Sekuriti makanan negara: Kerajaan Anwar tiada fokus?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0) dan Tindakan Sekuriti Makanan 2021-2025 dilihat tiada penambahbaikan sejak negara diterajui Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, penggunaan tanah bagi pertanian untuk penghasilan makanan juga masih tidak optimum apabila hanya 1.2 juta hektar sahaja dimanfaatkan kepada tujuan itu.

Malah, Kerajaan Persekutuan pada Belanjawan 2024 dibentangkan 13 Oktober lalu tidak memperuntukkan jumlah besar bagi memastikan daya pengeluaran makanan tempatan diperkasakan.

“Sepatutnya, Belanjawan itu sedar situasi ketika ini (adalah) krisis. Misalnya kita lihat krisis beras, bekalan pengeluaran beras negara patut 70 peratus berbanding 30 peratus import.

“Tetapi yang terkini, hanya 60 peratus sahaja (bekalan pengeluaran beras negara), iaitu kekurangan 10 peratus,” ujar beliau yang mengetuai portfolio Kemajuan Desa, Wilayah dan Pertanian Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu pihaknya telah mengadakan Sidang Meja Bulat (RTD) Belanjawan 2024: ‘Sejauh Mana Sekuriti Makanan Diberi Penekanan?’ di Bilik Mesyuarat JK3, Blok Sementara di Parlimen, di sini semalam.

Pembentangan berkaitan telah disampaikan oleh Pensyarah Kanan Jabatan Hal Ehwal Antarabangsa UUM, Dr Bakri Mat dan Pengarah Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi, Risikan Pasaran dan Agribisnes MARDI, Mohd Rashid Rabu.

Manakala sesi perbincangan pula menampilkan dua panel terdiri daripada wakil Institut IRIS, Muhammad Aiman Ahmad Faudzi dan pemain industri, Ahmad Taufiq Kamaruddin.

Disertai sama beberapa Ahli Parlimen iaitu Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli (Dungun), Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim (Arau) dan Datuk Dr Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pasir Putih), perbincangan itu telah menghasilkan resolusi.

Iaitu mencadangkan kerajaan mewujudkan syarikat gergasi di bawah kerajaan yang menfokuskan sekuriti makanan dan menggesa kerajaan memastikan SMART Sawah Berskala Besar menjadi program utama dan berfokus 

Resolusi juga dicapai untuk menggesa kerajaan memastikan tanah terbiar dimanfaatkan bagi pertanian secara optimum dan menarik golongan muda berlainan kepakaran menyumbang dalam pertanian ke arah menjamin sekuriti makanan negara.

Selain itu, kerajaan juga digesa untuk meningkatkan kapasiti kajian dan penyelidikan (R&D), termasuk mencari makanan alternatif selain beras secara komprehensif. – HARAKAHDAILY 2/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -