Proaktif tangani kesan kenaikan kos sara hidup

- Advertisement -

SAYA ingin merujuk kepada isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup sama ada bandar dan luar bandar yang terus menghantui majoriti rakyat Malaysia pada waktu ini. Penganalisis sejak awal tahun telah menjangkakan inflasi di Malaysia akan berada sekitar 4.0 ke 5.0 peratus tahun ini.

Selain itu, kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia berbanding mata wang utama dunia seperti dolar Amerika Syarikat (AS$) memberi implikasi yang sangat negatif kepada ekonomi negara dan rakyat. 

Kejatuhan nilai Ringgit berbanding mata wang dunia menyebabkan kos untuk mengimport barangan menjadi mahal. 

Apabila kos mengimport menjadi mahal, maka peniaga akan memindahkan kos kenaikan harga import ini dengan terpaksa menjual barangan kepada pelanggan pada harga yang mahal. 

Kesannya, masyarakat terpaksa berbelanja lebih untuk mendapatkan barangan yang sama pada suatu ketika dahulu. Kesan daripada perbelanjaan berlebihan menyebabkan masyarakat tidak dapat menyimpan untuk simpanan di institusi perbankan.

Selain itu, saya menegaskan bahawa kenaikan kos sara hidup telah menjadi isu yang semakin meresahkan rakyat di seluruh dunia. Malaysia juga tidak terkecuali daripada konflik ini. 

Kenaikan harga barangan asas, perkhidmatan serta kos pengangkutan telah merumitkan kehidupan harian rakyat dan ia semakin jelas apabila pendapatan tidak mengikutinya. 

Oleh itu, tindakan proaktif oleh semua pihak amat penting untuk meredakan tekanan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia.

Bagi mengurangkan beban rakyat, saya ingin mencadangkan kerajaan agar menambah bilangan kekerapan insentif pemberian wang tunai kepada rakyat yang telah dijenamakan sebagai Sumbangan Tunai Rahmah bagi membantu rakyat marhaen memerlukan pada ketika ini dalam meneruskan kehidupan dengan situasi kewangan semasa.

Saya difahamkan bahawa terdapat 4 kali pemberian telah dirancang pada tahun hadapan melalui pembentangan Belanjawan 2024 baru-baru ini. 

Cadangan saya penambahan sebanyak 1 kali pemberian tambahan lagi wajar dibuat pada waktu ini bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat tak terganggu. 

Pada masa yang sama, saya berpendapat bahawa Kerajaan Persekutuan perlu menyemak semula modus operandi penguatkuasaan terhadap subsidi terkawal untuk mengawal kenaikan harga barangan asas seperti petrol, gula, dan tepung bagi memastikan tiada petualang atau individu tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesuka hati pada waktu ini. 

Pandangan ini tidak lain dan tidak bukan adalah bertujuan untuk memastikan bahawa harga barang-barang ini tetap berpatutan dan tidak membebankan rakyat.

Pada hemat saya, Kerajaan Persekutuan juga perlu memahami bahawa kos sara hidup tidak hanya berkait dengan harga barangan dan perkhidmatan, tetapi juga kos pengangkutan.  

Oleh itu, usaha untuk memperbaiki dan memperluaskan sistem pengangkutan awam perlu ditingkatkan secepat mungkin untuk menyediakan alternatif yang lebih murah kepada pengguna. Kita berharap penggunaan pengangkutan awam di negara kita bukan sahaja murah, namun berkualiti dalam menjalankan tugas masing-masing.

Akhir sekali, saya ingin menjelaskan bahawa walaupun langkah-langkah ini adalah langkah positif dalam menangani kenaikan kos sara hidup, sangat signifikan untuk diingatkan isu ini tidak dapat diselesaikan dengan cepat. 

Sebenarnya, ia adalah cabaran yang berterusan yang memerlukan usaha berterusan daripada kerajaan dan rakyat bersama. 

Selain daripada tindakan yang telah diambil oleh kerajaan, rakyat juga perlu berperanan dengan berbelanja secara bijak, menguruskan kewangan dengan baik, dan terlibat dalam usaha-usaha membantu memastikan kitaran ekonomi bergerak dengan stabil.

“Adil, Prihatin dan Berkebajikan”

YB USTAZ MUHAMMAD ISMI MAT TAIB
Ahli Parlimen Parit – HARAKAHDAILY 2/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -