurangan belas kasihan dan bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia dan solidariti antarabangsa. 

Adalah penting untuk menyedari bahawa individu yang melarikan diri dari zon konflik sering mencari keselamatan dan peluang hidup yang lebih baik. 

Di samping ini, pendirian sedemikian adalah bertentangan dengan prinsip non-refoulment yang semua negara-negara yang membentuk komuniti antarabangsa, termasuk Sarawak yang merupakan sebahagian dari negara Malaysia, perlu mematuhi.

CLJ menyeru Menteri Nanta Linggi untuk mempertimbangkan semula pendiriannya dan mengakui kepentingan memberikan perlindungan kepada mereka yang sangat memerlukan. 

Komuniti antarabangsa, termasuk Sarawak secara khususnya dan Malaysia secara amnya, perlu bersatu dalam memberikan sokongan dan bantuan kepada mangsa keganasan, tanpa mengira negara asal mereka.

Selanjutnya, kami meluahkan kekecewaan terhadap kenyataan baru-baru ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengura-urakan perkataan pengganas secara insinuasi kepada HAMAS. 

Walaupun CLJ mengakui kekompleksan isu geopolitik, adalah penting bagi pemimpin untuk bersikap berhati-hati dalam kenyataan mereka untuk mengelakkan penyebaran stereotaip dan maklumat yang salah. 

Label seperti ini boleh menyumbang kepada naratif yang bengkok dan menghalang usaha mencapai penyelesaian yang damai.

Kami menyeru Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mempertimbangkan dengan teliti implikasi kenyataannya dan menganggap perkara tersebut dengan perspektif seimbang dan berlandaskan fakta. 

Adalah penting bagi pemimpin untuk menyumbang kepada perbincangan antarabangsa dengan cara yang mempromosikan dialog, pemahaman, dan usaha mencapai perdamaian.

CLJ sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan komited untuk mempertahankan Perlembagaan Malaysia serta menegakkan keadilan, hak asasi manusia dan undang-undang.

Demikian itu, kami berdiri teguh dalam komitmennya terhadap keadilan, hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang dan promosi penyelesaian konflik secara damai.

Kami menyeru semua pihak yang terlibat dalam konflik Israel-Palestin untuk memberi keutamaan kepada perlindungan nyawa awam, menghormati Undang-undang Antarabangsa, dan terlibat dalam dialog bermakna untuk mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan.

PEGUAM PRIHATIN KEADILAN (CLJ)
Bangi, Selangor

CLJ adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berdedikasi untuk menegakkan prinsip keadilan, hak asasi manusia, dan kedaulatan undang-undang. Melalui advokasi dan kempen kesedaran, CLJ berusaha untuk memupuk masyarakat yang menghormati dan melindungi hak semua individu, tanpa mengira latar belakang atau keadaan mereka.HARAKAHDAILY 16/11/2023 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -