Mas Ermieyati kekal Ahli Parlimen Masjid Tanah

Mas Ermieyati Samsudin
- Advertisement -

MELAKA: Datuk Mas Ermieyati Samsudin kekal sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

- Advertisement -

Ini susulan Hakim Mahkamah Pilihan Raya Melaka, Abu Bakar Katar, hari ini membatalkan petisyen pilihan raya yang dikemukakan oleh calon BN bagi kerusi parlimen itu, Abdul Hakim Abdul Wahid untuk mencabar keputusan PRU15 yang difailkan beliau pada 3 Januari lalu.

Abdul Hakim memfailkan petisyen itu di Mahkamah Pilihan Raya Melaka bagi membatalkan kemenangan Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket PERIKATAN NASIONAL (PN) atas dakwaan berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi pada PRU15 lalu.

Namun, mahkamah sebelum ini menolak petisyen difailkan calon BN berkenaan, bagi menafikan kemenangan Mas Ermieyati menjadikan beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah.

Bagaimanapun Abdul Hakim kemudiannya membuat rayuan terhadap keputusan itu dan Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen berkenaan dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

Peguam mewakili Mas Ermieyati, Faizi Che Abu berkata, mahkamah memutuskan Abdul Hakim gagal membuktikan tanpa keraguan munasabah bahawa wang diagihkan semasa tempoh kempen untuk mendorong pengundi memilih PN.

Faizi berkata, mahkamah juga menganugerahkan kos RM50,000 kepada Mas Ermieyati.

Pada PRU15 lalu, Mas Ermieyati berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Majid Tanah setelah memperoleh 25,604 undi, sementara calon BN, Abdul Hakim (21,193), Mutalib Uthman (Muda – 7,445 dan Handrawirawan Abu Bakar (Pejuang – 507). – HARAKAHDAILY 27/10/2023

- Advertisement -