Beri ganjaran pengguna jalan raya berdisiplin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memberi ganjaran kepada rakyat yang mematuhi peraturan ketika menggunakan jalan raya.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid berkata, apabila seseorang melanggar peraturan jalan raya, kerajaan mengenakan denda, menyaman dan menghadapkan mereka ke mahkamah.

- Advertisement -

“Namun, ada dalam kalangan masyarakat kita yang tidak pernah melanggar peraturan jalan raya. Sebab itu saya rasa lebih baik Kementerian Pengangkutan memikirkan cara untuk reward (memberi ganjaran).

“Ini boleh dilakukan dengan percuma apabila membaharui lesen, memberi diskaun 50 peratus atau apa saja reward yang mendorong rakyat untuk mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.

Menjawab cadangan ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata beliau memahami saranan berkenaan dan pernah berbincang dengan pegawai kementerian untuk melihat cara memberi ganjaran itu, iaitu sama ada melalui kerjasama dengan syarikat insurans.

Katanya, ini termasuk dengan kadar premium dikurangkan jika mereka tidak terlibat dalam apa-apa kesalahan.

“Kalau mereka tak terlibat dalam apa-apa kesalahan, ini bermakna mungkin mereka adalah pemandu berdisiplin, itu antara perkara yang kita cuba lihat dan sudah tentu memerlukan kerjasama pihak ketiga, bukan sahaja kementerian tetapi pihak lain seperti syarikat insurans,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/11/2023

- Advertisement -