Kejayaan PAS-PN ada peranan Harakah

- Advertisement -

SHAH ALAM: Satu-satunya akhbar memperjuangkan Islam dan dakwah yang muncul di pasaran pada 1987 di negara ini, seakan-akan dilupakan apabila tidak ramai yang singgah di booth Harakah.

Perwakilan dan pemerhati yang datang ke muktamar di aras 7 bangunan IDCC mungkin tidak perasan kerana booth Harakah terletak di bahagian hujung aras tersebut, berhampiran surau.

- Advertisement -

Pada muktamar kali ini, Bahagian Pemasaran Harakah membawa 1,000 naskhah untuk dijual bagi tatapan perwakilan dan pemerhati yang datang dari seluruh negara.

Bagaimanapun jumlah naskhah yang dibawa didapati hanya sedikit susut, sedangkan Harakah memuatkan pelbagai isu semasa dan berkaitan dakwah yang boleh dikongsi orang ramai.

Ketua Pegawai Operasi Harakah, Ustaz Kamal Shaari berharap perwakilan dan pemerhati yang datang ke muktamar berkunjung ke booth Harakah bagi mendapat naskhah terbaharu edisi Jumaat.

“Setiap pendukung PAS perlu menyokong Harakah yang merupakan satu-satunya akhbar berorientasi Islam yang terdapat di negara kita.

“Tanpa bantuan setiap ahli dan penyokong PAS di seluruh negara sudah pasti akhbar tersebut sukar untuk meneruskan kesinambungan dalam suasana kesuraman media cetak sekarang.

“Ahli dan penyokong PAS tidak dapat menafikan kehadiran Harakah yang kini melewati usia lebih 30 tahun banyak membantu menyemarakkan lagi politik Islam dan dakwah di negara ini,” katanya.

Menurutnya, Harakah juga memainkan peranan penting sehingga PAS dan PERIKATAN NASIONAL muncul sebagai parti yang popular di Malaysia sekarang sehingga menguasai empat negeri pada Pilihan Raya Umum lepas. – HARAKAHDAILY 21/10/2023

- Advertisement -