Bajet Selangor tidak sensitif tuntutan semasa

Dato' Seri Mohamed Azmin Ali
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bajet Negeri Selangor 2024 yang dibentangkan tidak sensitif kepada tuntutan semasa, tidak propertumbuhan dan tidak mempunyai kesedaran dan kefahaman tentang ‘future economy and future jobs’, kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Hulu Klang).

- Advertisement -

Ini susulan kerajaan negeri membentangkan bajet berjumlah RM2.53 bilion bagi tahun 2024 berdasarkan kedudukan kewangan sehingga 31 Disember 2022 yang merekodkan rizab sebanyak RM3.08 bilion.

Beliau selaku Ketua Pembangkang berkata, Dewan Negeri pernah meluluskan Bajet Negeri yang lebih besar iaitu pada tahun 2017 dengan jumlah RM3.45 bilion dan bajet 2018 berjumlah RM3.12 bilion.

Katanya, rizab negeri pada Oktober 2016 merekodkan sejumlah RM3.62 bilion dan RM3.26 bilion pada 31 Disember 2015.

“Satu perkara yang saya bersetuju dengan Dato’ Menteri Besar ialah beliau meletakkan Belanja Mengurus pada kadar 52.6 peratus manakala Belanja Pembangunan 47.4 peratus.

“Inilah prinsip yang telah sayavlaksanakan dan terjemah dalam dasar belanjawan negeri sebelum ini dan kini diteruskan,” katanya pada sesi perbahasan Belanjawan Selangor, di Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini.

Bagaimanapun katanya, Belanjawan 2018 pernah mencatatkan keupayaan negeri untuk menaikkan perbelanjaan pembangunan kepada 53.2 peratus dan menurunkan peruntukan perbelanjaan mengurus kepada 46.8 peratus.

“Saya dan YB Sijangkang, YB Selat Kelang dan pasukan negeri ketika itu, berjaya menaikkan peratusan belanja pembangunan melebihi belanja mengurus selama empat tahun berturut-turut.

“Ini adalah selaras dengan prinsip ex ante accountability dalam perancangan dan pengurusan belanjawan,” katanya.

Beliau menegur Kerajaan Negeri supaya tidak menjadikan Perbelanjaan Tambahan sebagai amalan biasa dalam pengurusan kewangan.

“Saya ingin jaminan dari Kerajaan Negeri bahawa RM2.53 bilion yang dicadangkan ini telah direncana dengan baik dan bertanggungjawab supaya tidak ada pembentangan Bajet Tambahan pada tahun hadapan.

“Saya mendapati sudah ada RUU Perbekalan Tambahan 2023 di atas meja kami untuk memohon sejumlah RM125 juta bagi perbelanjaan tambahan untuk perkhidmatan tahun 2023 yang tidak diperuntukkan dalam Bajet 2023 yang berjumlah RM2.38 bilion,” katanya.

Tambah beliau ini menjadikan bajet tahun 2023 berjumlah RM2.66 bilion dan ianya lebih tinggi dari bajet 2024.

Menurut beliau bajet tambahan boleh dipertimbangkan dalam situasi tertentu sahaja seperti malapetaka, bencana, pandemik atau kecemasan dan bukannya perbelanjaan yang boleh dibajetkan dari awal. – HARAKAHDAILY 14/11/2023

- Advertisement -