Sistem IDMS tak digabungkan dengan MySejahtera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberi penjelasan sama ada Sistem Pengurusan Pangkalan Data Bersepadu (IDMS) akan digabungkan dengan aplikasi MySejahtera.

Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkata, majoriti rakyat mempunyai aplikasi MySejahtera yang menyimpan data-data sedia ada.

- Advertisement -

“Adakah kita akan sekalikan IDMS bersama MySejahtera supaya dapat akses kepada semua rakyat dan mengemas kini maklumat mereka terutama ketika bencana?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, beliau ingin tahu peruntukan yang diagihkan kepada agensi kerajaan yang terlibat bagi memastikan bahawa sistem itu digunakan secara maksimum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, IDMS yang menggunakan platform Pengurusan Maklumat Geospatial Pertahanan (DGIM) tidak akan disekalikan bersama aplikasi MySejahtera.

Katanya, platform tersebut digunakan bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut yang akan bermula November ini.

“Untuk makluman, sistem ini pada asasnya dibangunkan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) dengan menggunakan peruntukan jabatan itu sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/2023

- Advertisement -