Amaran buat mereka yang curiga, timbulkan kesangsian

Solidariti kepada perjuangan Palestin

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhamad Sanusi Md Nor melontarkan peringatan kepada mereka yang masih curiga dan membangkitkan kesangsian terhadap solidariti kepada Palestin.

Beliau mengungkapkan perkara itu ketika menyampaikan pidato penuh semangat dan emosi itu pada Himpunan Solidariti Untukmu Palestin Negeri Kedah anjuran Yayasan Kedah Sejahtera di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini malam tadi.

“Kamu ada rasa simpati kepada Zionis Israel, tetapi kamu mendiami tanah ini bersama-sama dengan kami. Kamu kami tidak akan biarkan begitu sahaja ada gangguan, ada cubaan untuk mengikis semangat kecintaan kami kepada saudara kami. 

“Kamu kami tidak akan biarkan. Kami telah mengenali muka kamu. Kami telah dapat cam setiap patah perkataan yang telah kamu ucapkan dan bakal kamu ucapkan. Kami tidak akan berdiam diri kepada kamu, awas!

“Kami telah mengenali kamu di sini tanah ini, negeri ini, negara ini adalah tempat untuk kami diami bersama orang-orang yang mencintai saudara kami. Kami sanggup berjihad, berjuang, bermati syahid demi Islam. 

Insya-Allah untuk kamu yang bimbang dengan kami, awas kami akan sentiasa mengawasi kamu. Kurangkan keceluparan, fahami perasaan kami semua. Jangan kamu hanya mengharapkan kami memahami perasaan dan kebimbangan kamu kepada pistol air dan pistol mainan. 

“Kamu juga untuk diam di sini bersama kami dalam keadaan aman dan harmoni. Kamu mesti mengasuh hati kamu untuk memahami perasaan kami juga,” ujarnya.

Beliau mengajak berazam dan menanam kesungguhan untuk menamatkan rasa cinta kepada dunia dan takutkan mati serta mengingati bahawa bumi Kedah juga pernah menerima kejahatan seperti itu dalam sejarahnya.

Menyifatkan mereka itu juga seperti Zionis, beliau menyingkap Perang Musuh Bisik tahun 1821 apabila 30,000 rakyat Kedah disembelih di Kota Kuala Muda terdiri dalam kalangan kanak-kanak, wanita dan orang tua.

“Anak-anak dihempas ke batu, para wanita mengandung dibelah perut, anak dilempar untuk makanan buaya. Orang lelaki dicincang, dibakar hidup-hidup berlaku 200 tahun dulu di Kedah Darul Aman, perbuatan oleh Siam.

“Ini ingatan yang perlu kita ambil. Musuh apabila mereka telah kuat mereka telah ada keupayaan mereka tidak akan membiarkan kita hidup senang lenang. Mereka akan berbuat sesuatu. 

“Maka dengan itu saya mengajak tuan-tuan di Kedah Darul Aman atas latar belakang apa sekalipun biar parti apa sekalipun, bangsa apa, kaum apa, agama apa, atas nama rakyat negeri Kedah Darul Aman, marilah kita bersatu padu bersungguh-sungguh.

“Hidup dalam keadaan harmoni, tolong-menolong dan menanam kecintaan yang tebal dan tinggi kepada negeri kita Kedah Darul Aman berdasarkan sejarah yang kita tak mahu berulang lagi negeri ini sepertimana sedang berulang di Palestin pada ketika ini,” ujarnya.

Katanya, dengan bersepaduan rakyat Kedah, kecintaan kepada negeri ini, akan jadikan semua peristiwa sejarah itu pedoman untuk bergerak ke depan dan tidak lama lagi dengan kesungguhan akan bangkitkan negeri ini menjadi ‘The Greater Kedah’.  – HARAKAHDAILY 13/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -