Apa jawapan kerajaan isu nilai RM makin jatuh?

Wan Ahmad Fayhsal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan ditanya mengenai apakah cadangan dan tindakan untuk menambat nilai Ringgit Malaysia (RM) ketika nilai mata wang negara itu kini semakin menyusut berbanding Dolar Amerika Syarikat (US Dollar).

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, kejatuhan ringgit memberi kesan yang sangat buruk kepada ekonomi negara kerana nilai barangan yang dieksport ke luar negara menjadi berkurangan.

- Advertisement -

Katanya, pada tahun 1999 kerajaan menambat nilai matawang ringgit  kepada RM3.80 untuk satu Dolar Amerika, akibat krisis kewangan Asia sedangkan nilai sekarang sudah mencecah kira-kira RM4.75.

“Minta Menteri Kewangan menyatakan sama ada pihak kerajaan Persekutuan melalui Bank Negara Malaysia bercadang untuk menambat nilai RM pada satu-satu nilai seperti yang dilakukan pada tahun 1999.

“Hal ini memandangkan kadar tukaran ringgit pada ketika ini sangat rendah berbanding dolar Amerika,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong dalam jawapannya berkata, kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan tambatan ringgit iaitu kawalan pertukaran mata wang asing.

“Keputusan itu pernah dilakukan ketika negara menghadapi krisis kewangan Asia pada tahun 1998 kerana ia bukan merupakan penyelesaian yang tepat pada ketika ini,” jelasnya.

Tambah beliau, ekonomi dan sistem kewangan negara berada pada kedudukan yang sangat baik untuk berhadapan dengan situasi pasaran kewangan global dan pergerakan kadar tukaran.

“Kita akan hilang kebebasan dasar monetari dan perlu mengikut kadar faedah menambat ringgit, contoh jika ia dilakukan kita perlu menaikkan kadar faedah selari dengan nilai di Amerika.

“Bank Negara bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kestabilan pasaran kewangan dan mata wang ringgit dan akan memastikan pelarasan ringgit berada dalam keadaan teratur,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/11/2023

- Advertisement -