Taufan Al-Aqsa: Perang jihad yang muktamad

- Advertisement -

LIPIS: Taufan Al-Aqsa diisytiharkan HAMAS bukanlah angin, badai atau ribut, tetapi peperangan yang diikrarkan sebagai jihad muktamad, demikian menurut Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan aman.

Kata beliau, tidak pernah berlaku dalam sejarah perang antara pejuang Islam Palestin dengan tentera Yahudi Zionis-Israel itu berlanjutan lama sepertimana sedang berlaku pada ketika ini yang sudah hampir sebulan.

Keadaan itu ujarnya, menunjukkan kekuatan yang Allah Taala beri kepada usaha memerdekakan bumi anbiya’ Palestin dan kiblat pertama umat Islam, Masjid Al-Aqsa itu daripada penjajahan dan kezaliman Zionis-Israel.

“Kita patut rasa berdosa dengan sahabat-sahabat kita di Palestin. Kita menyaksikan bagaimana sahabat kita dibunuh, rumah mereka dibom, bangunan mereka dimusnahkan, tapi kita tak boleh nak tolong mereka.

“Kita rasa bersalah sangat, kita rasa berdosa sangat di waktu mana kita saksikan orang Islam, sahabat kita diseksa kita hanya tengok,” ujarnya Himpunan Solidariti Palestin Lipis 2.0 di Merapoh, di sini semalam.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mengupas mengenai penglibatan Amerika Syarikat dalam membekalkan senjata dan bantuan kepada Zionis-Israel untuk menghancurkan umat Islam khususnya di Gaza ketika ini.

Kesalnya, sokongan sama kepada Israel turut diberikan England dan United Kingdom di mana lebih buruk apabila usul gencatan senjata dibawa Jordan kepada Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah ditolak.

Beritahunya, walaupun 152 negara menyokong usul tersebut, tetapi kuasa veto 14 negara lain yang menolak usul tersebut tersebut sekali gus membenarkan peperangan dan kehancuran.

“Sebab itu Amerika menghantar senjata supaya umat Islam di Gaza dilenyapkan dalam peta dunia. Ini usaha mereka dan kita tengok bagaimana perancangan besar yang dibuat dua bulan sebelum berlakunya serangan ini.

“(Iaitu) bilamana Netanyahu mendedahkan peta terbaru Israel bagi menguasai dunia dan menghalau keluar umat Islam di Gaza dan dia minta kebenaran pada Mesir supaya orang Islam di Gaza ditempatkan di kawasan padang pasir Sinai. 

“Mereka (umat Islam Palestin mahu) dikeluarkan daripada bumi Gaza. Sebab itu tidak pelik kalau ada negara yang menyokong supaya menghentikan peperangan melalui usaha keluarkan orang Islam daripada Gaza dan tempatkan mereka di Sinai.

“Sinai sebahagian daripada Mesir dan Mesir tidak menerima dan kita tengok bagaimana jalan masuk ke Gaza hanya satu pintu saja jalan untuk masuk ke Gaza hanya melalui Rafah sempadan Mesir,” ujarnya yang juga ADUN Cheka.

Maklum beliau juga, bagaimanapun bantuan-bantuan ke Gaza melalui pintu Rafah itu terhalang dan terhad di mana ribuan kontena sedang menunggu kebenaran untuk masuk ke sana bagi penyaluran keperluan.

Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) katanya, turut telah menghantar bantuan awal bernilai RM1.7 juta berupa makanan, minuman, keperluan asas dan perubatan hasil sumbangan rakyat Malaysia. 

Bagaimanapun beritahunya, tiga kontena bantuan PASRelief itu masih berada di Rafah kerana Mesir hanya membenarkan 20 kontena melepasi pintu sempadan itu sehari, sedangkan keperluan adalah lebih 200 kontena sehari.

“Anak-anak kecil minta doa ya Allah biarlah dia mati. Bila wartawan tanya kenapa minta mati? Sebab dia tahu lepas dia mati dia akan masuk syurga dalam syurga banyak makanan,” ujarnya berkongsi kisah sedih akibat ketiadaan makanan dan air di Gaza.

Pun begitu, beliau menyifatkan situasi berlaku di Gaza ketika ini sangat luar biasa apabila umat Islam di sana menunjukkan ketahanan mereka bersama kekuatan para pejuang HAMAS mendepani serangan Israel.

Beliau juga mengumumkan fatwa dikeluarkan ulama sedunia yang menyatakan wajib kepada negara bersempadan Palestin iaitu Mesir, Jordan, Syria dan Lubnan untuk membantu umat Islam di Palestin.

Katanya, jika empat negara tersebut membuka pintu sempadan mereka tanpa menghalang sesiapa masuk ke Palestin, beliau menyeru umat Islam di negara ini dan seluruh dunia segera masuk ke Gaza membantu.

Program anjuran PAS Kawasan Lipis dengan kerjasama PAS Kawasan Gua Musang itu melibatkan pelbagai acara disusun dan berjaya mengumpulkan sumbangan tunai RM8,000 serta sebentuk cincin emas. – HARAKAHDAILY 5/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -