Jawapan apologetik, penakut: Fadhlina wajar lepas jawatan

- Advertisement -

PEMUDA PAS terkilan dengan jawapan YB Menteri Pendidikan yang apologetik, berhubung isu larangan melaungkan takbir dan qunut nazilah dalam Minggu Solidariti Palestin di sekolah.

Hakikatnya, isu Palestin bukan semata-mata soal kemanusiaan, tetapi juga melibatkan keagamaan. Perjuangan rakyat Palestin bukan semata-mata ingin mempertahankan tanah dan hak mereka, tetapi juga bagi mempertahankan Kota Al-Quds. Atas dasar ini, umat Islam seluruh dunia bangkit bersolidariti demi mempertahan dan memperjuangkan Kota Suci ini, dengan sepenuh tenaga dan kudrat yang ada. 

Sayangnya, jawapan YB Menteri dalam Parlimen semalam seolah gagal memahami akan sejarah ini. Beliau hanya menjadikan nilai kemanusiaan semata-mata sebagai sandaran dan asas pelaksanaan Minggu Solidariti ini. Atas sebab yang sama, YB Menteri cuba merasionalkan tindakan KPM yang melarang laungan takbir dan bacaan qunut nazilah di sekolah-sekolah.

Hakikatnya, hujah kemanusiaan itu tidak kuat untuk membenarkan tindakan larangan tersebut. Apakah tindakan bertakbir dan membaca qunut nazilah itu tidak termasuk dalam aspek manusiawi yang dinyatakan? Sedangkan dua perkara ini merupakan teras dalam membangkitkan dan menyedarkan mengenai aspek nilai-nilai kemanusiaan. 

Terlupakah Menteri bahawa majoriti murid-murid di Malaysia ini adalah beragama Islam? Terlupakah YB Menteri bahawa isu ini turut berkait dengan isu umat Islam? Apa salah untuk bertakbir dan membaca qunut nazilah? Atau Menteri nak kata takbir dan qunut nazilah ini bukan tindakan manusiawi?

Sesungguhnya jawapan yang diselubungi penuh emosi daripada YB Menteri Pendidikan tidak mampu menutup hakikat kelemahan kerajaan dalam soal menyampaikan naratif yang benar mengenai isu Palestin. Pemuda PAS menggesa kerajaan agar membetulkan semula matlamat dan kaedah pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin ini, serta menarik semula larangan-larangan yang cukup tidak relevan dan bertentangan dengan realiti yang berlaku. 

Sekiranya YB Menteri masih bersikap lembut dan terus apologetik dalam hal kebenaran seperti ini, maka, YB Menteri tidak layak berada di posisi Menteri. Lepaskan sahaja jawatan anda. Kami tidak mahu Menteri pengecut, yang apologetik dan tak berani membawa naratif sebenar dalam isu solidariti Palestin.

Pemuda PAS menzahirkan ucapan tahniah atas keberanian beberapa sekolah yang didukung guru-guru yang berani melaungkan takbir dan qunut nazilah saudara kita yang terkorban di sana. Percayalah, ini adalah kalimah suci. Tiada siapa yang boleh menghalang daripada ianya dilafazkan dengan penuh ketaatan dan keberanian di sisi Allah S.W.T. 

NADZIR HELMI
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 2/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -