‘Sepatutnya menteri itu ditukar ke kementerian lain’

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Dakwaan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing kononnya larangan meminum arak dan peraturan berpakaian menutup aurat punca kemerosotan pelancong luar negara ke Langkawi, adalah fitnah dan pembohongan.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya telahpun membuat siasatan namun setakat ini tiada sebarang larangan yang dikeluarkan oleh agensi terbabit berkenaan hal tersebut.

“Menteri Pelancongan buat kempen dan publisiti negatif terhadap Langkawi dan agensi pelancongan. Sepatutnya menteri itu ditukar ke kementerian lain,” kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di Wisma Darul Aman, hari ini.

Katanya, isu tekanan kos sara hidup pada masa ini antara yang menyebabkan warga tempatan berkira kira dalam perbelanjaan untuk melancong.

Tam bahnya, sementara ‘direct flight’ (penerbangan terus) dari negara luar belum bermula dan masih tidak banyak kecuali Singapura sahaja.

Kata beliau, gegitu juga cruise di mana kedua-dua sektor itu adalah menyumbang terbesar kepada pelancongan Langkawi sebelum pandemik Covid-19.

“Sebelum pandemik Covid-16, Langkawi dikunjungi hampir 60 peratus pelancong luar negara, manakala pelancong tempatan hanya menyumbang 40 peratus sahaja.

‘Direct flight’ juga belum bermula, difahamkan dari Dubai (Fly Dubai Airlines – low cost) hanya akan bermula pada 10 Februari 2024,” tambahnya.

Justeru kata beliau dalam hal ini, agensi kerajaan persekutuan seperti Kementerian Pelancongan dan Tourism Malaysia perlu memainkan peranan, bukannya kerajaan negeri.

Dakwaan yang dibuat oleh King Sing itu, ujarnya hanya menambah masalah, memberi kesan buruk serta menjauhkan pelancong luar dari Langkawi.

Sedangkan jelas Sanusi, industri pelancongan dan Langkawi adalah aset pelancongan negara, bukan Kedah semata mata.

“Termasuk juga perkhidmatan feri yang berada di bawah bidang kuasa Menteri Pengangkutan,” ujarnya lagi.

Seperkara lagi tegasnya kerajaan persekutuan juga perlu menimbang beberapa keputusan berkaitan berhubung perbandingan pelancongan di negara jiran, Thailand.

“Walaupun Langkawi Pulau Bebas Cukai tetapi kerajaan persekutuan perlu menimbang beberapa keputusan seperti percukaian yang lain untuk menjamin harga yang lebih kompetitif  menarik lebih ramai pelancong ke Langkawi,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, katanya gambaran kononnya peniaga serta pengusaha kereta sewa di pulau berkenaan ‘gulung tikar’ hanya direka oleh pihak media.

Malah, ujarnya harga makanan yang didakwa mahal juga tidak benar. – HARAKAHDAILY 8/11/2023

- Advertisement -