SHAH ALAM: Laungan doa wehdah sekali lagi memanaskan ruang Dewan IDCC, sebaik sahaja Muktamar Tahunan PAS Pusat Ke- 69, melabuhkan tirainya.
Dr Mohd Riduan Mohd Nor diberi kepercayaan sekali lagi mengepalai bacaan doa wehdah diiringi Tuan Guru Presiden dan semua ahli jawatankuasa PAS Pusat di atas pentas utama.
Semua perwakilan dan pemerhati berdiri sebagai tanda kebersamaan membela nasib rakyat Palestin yang dibantai kejam regim Zionis, Israel sejak sekian lama.
Dalam pada itu, Pengerusi Tetap Muktamar, Senator Husin Ismail dalam ucapan penutupnya memohon kemaafan bagi pihak majlis sekira terdapat salah silap dan kekurangan sepanjang muktamar berlangsung.
“Sebagai ‘qadam’ yang mengendalikan muktamar, saya juga merakamkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua perwakilan, para petugas, Jabatan Amal serta lain-lain yang tidak disebut di sini.
“Semoga usaha dan khidmat yang murni ini diberkati serta diterima Allah SWT,” ucap beliau.
Dalam pada itu, beliau tidak lupa mendoakan keselamatan semua hadirin agar selamat sampai ke destinasi masing-masing dengan selamat. – HARAKAHDAILY 22/10/2023