Segera kaji semula sistem agihan IPG

- Advertisement -

SAYA menggesa kerajaan untuk mengkaji semula sistem agihan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang dilaksanakan hampir lapan tahun secara komprehensif bagi memastikan hanya golongan sasar dan benar-benar layak sahaja yang mendapat manfaat tersebut. 

Hal ini demikian kerana, syarat mendapat manfaat IPG tersebut adalah pemilik kebun yang mempunyai geran dan saiz kebun kurang daripada 100 ekar. Melalui syarat ini telah menyebabkan penoreh getah yang tidak memiliki kebun sepatutnya mendapat bantuan tidak layak untuk memohon IPG yang menyebabkan golongan tersebut terus berada di bawah paras kemiskinan. 

Isu ini telah lama membelenggu hampir puluhan ribu penoreh getah yang tidak memiliki kebun. Meskipun mereka perlu menandatangani surat perjanjian pembahagian tuntutan IPG dengan pemilik kebun untuk mendapatkan manfaat IPG, namun begitu peratus pembahagian pula ditentukan oleh pemilik kebun. Perkara ini sudah tentu tidak menjamin sejauh mana penoreh getah mendapat pembahagian secara adil dengan pemilik kebun. 

Bahkan, pemilik kebun yang merupakan golongan senang dan mempunyai pekerjaan tetap sebenarnya yang mendapat manfaat IPG berbanding penoreh getah. Walaupun kerajaan telah menaikkan paras harga pengaktifan IPG kepada RM3 sekilogram, tetapi manfaat tersebut boleh dikatakan tidak menyeluruh dan tiada jaminan semua penoreh getah layak dan mendapat manfaat IPG ini. 

Saya melihat sistem agihan IPG ini tidak mensasarkan kepada golongan penoreh getah yang mengambil upah menoreh. Oleh itu, kerajaan seharusnya menstruktur semula sistem ini dan menentukan siapa sebenarnya golongan penoreh yang melakukan kerja menoreh getah dan golongan pemilik tanah yang menggunakan kaedah pawah. 

Kerajaan perlu bertindak segera dalam menjaga kebajikan puluhan ribu penoreh getah yang tidak memiliki kebun kerana golongan ini juga turut tertekan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, pendapatan yang kurang ketika musim hujan dan harga makanan asas  yang semakin meningkat.

Sehubungan itu, saya menggesa agar kerajaan segera mengkaji semula sistem agihan IPG secara holistik dengan memastikan golongan penoreh yang mengambil upah menoreh juga tidak dipinggirkan dan mendapat manfaat dalam IPG dengan seadilnya. 

“Malaysia Sejahtera”

SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 27/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -