Peruntukan RM995,000 atasi masalah air Kem Terendak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Masalah air yang membelenggu penghuni Kem Terendak, Melaka, dijangka dapat diatasi melalui peruntukan RM995,000 yang diluluskan oleh kerajaan.

Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin, berkata perkembangan terbaharu ini adalah berdasarkan jawapan bertulis yang diberikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan berhubung isu itu di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

- Advertisement -

Katanya, jawapan tersebut adalah berhubung status terkini projek membaik pulih bekalan air di Kem Terendak Fasa Pertama yang pernah dibangkitkan.

“Projek ini melibatkan kerja pembinaan tangki sedutan baharu, sistem perpaipan, rumah pam dan kerja-kerja berkaitan sedang dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka.

“Memang saya pantau, kerja-kerja ini sedang dilaksanakan sejak 26 Mei lalu. Isu ini saya mula bahaskan pada Mac, kalau tak silap saya.

“Kemudian mula dilaksanakan pada Mei 2023 dan kemajuan projek kini mencapai 70 peratus. Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada November ini. Insya-Allah, kita akan pantau,” katanya kepada Harakahdaily di Dewan Rakyat, di sini, hari ini..

Beliau berkata, projek fasa Kedua yang melibatkan kerja pembinaan tangki sedutan, rumah pam dan tangki menara baharu serta menaik taraf sistem retikulasi paip air keseluruhan di Kem Terendak pula membabitkan kos RM32 juta.

Kata Bakri, ia akan dilaksanakan melalui Rolling Plan ke-4, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang akan dilaksanakan pada 2024.

“Alhamdulillah perjuangan kita selama ni untuk melihat kebajikan Angkatan Tentera Malaysia. Mudah-mudahan masalah air di Kem Terendak dapat diselesaikan dalam setahun dua lagi,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Pertahanan kerana bertindak balas terhadap isu ini dalam Perbahasan Titah di-Raja, tahun lepas.

“Memang beliau beritahu akan buat tiga fasa. Tetapi, hari ini disahkan apabila dijawab secara bertulis, apabila saya ajukan sekali lagi, dan dijawab secara bertulis dalam sidang Dewan Rakyat sekarang,” katanya.

Beliau juga menyatakan komitmen untuk membangkitkan isu membaik pulih Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Tangga Batu melibatkan tiga kompleks RKAT, iaitu di Tangga Batu, Desa Tun Razak dan Desa Taming Sari.

“Mudah-mudahan kali ini kerajaan berikan peruntukan yang tinggi untuk membolehkan Kementerian Pertahanan membaik pulih RKAT, terutama di Parlimen Tangga Batu,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/10/2023

- Advertisement -