Kepimpinan Muhyidddin tarik pelabur asing

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia Digital Economy Blueprint (MyDIGITAL) yang dilancarkan oleh Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menerajui negara berjaya menarik minat pelaburan asing.

Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu), berkata, MyDIGITAL menarik kemasukan pelaburan syarikat terkemuka dunia seperti Microsoft, Amazon, Intel dan Tesla.

- Advertisement -

“Saya minta penjelasan Yang Berhormat Menteri, adakah kerajaan akan meneruskan Dasar Ekonomi Digital ini kerana ia telah terbukti berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Amzad juga meminta kerajaan menyenaraikan kerjasama yang dilaksanakan antara MITI dan institusi pendidikan di negara ini.

Ini katanya, bagi memastikan negara dapat menyediakan tenaga kerja dalam ekonomi digital yang mencukupi dan berdaya saing.

Sementara itu, katanya kerajaan terdahulu telah memperkenalkan Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang 2.0 (NESR 2.0) dengan sasaran saiz pasaran e-dagang di Malaysia bernilai RM1.5 trilion menjelang tahun 2025 dan bilangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menerima guna platform berkenaan seramai 875,000 usahawan.

“Soalan saya, sejauh manakah sasaran tersebut telah berjaya dicapai setakat hari ini?

“Apakah pendekatan baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan dalam memastikan sasaran keseluruhan NESR 2.0 tercapai dan memberi manfaat kepada PMKS yang terlibat,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/2023

- Advertisement -