Perluaskan penggunaan statistik rasmi DOSEM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mohd Syahir Sulaiman (PN-Bachok) mencadangkan penggunaan statistik rasmi yang dihasilkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) diperluas dan dimasyarakatkan.

Beliau berkata, statistik berkenaan tidak terhad kepada bidang ekonomi sahaja, tetapi boleh dimanfaatkan dalam bidang pendidikan, kesihatan dan kebajikan.

- Advertisement -

Namun, katanya DOSM perlu sentiasa berwaspada dengan kritikan dan kesangsian orang awam terhadap statistik rasmi.

Pada masa sama, katanya DOSM perlu proaktif memberikan penjelasan terhadap jurang di antara statistik rasmi dengan realiti dan mungkin persepsi rakyat sehari-hari.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Ekonomi, Belanjawan 2024, di Dewan Rakyat, hari ini.

“Kita faham bahawa statistik ini ada kaedah, formula, limitasinya, namun komunikasi perlu dipertingkatkan supaya kewibawaan statistik rasmi tidak dicabar apabila rakyat melihat, dan merasakan sendiri, terdapat jurang di antara angka dua hingga tiga peratus inflasi dengan kesempitan poket dan dompet rakyat untuk berbelanja setiap hari.

“Ini sangat penting kerana data dan statistik adalah asas utama dalam merangka sebarang dasar dan polisi, baik untuk jangka masa pendek mahupun panjang,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/11/2023

- Advertisement -