Perkeso bantu orang ramai mendapat kerja

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan berjaya menempatkan lebih 37,000 orang pencari kerja dalam tempoh tiga tahun sehingga September tahun ini.

- Advertisement -

Manakala bagi tahun ini lebih 5,000 orang telah berjaya mendapat pekerjaan atau 70 peratus daripada jumlah sasaran mereka iaitu lebih kurang 7,000 orang menjelang akhir tahun ini.

Pengarahnya, Nora Yaacob berkata, jumlah itu merupakan satu kesan positif untuk membantu orang ramai mendapat kerja selain memberi satu peluang yang baik buat mereka yang terlibat.

Katanya, jumlah pencari kerja di Kelantan yang berdaftar melalui laman web Myfuture Jobs adalah lebih 144,000 orang untuk tempoh tiga tahun sehingga September lalu.

“Bagi tahun ini lebih 31,000 pencari kerja aktif dan kebanyakan mereka mendapat pekerjaan hasil daripada program kerjaya yang dianjurkan dan temuduga yang diadakan oleh majikan.

“Mereka ini mendapat kerja hasil daripada program Perkeso termasuk karnival kerjaya, temuduga di Pusat Satelit Myfuture Jobs iaitu di Pusat Komuniti Desa (PKRlD) Bukit Tandak, Rantau Panjang, PKD Gual Ipoh, Tanah Merah, Myfuture Jobs Centre di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Karnival Kerjaya Myfuture Jobs TVET di sini, hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK), Che Kamarudin Kamel Che Muhammad. – HARAKAHDAILY 22/10/2023

- Advertisement -