Solidariti Palestin: Hentikan kecaman terhadap guru, murid

- Advertisement -

PEMUDA PAS melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan Nga Kor Ming yang merupakan pemimpin DAP bertaraf Menteri, apabila secara terang-terangan dilihat seperti mengecam para guru dan anak murid berhubung isu pemakaian anak-anak sempena Minggu Solidariti Palestin peringkat KPM. 

Tindakan mendakwa guru dan pihak sekolah menerapkan budaya ekstremis dan keganasan apabila mengetengahkan keadaan semasa di Palestin merupakan satu tuduhan yang berat. Sedangkan inisiatif ini merupakan satu langkah pendidikan untuk anak-anak sedar dan memahami isu besar yang sedang melanda umat tika ini.

Tidak cukup dengan pertikaian, pemimpin DAP bertaraf Menteri ini telah mengecam dan mengugut pihak berkaitan yang dikatakan menyalahguna kuasa untuk diambil tindakan dek kerana anak murid dan guru ini memakai kostum ‘perang’ dengan laungan kalimah yang membangkit semangat melawan musuh kejam seperti Zionis. 

Kenyataan seperti ini tidak sepatutnya wujud kerana seharusnya pemimpin DAP bertaraf Menteri ini maklum mengenai pendirian kerajaan Malaysia yang bersama rakyat Palestin dan menentang keganasan Zionis Israel. Pemuda PAS merasakan pemimpin DAP seperti inilah yang layak digelar ekstrimis kerana dilihat bersungguh-sungguh ‘menutup’ penderitaan anak-anak Palestin yang diratah dan dibunuh atas nama keamanan.

Cukuplah dengan kekesalan apabila usul mengecam kekejaman Zionis ini tidak dibahaskan di dalam Parlimen, kini anak murid dan guru pula dikecam dan diugut untuk diambil tindakan hanya kerana ‘membahaskan’ tentang kebenaran perjuangan Palestin.

Pemuda PAS menegaskan kepada pemimpin DAP bertaraf Menteri ini agar tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan kepada guru-guru dan anak-anak murid yang cakna dengan isu Palestin. Sesungguhnya isu ini bukan semata-mata melibatkan hal keagamaan, tetapi melibatkan nilai kemanusiaan yang mana penting untuk diketahui dan difahami oleh semua peringkat umur bagi menentang naratif salah pihak musuh.

Akhir sekali, Pemuda PAS menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk terus cakna dengan peperangan yang nyata merupakan sebuah bentuk kekejaman terhadap umat Islam dan rakyat Palestin yang saban hari dibunuh dengan kejam tanpa belas. Pemuda PAS tidak akan berhenti memberi kesedaran kepada umum bahawa isu Palestin bukan soal keamanan semata-mata, tetapi soal kekejaman dan kezaliman Zionis terhadap umat Islam dan rakyat Palestin yang berpanjangan tanpa noktah!

USTAZ HAFEZ SABRI
Timbalan Ketua Pemuda 
Dewan Pemuda PAS Malaysia
ADUN Manjoi – HARAKAHDAILY 30/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -