Lebai Legislator buktikan PAS mampu di segenap lapangan

- Advertisement -

PAS sangat sinonim dengan ejekan dan gelaran ‘lebai’ dalam Parlimen, namun kita katakan kita ‘lebai legislator’ lebai yang juga ada kemampuan mentadbir. Orang yang pakai kopiah atau bertudung labuh boleh menjadi pemimpin, pembuat dasar dan mahir dalam pelbagai bidang. 

Dalam bidang pendidikan pula, PAS terkenal dengan silibus pendidikan yang mantap. Malah, PAS berjaya membuktikan kepada masyarakat bahawa pendidikan di bawah PASTI dan SRITI mampu melahirkan modal insan yang cerdas dan bertakwa. Dari A B C sehingga ا ب ت boleh dipelajari.

Kehebatan PAS bukan terletak pada politik semata-mata, ia juga terkehadapan dalam isu-isu rakyat dan kebajikan.

Apabila berlaku banjir, sudah pasti Jabatan Amal, PAS Relief dan Khidmat Malaysia akan dioptimumkan sehabis mungkin bagi membantu rakyat yang terkesan dengan bencana alam. Badan bukan kerajaan ini bukan sahaja profesional dalam mengkoordinasi bantuan kecemasan malah, ia menjadi  entiti yang sentiasa bersedia muncul pada bila-bila masa dan di mana sahaja demi meringankan kesukaran dan kepayahan mereka yang memerlukan. Inilah kehebatan yang ada dalam PAS!

Alhamdulillah selaku Pengerusi Khidmat Malaysia yang baru, saya berkesempatan mempengerusikan sebuah mesyuarat bersama sekretariat Khidmat Malaysia di pejabat itu siang tadi. Saya juga dibantu oleh Tuan Khairul Faizi selaku Ketua Pengarah Khidmat Malaysia dalam aspek pengurusan dan pentadbiran. Beliau juga mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam mengendalikan program-program kebajikan dan mengkoordinasi bantuan kecemasan dalam negara.

Saya yakin Khidmat Malaysia mampu menjadi sebuah NGO yang cekap dan terkehadapan dalam membina kesejahteraan umat sejagat. Dengan motto ‘Berkhidmat untuk Kemanusiaan,  Beramal kepada Allah’ semoga langkah kecil ini diredhai dan diberkati oleh Allah S.W.T.

YB USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa – HARAKAHDAILY 2/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -