Jihad perangi kekejaman Zionis Israel jadi fardu ain

- Advertisement -

KOTA BHARU: Jihad memerangi kekejaman Zionis Israel menjadi fardu ain bagi setiap umat Islam dan bukan lagi bercakap soal khilaf.

- Advertisement -

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Mohd Asri Mat Daud berkata, bagi menghadapi situasi dunia yang penuh cabaran sekarang umat Islam hendaklah bersatu padu.

Di samping itu katanya setiap orang Islam hendaklah meningkatkan amalan harian.

“Bacaan zikir Ma’thurat hendaklah sentiasa diamalkan dalam apa situasi demi mendapat keberkatan, kekuatan akidah dan dekat dengan Allah SWT,” katanya ketika merasmikan program Syarahan Perdana ‘Kelantan: Meraih Keberkatan Negeri’ di Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail Petra, Panji, hari ini.

Syarahan perdana disampaikan anggota Kesatuan Ulamak Jordan-Palestin, Dr Mohammad Said Bakar yang disertai dengan bacaan 40 Hadis Palestin.

Pada program itu turut diadakan majlis Pengijazahan Al-Ma’thurat.

Turut hadir Timbalan Exco Nik Bahrum Nik Abdullah, Pengarah Yayasan Amanah Tabung Tok Kenali Zulqarnain Hassan dan Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) Prof Emeritus Dato’ Dr Johari Mat.

Mohd Asri juga berkata, umat Islam disaran menyumbang bagi membantu perjuangan rakyat Palestin yang sedang berdepan dengan kekejaman tentera Zionis Israel di Gaza.

Kata beliau sumbangan berkenaan sebagai tanda solidariti membantu perjuangan rakyat Palestin mempertahankan tanah air mereka.

“Rakyat Kelantan tanpa mengira agama dan bangsa hendaklah bersama-sama menyokong perjuangan rakyat Palestin.

“Kekejaman Zionis Israel di bumi Gaza bukan sahaja kepada umat Islam, bahkan penganut Kristian juga turut dibedil,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/11/2023

- Advertisement -