KUALA LUMPUR: Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) mempersoalkan mengenai peruntukan untuk perancangan strategik yang dikurangkan dari RM3,102,300 kepada RM3,036,000 pada 2024.
Katanya, perancangan strategik merupakan perkara penting dalam pembentukan dasar pelan strategik dan program Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi menggalakkan pembangunan pelaburan dan perdagangan antarabangsa.
“Selain itu, pembangunan industri dan daya saing…bagaimanakah kementerian membantu meningkatkan daya saing industri halal bagi ekonomi global yang masih belum stabil dan mengekalkan negara sebagai antara pengeluar utama produk halal dunia.
“Apakah contoh program yang dilaksanakan oleh kementerian bagi membantu usahawan mikro kecil dan sederhana, berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan usahawan peringkat serantau dan dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan peringkat jawatankuasa MITI di Dewan Rakyat, hari ini.
Muhammad Ismi juga ingin tahu bentuk sokongan perdagangan dan industri serta pelan jangka panjang yang disediakan oleh kementerian bagi memastikan usahawan di Perak mendapat manfaat dan boleh menjadi usahawan global.
“Berkaitan Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) dan serantau, Parit ingin tahu kepada kepada siapakah anugerah ini diberi dan apakah signifikannya,” katanya.
Beliau juga ingin tahu sejauh manakah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menyediakan maklumat mengenai produk yang produktiviti, berkualiti, daya saing dan amalan-amalan terbaik melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan pengkalan data. – HARAKAHDAILY 14/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!