Hadiah final Jelajah Dunia BWF naik mulai tahun ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Final Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akan kekal sebagai kejohanan badminton paling lumayan di dunia dengan badan induk dunia itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan US$11.5 juta (RM kira-kira RM53.73 juta) mulai tahun ini hingga 2026.

- Advertisement -

Menurut BWF, jumlah hadiah wang tunai keseluruhan bagi tahun ini dan tahun depan ialah US$2.5 juta (RM11.68 juta) setiap satu, manakala US$3 juta (RM14.01 juta) akan diberikan kepada pemenang edisi 2025 diikuti oleh US$3.5 juta (RM16.35 juta) pada edisi 2026.

Sejumlah US$1.5 juta (RM7juta) diberikan kepada semua pemenang edisi 2022 di Nimibutr Arena, Bangkok.

Setiausaha Agung BWF, Thomas Lund, berkata suntikan wang hadiah tersebut adalah peningkatan ketara untuk keseluruhan komuniti badminton.

“Ini merupakan komitmen keseluruhan yang lebih besar kepada pemain dan menyumbang kepada peningkatan produk sukan bertaraf dunia yang kami kehendaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Final Jelajah Dunia BWF 2023 akan berlangsung di Hangzhou, China dari 13 hingga 17 Dis ini.

Di penghujung kalendar tahunan Jelajah Dunia BWF, hanya 8 pemain perseorangan atau beregu yang berada pada ranking teratas akan layak secara automatik.

Bagaimanapun, setiap negara hanya boleh diwakili maksimum dua pemain perseorangan/beregu mengikut acara.

Pemain yang layak ke Final Jelajah Dunia BWF tahun ini akan ditentukan selepas kejohanan China Masters 2023 di Shenzhen dari 21 hingga 26 Nov ini. – BERNAMA

- Advertisement -