PERIKATAN NASIONAL pertahankan Minggu Solidariti Palestin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) menegaskan Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) akan mempertahankan dan memastikan program Minggu Solidariti Palestin tidak diganggu oleh mana-mana pihak, termasuk dalam kalangan Ahli Parlimen sendiri.

Katanya, ini berikutan laporan dalam media massa hari ini bahawa Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyatakan ada pihak yang membuat kacau ganggu terhadap program itu.

- Advertisement -

“Saya nak bertanya siapakah…YB (Yang Berhormat) menteri bagi tahu pihak mana yang mengganggu. Saya yakin seluruh rakyat sama ada yang muslim dan bukan muslim seluruh Malaysia terus menyokong usaha kita membantu kanak-kanak Palestin yang dibunuh.

“Kalau ada mungkin YB dalam dewan ini yang cuba mengganggu program ini, kami ahli parlimen sebelah ini akan pertahan…akan pastikan program ini terus berjalan dengan baik tanpa diganggu oleh mana-mana pihak,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Ustaz Ahmad Tarmizi berkata, program yang bermula 29 Oktober hingga 3 November itu bertujuan memberi pendidikan nilai-nilai atau karamah manusiawi, termasuk hak asasi manusia dan sifat ihsan dalam kalangan pelajar.

Fadhlina ketika sesi pengulungan Belanjawan 2023 kementeriannya berkata, sepanjang program itu berlangsung pelajar diberi pendedahan mengenai perjuangan rakyat Palestin untuk dijadikan panduan dalam menguruskan emosi dengan kaedah yang lebih murni dengan nilai agama.

Menurutnya, program itu bagi menyahut seruan Perdana Menteri dan pendirian kerajaan untuk bersama-sama mempertahankan dan kebebasan rakyat Palestin.

“Pendidikan kedamaian dan isu keamanan, beri ruang kepada kami (Kementerian Pendidikan) untuk melaksanakan tanggungjawab kami dan mengutamakan proses pendidikan kemanusiaan, jangan kacau kami, jangan usik sekolah kami, jangan usik guru-guru kami.

“Beri ruang pendidikan ini sebagai satu proses pemahaman, sebagai satu mesej yang penting untuk mendidik kemanusiaan, sebab itu saya mengambil semua pandangan dan kritikan, saya dengar semua syor pelbagai agama,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/11/2023

- Advertisement -