Generasi Sejahtera, Mengisi Kemenangan

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا
يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat-benar (dalam segala perkara), Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.” (al-Ahzab: 70-71)

- Advertisement -

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا أَنْصَارَ اللَّهِ كَمَا قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ لِلْحَوَارِيِّينَ مَنْ أَنْصَارِي إِلَى اللَّهِ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنْصَارُ اللَّهِ فَآمَنَتْ طَائِفَةٌ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَكَفَرَتْ طَائِفَةٌ فَأَيَّدْنَا الَّذِينَ آمَنُوا عَلَى عَدُوِّهِمْ فَأَصْبَحُوا ظَاهِرِينَ

“Hai orang yang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah sebagaimana Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: “Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?” Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: “Kamilah penolong-penolong agama Allah”, lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan lain kafir; maka Kami berikan kekuatan kepada orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang yang menang.” (as-Saff: 14)

1.0 MUQADDIMAH

Saya menyambut anda dengan salam Islam, salam yang sejahtera, salam yang diberkati dan yang terbaik dari Allah, ‘Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum’, selamat datang dan selamat bermuktamar kepada semua perwakilan, pemerhati dan tetamu yang hadir bagi menjayakan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke-64 bagi sesi 2021-2023 di IDCC Ideal Convention Centre, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Bahulu Kemboja Hidangan Tradisi,
Kelopak Lambang Sembilan Daerah
Selamat Datang ke IDCC
Bertapak Pejuang Ke Dewan Bertuah

Dihulur Salam Hati Tertarik
Berdagang Jauhari Batu Delima
Shah Alam Bandaraya Anggerik
Ibu Negeri Selangor Sejahtera

Ditumis lada Sate Kajang
Perut diisi Di Waktu Malam
Pakar Pemuda Pelbagai Bidang
Bersama Di Posisi Bantu Islam

1.1 Allah berfirman di dalam Surah Ali-Imran, ayat 110;
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ ۗ وَلَوْ ءَامَنَ أَهْلُ ٱلْكِتَـٰبِ لَكَانَ خَيْرًۭا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ

Maksudnya, ”Kamu umat Muhammad SAW adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi manusia, kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang keji, serta kamu pula beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab iaitu Yahudi dan Nasrani beriman sebagaimana yang sepatutnya, maka tentulah keimanan itu menjadi baik bagi mereka. Tetapi, di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang yang fasik.” (al-Imran : 110)

1.2 Allah menyatakan bahawa umat Nabi Muhammad SAW adalah sebaik-baik umat yang dijadikan di muka bumi ini. Mereka disifatkan sebaik-baik ummah kerana mempunyai keperibadian yang tuntas; seimbang dalam menyuruh berbuat perkara kebaikan dan tidak leka dalam mencegah perkara kemungkaran. Allah juga memberikan perumpamaan kepada mereka yang berlawanan dengan ciri-ciri tersebut sebagai mirip dengan Ahli Kitab yang dicela oleh Allah SWT. Penegasan dibuat oleh Allah SWT dalam ayat ke 112, “Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia.”

1.3 Surah An-Nur, ayat 55, Allah menyatakan bahawa,
وَعَدَ اللّٰهُ الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِى الْاَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِهِمْۖ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِيْنَهُمُ الَّذِى ارْتَضٰى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِّنْۢ بَعْدِ خَوْفِهِمْ اَمْنًاۗ يَعْبُدُوْنَنِيْ لَا يُشْرِكُوْنَ بِيْ شَيْـًٔاۗ وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذٰلِكَ فَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْفٰسِقُوْنَ
Maksudnya, “Allah telah menjanjikan kepada orang di antara kamu yang beriman dan yang mengerjakan kebajikan, Dia akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang sebelum mereka berkuasa. Dan sungguh, Dia akan meneguhkan bagi mereka dengan agama yang telah Dia redai. Dan Dia benar-benar mengubah (keadaan) mereka, setelah berada dalam ketakutan menjadi aman sejahtera. Mereka (tetap) menyembahKu dengan tidak mempersekutukanKu dengan sesuatu apa pun. Tetapi barang siapa (tetap) kafir setelah (janji) itu, maka mereka itulah orang yang fasiq.” (an-Nuur : 55)

1.4 Allah SWT telah menjanjikan kepada Nabi Muhammad SAW dengan menjadikan umat baginda sebagai pemimpin kepada manusia. Janji itu telah diberikan oleh Allah S.W.T. dan telah dibuktikan dengan Pembukaan Kota Mekah (Fathu Makkah) serta perluasan kerajaan-kerajaan Islam di kawasan semenanjung Arab hingga ke serata dunia.

2.0 TEMA MUKTAMAR: GENERASI SEJAHTERA, MENGISI KEMENANGAN

2.1 Pilihanraya Umum ke-15 telah menyaksikan gabungan-gabungan parti politik utama iaitu Perikatan Nasional, Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah bertanding bagi merebut 222 kerusi Parlimen. Pada masa yang sama sebanyak 116 buah kerusi Dewan Undangan Negeri bagi Negeri Perlis, Perak dan Pahang turut dipertandingkan. Di peringkat persekutuan, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional telah mencapai kata sepakat untuk bekerjasama bagi membentuk Kerajaan Campuran bersama-sama dengan Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah.

2.2 PAS telah mengambil strategi politik bergabung dengan Perikatan Nasional dengan menawarkan kepimpinan yang kompeten, bersih dari segala penyalahgunaan kuasa, menjanjikan kerajaan yang stabil dan sejahtera serta membawa pendekatan yang lebih mengutamakan kebajikan rakyat. Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 dan Pilihan Raya Umum enam Dewan Undangan Negeri ke-15 baru-baru ini telah menjustifikasikan kekuatan PAS di dalam gabungan Perikatan Nasional yang mendapat sokongan jitu, terutamanya daripada majoriti pengundi Melayu. Lihat sahaja kemenangan total di Terengganu (32-0) yang boleh diabadikan sebagai suatu sejarah yang unggul, kemenangan majoriti yang hampir menyapu bersih kerusi di Kelantan (43-2), di Kedah (33-3), serta penambahan kerusi yang sangat memberangsangkan di tiga negeri pantai barat.

2.3 Perikatan Nasional hari ini memiliki 74 orang Ahli Dewan Rakyat dalam Parlimen Malaysia di mana 43 daripadanya adalah daripada parti PAS. Di peringkat Dewan Undangan Negeri pula, Perikatan Nasional memiliki seramai 208 orang ahli Dewan Undangan Negeri di mana 147 daripadanya adalah daripada parti PAS. Perikatan Nasional juga turut berjaya membentuk Kerajaan di Negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu di mana ketua kerajaan dilantik dari parti PAS.

2.4 Pengundi Muda telah menjadi kelompok penentu kepada keputusan PRU15 dan PRN15. Kita juga telah menyaksikan bagaimana anak muda telah memberikan undi yang maksima kepada Perikatan Nasional. Jika kita singkap statistik pengundi Pilihan Raya Umum ke 15 bagi enam Negeri baru-baru ini, jumlah pengundi berdaftar adalah seramai 9,773,571 orang. Dari jumlah tersebut, iaitu 51.88% atau 5,070,652 merupakan Pengundi Muda dan dari angka itu seramai 3,254,239 merupakan Pengundi Pertama Kali (First Time Voters). Perikatan Nasional melalui slogannya ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’ telah menjadi pilihan majoriti anak muda di Negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Pahang. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pengundi khususnya anak muda yang telah memilih Perikatan Nasionalƒ. Syabas juga turut diucapkan kepada semua jentera di pelbagai lapisan yang telah berkorban masa, tenaga dan wang ringgit bagi memastikan Perikatan Nasional mencapai kejayaan yang besar pada hari ini.

2.5 Ini merupakan prestasi terbaik dalam sejarah PAS. Kepimpinan yang dipilih oleh rakyat serta amilin yang terdiri daripada pemuda-pemuda dalam mendukung kekuatan kepimpinan sewajarnya menjadi sebuah generasi yang dicontohi masyarakat. Justeru, GENERASI SEJAHTERA, MENGISI KEMENANGAN merupakan tema yang dipilih pada MUKTAMAR DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA KALI KE-64.

2.6 Tema ini juga adalah suatu seruan DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA kepada ahli Pemuda di seluruh negara agar menginsafi suatu hakikat bahawa kejayaan besar yang dikurniakan Allah SWT hadir dengan tanggungjawab dan amanah yang sangat besar. Kemenangan ini perlu diisi dengan penuh rasa tawaduk dan rasa kehambaan. Kemenangan yang dikurniakan tidak boleh dijadikan modal untuk meraih laba bagi kepentingan diri, sebaliknya dijadikan sebagai peluang ber’amal. Pelbagai perancangan perlu disusun mengikut hala tuju strategik yang telah rangka di peringkat pucuk pimpinan parti. Dan perancangan ini haruslah dilaksanakan dengan cermat dan teliti bagi MENGISI KEMENANGAN. Anak muda yang telah memilih PAS dalam siri-siri pilihan raya dalam tempoh setahun yang lalu, sudah tentu mahu melihat PAS memberikan prestasi yang terbaik dalam mentadbir. Tempoh empat tahun yang akan datang merupakan suatu tempoh yang akan menjadi neraca cerminan kepada kemampuan PAS untuk mentadbir Malaysia bagi memenuhi aspirasi langit dan bumi selari dengan Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051 (WINS2051).

3.0 KERAJAAN YANG BERSIH DAN STABIL

Prestasi Perikatan Nasional

3.1 Kempen ‘PN Best’ digarap dari prestasi terbaik yang ditunjukkan oleh Perikatan Nasional sepanjang menjadi pentadbir bagi Kerajaan Malaysia. Prestasi ini dapat dilihat dari pelbagai petunjuk ekonomi yang diakui oleh banyak badan penarafan antarabangsa setelah negara mengharungi krisis kesihatan, krisis ekonomi dan krisis politik. Keprihatinan Kerajaan sepanjang pentadbiran Perikatan Nasional telah ditonjolkan melalui pelbagai pakej rangsangan ekonomi dan pakej bantuan prihatin rakyat. Rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat dapat merasai limpahan manfaat dari pakej-pakej bantuan yang diberikan. Perniagaan serta industri kecil dan sederhana juga mendapat pelbagai kemudahan bagi meneruskan kelangsungan aktiviti perniagaan mereka.

3.2 Perikatan Nasional juga turut mengekal imej bersih dengan memastikan anggota pentadbiran di semua kementerian dilantik dari kalangan Ahli Parlimen yang tidak terpalit kes mahkamah. Perikatan Nasional juga turut menekankan soal kebebasan institusi keadilan dengan tidak mencampuri sebarang urusan pendakwaan dan kehakiman walaupun terdapat tekanan dari sesetengah pihak yang mahu beberapa kes yang sedang dibicarakan di mahkamah untuk dihentikan.

3.3 Perikatan Nasional turut mengaspirasikan sebuah kerajaan yang stabil sebagai suatu natijah daripada pembudayaan etika bersih rasuah serta pembangunan ekonomi yang menyeluruh. Jentera kerajaan yang dipimpin oleh anggota pentadbiran yang bersih dapat menambah keyakinan pelabur dari luar. Hal ini sudah terbukti kerana sepanjang tempoh pentadbiran oleh Kerajaan Perikatan Nasional, kadar pertumbuhan ekonomi dan kadar kemasukan pelaburan asing adalah antara yang tertinggi.

3.4 Dalam tempoh dua tahun pertama RMK12, yakni dari tahun 2021 hingga 2022, negara telah mencatat pertumbuhan purata KDNK sebanyak 5.9 % setahun. Peningkatan ini membuktikan kepimpinan di bawah YB Tan Sri Dato’ Seri Haji Muhyiddin Haji Md Yasin telah menunjukkan rekod prestasi yang sangat membanggakan dalam mengurus tadbir ekonomi negara selepas menghadapi suasana Pandemik Covid-19. Syabas dan tahniah!

Belang Sebenar (‘true color’) Pakatan Harapan

3.5 Setelah pembentukan kerajaan campuran Pakatan Harapan, kita dikejutkan dengan pelbagai tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadap penyokong Perikatan Nasional. Tuduhan seperti ‘rasis’ dan ‘tidak bijak memilih’ telah dilemparkan oleh pemimpin dari pihak kerajaan. Kempen ‘PN Best’ di platform-platform media sosial begitu berkesan sehingga mengundang rasa iri hati oleh para penyokong parti lawan. Ada di antara pencipta kandungan di media sosial telah didatangi oleh pihak berkuasa sebagai suatu langkah provokasi hanya kerana individu tersebut mencipta kandungan yang memberi kredit kepada Perikatan Nasional. Walaupun keadaan sedikit panas, semua penyokong Perikatan Nasional, terutamanya anak muda dilihat tenang, matang dan tidak mudah koyak. Hingga kini anak muda masih lagi kekal memberi sokongan padu terhadap Perikatan Nasional dan indikator ini dapat dilihat pada keputusan Pilihan Raya ke-15 Dewan Undangan Negeri yang lalu.

3.6 Insiden prejudis atau kebencian berlandaskan sentimen ekstremis Islamophobia oleh sesetengah kumpulan ini semakin merawak dalam masyarakat kita termasuklah golongan yang mengamalkan budaya politik yang melampaui batas. Ia terbukti dengan penahanan dan pertubuhan terhadap beberapa individu yang tidak segan untuk mengeji atau menghina agama Islam, umat Islam mahupun figura Islam sejak kebelakangan ini terutama dalam media sosial. Ungkapan ekstremis dan pelampau sering dilaungkan oleh penyokong-penyokong Pakatan Harapan kepada mereka yang berpegang dengan dasar dan fundamental beragama yang kukuh. Amat kesal kerana golongan-golongan inilah yang menjadi batu api dalam memecahbelahkan keharmonian umat Islam di Malaysia.

3.7 Susulan dua portal berita yang tidak boleh diakses kerana disyaki telah disekat oleh pihak kerajaan dan siasatan pihak berkuasa ke atas beberapa aktivis media sosial baru-baru ini merupakan perlanggaran yang serius terhadap kebebasan bersuara di bawah kelolaan Kerajaan Madani. Adalah menyalahi Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan apabila seorang Menteri menyekat kebebasan bersuara tanpa alasan yang tidak jelas dan tepat. Adakah hak kerajaan untuk memutuskan perkara yang benar atau tidak tepat? Mungkin mereka lupa pemansuhan yang telah dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 2018 terhadap Akta Anti berita Palsu yang dianggap sebagai ancaman kebebasan bersuara. Fitnah atau berita palsu ini haruslah ditangani dengan penjelasan yang tuntas, bukan dijenayahkan.

Pentadbiran Pakatan Harapan Yang Lemah

3.8 Sifat amanah atau adil membawa maksud meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul. Adil adalah salah satu daripada sifat Al-Amin. Seorang pemimpin, harus mempunyai sifat amanah dan adil dalam kepimpinannya. Hadis Rasulullah SAW:

عن أبي ذر رضي الله عنه قال: قُلتُ: يَا رسُولَ الله، أَلاَ تَسْتَعْمِلُنِي؟ فَضَرَبَ بِيَدِهِ عَلَى مَنْكِبِي، ثُمَّ قَالَ: «يَا أَبَا ذَرٍّ، إِنَّكَ ضَعِيفٌ، وَإِنَّهَا أَمَانَةٌ، وَإِنَّهَا يَوْمَ القِيَامَةِ خِزيٌ وَنَدَامَةٌ، إِلاَّ مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا، وَأَدَّى الَّذِي عَلَيهِ فِيهَا
[رواه مسلم]

Maksudnya: Abu Zar RA bercerita: Aku pernah bertanya: “Wahai Rasulullah, tidakkah tuan mahu menjadikanku sebagai penjawat (dalam urus tadbir)?” Lantas baginda pun menepukkan tangannya ke bahuku, kemudian bersabda: “Wahai Abu Zar, sesungguhnya kamu itu lemah (dalam urus tadbir), sedangkan ia merupakan suatu amanah dan ia pada Hari Kiamat hanyalah kehinaan serta penyesalan, kecuali bagi sesiapa yang mengambilnya dengan haknya dan melaksanakan tanggungjawab yang dipikulkan terhadapnya.” (Riwayat Muslim).

3.9 Malangnya, selama 11 bulan pemerintahan Madani ini, jelas terzahir kelemahan tatakelola mereka dalam memimpin negara. Satu demi satu kelemahan, kecelaruan, kelesuan, ketidakupayaan, kebobrokan dan hipokrasi mereka terserlah. Pemerintahan yang bercirikan kleptokrasi, kakistokrasi, dihantui dengan isu integriti, pengurusan pentadbiran yang cacamerba dan tidak cekap. Kerajaan sedia ada juga jelas gagal menterjemahkan manifesto mereka dalam hala tuju dan dasar-dasar negara. Mereka hanya sekadar mampu berteori dan sangat defensif, tanpa tindakan yang segera dan tuntas.

3.10 Konsep keadilan yang dilaungkan oleh Kerajaan Madani amat mengelirukan dan terbukti hanya retorik semata-mata. Pelantikan seorang pemimpin dalam jawatan tertinggi pentadbiran negara yang mempunyai rekod 47 pertubuhan yang membabitkan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membuktikan kerajaan campuran Pakatan Harapan-Barisan Nasional sanggup menggadaikan prinsip demi kuasa. Ditambah pula dengan episod layanan istimewa diberikan dihentikan pendakwaan di saat prima facie telah berjaya dibuktikan, membuktikan dengan jelas betapa mereka sanggup melacurkan prinsip keadilan demi kekal di puncak kuasa.

Kegagalan Kerajaan Madani Mengurus Ekonomi Negara

3.11 Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak berkata. Kita tidak perlu menjadi Al-Ghazali, kita tidak perlu menjadi Ibnu Khaldun, kita tidak perlu menjadi Albert Einstein, jauh sekali daripada menjadi seperti sebahagian Menteri dalam Kerajaan yang masih lagi terkial-kial mencari formula ajaib. Lebih menggusarkan, masih ada lagi yang bersikap menafikan keberadaan krisis di negara kita dengan menyalahkan pihak lain atas kelemahan Kerajaan yang ada.

3.12 Kita masih ingat lagi jawapan sinis seorang Menteri Formula, katanya ‘By right, kalau harga ayam itu dah mahal sangat, we should reduce makan ayam’. Menteri yang sama baru-baru ini menyalahkan rakyat Malaysia ketagih makan luar yang menyebabkan susut pendapatan. Maka pada ketika ini, apabila harga beras naik, jika ikut formula ajaib Menteri, kena kurang makan nasi dan lebihkan makan roti. Tak lama lagi harga tepung gandum pula mungkin melambung, maka Menteri akan berpesan kena berhenti makan roti pula.

Jangan dibuka pintu lukah,
Jika dibuka ikan meluru,
Jangan suka mencari salah,
Salah kita baiki dahulu.

Rosak tiang kerana condong,
Tiang condong cepat robohnya,
Rosak orang kerana sombong,
Orang sombong cepat jatuhnya.

3.13 Harga beras import sehingga 36 peratus berbanding sebelum ini, beras tempatan pula didapati sukar untuk diperolehi. Bukankah antara permulaan kepada krisis beras ini adalah apabila negara India telah mengenakan larangan eksport beras beberapa bulan yang lalu? Umum mengetahui India adalah negara yang menyumbang lebih daripada 40% daripada eksport beras dunia. Ini bermakna larangan eksport bakal meningkatkan harga beras. Mengapa Kerajaan tidak bertindak lebih awal berkenaan isu ini? Adakah kerajaan hanya sedar pada ketika krisis beras meruncing di dalam negara? Sebenarnya Kerajaan lambat dan lembab dalam bertindak dan lebih tepat lagi Kerajaan pada ketika ini sebenarnya tidak tahu mengurus negara.

3.14 Pada ketika negara berhadapan dengan krisis beras, Beras Ganu iaitu jenama beras keluaran anak syarikat kerajaan Negeri Terengganu yang telah berjaya membekalkan beras tempatan untuk keperluan rakyat dan mendapat permintaan tinggi pengguna ekoran kenaikan harga beras import dan kekurangan beras tempatan lain di pasaran ketika ini. Inisiatif Beras Ganu boleh dijadikan salah satu contoh dalam membantu kekurangan bekalan beras dan perkara ini juga perlu diperluaskan dalam konteks mengurangkan kebergantungan kepada barangan import.

3.15 Sebahagian bahan mentah makanan, pengeluarannya boleh dibuat di peringkat dalaman sahaja tanpa bergantung kepada negara luar. Di sinilah anak muda perlu menyahut seruan untuk melibatkan diri di dalam pengeluaran bahan mentah makanan di dalam negara. Kerajaan-kerajaan Negeri di bawah SG4 perlu menyediakan platform dan peluang yang lebih luas kepada anak muda untuk melibatkan diri dalam bidang pertanian dan makanan agar ia menjadi model amalan terbaik dalam memastikan bekalan bahan mentah makanan sentiasa terjamin.

3.16 Kita sedar ramai anak muda hari ini terlibat dalam sektor ekonomi gig. Ekonomi gig menjadi pilihan alternatif anak muda kerana ia menyediakan peluang untuk menjana pendapatan yang amat luas – siapa yang usaha lebih, dia akan meraih lebih. Namun pada hari ini, kita lihat potensi untuk menjana pendapatan yang tinggi sudah semakin tipis. Perkara yang sama turut dalam dilihat apabila ramai peniaga gerai turut berhadapan dengan kemerosotan pendapatan. Situasi ini berlaku kerana kuasa membeli sudah semakin mengecil. Keadaan kini sebenarnya lebih mencabar jika dibandingkan dengan semasa negara berhadapan dengan krisis Covid-19.

3.17 Sebahagian besar peniaga yang ditemui menyatakan bahawa sungguhpun semasa krisis Covid-19 pendapatan mereka terjejas namun menurut mereka, pelbagai bantuan diterima daripada Kerajaan pada ketika itu membolehkan mereka meneruskan perniagaan masing-masing. Geran Khas Prihatin (GKP) sebanyak RM3,000 untuk setiap Syarikat mikro yang memanfaatkan beratus ribu PKS mikro di seluruh negara termasuk peniagaan yang berasaskan makanan. Pelaksanaan moratorium pula dapat membantu peniaga makanan untuk memberikan fokus untuk mempertahankan perniagaan pada ketika itu, selain daripada membantu untuk perbelanjaan isi rumah terutamanya membeli barangan keperluan harian. Inilah antara contoh bagaimana sesebuah kerajaan yang prihatin boleh mengurus krisis ekonomi secara menyeluruh dan telus.

4.0 UMAT ISLAM ANTARABANGSA

Isu Umat Islam Di Seluruh Dunia

4.1 Dewan Pemuda PAS Malaysia tetap mengambil berat tentang apa yang berlaku di luar negara. Hal ini kerana PAS bukanlah hanya sebagai parti politik semata-mata. Namun, sebagai sebuah gerakan Islam yang mengambil cakna terhadap saudara-saudara se-Islam kita di seluruh dunia. Ini selaras dengan firman Allah dalam Surah An Nisa ayat 75 dan 76:

Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh)”. (an-Nisa : 75)

4.2 Situasi semasa yang sedang berlaku pada hari ini ialah keganasan yang dilakukan oleh negara haram Israel terhadap rakyat Palestin khususnya penduduk di Baitul Maqdis dan Gaza, sehingga terkini telah merebak ke seluruh Palestin. Ketegangan di Palestin berlaku sejak sekian lama sehingga ke hari ini. Walau bagaimanapun, sebagai umat Islam khususnya ahli PAS perlu sentiasa berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir dalam memperjuangkan isu Palestin. Walaupun rakyat Palestin gagal dilemahkan oleh negara Arab dan Islam yang telah mengecewakan mereka apabila melaksanakan normalisasi dengan Israel mengikut pengaruh negara Barat, namun semangat mereka tidak luntur dengan terus berjuang. Mereka menghadapi kezaliman dengan gagah berani, memberikan sumbangan dengan pengorbanan nyawa para syuhada’ yang bertali arus tidak henti-henti.

4.3 Dewan Pemuda PAS Malaysia komited dalam menyelesaikan serta mencari solusi terutamanya dalam isu-isu yang melibatkan dunia Islam seperti isu Palestin, Kashmir, dan Uyghur. Melalui Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa, Dewan Pemuda PAS Malaysia telah mengadakan Program Minggu al-Quds Sedunia yang dianjurkan oleh Lajnah Antarabangsa PAS Pusat dengan Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa DPPM di lima buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Perlis. Program-program lain seperti sidang meja bulat bagi menyelesaikan isu Kashmir, Uyghur dan Palestin turut dilaksanakan. Dalam masa yang sama, perjumpaan Dewan Pemuda PAS Malaysia bersama parti-parti di Indonesia seperti Partai Amanat Nasional (PAN), Partai Persatuan Pembangunan (PPP), Himpunan Mahasiswa Islam (HMI) dan Lembaga Dakwah Kampus (LDK) turut sepakat memperjuangkan isu Palestin tanpa belah bahagi.

Isu Geo-Politik Serantau

4.4 Malaysia seharusnya lebih proaktif dalam meneliti isu-isu melibatkan persempadanan negara khususnya di sempadan maritim. Dasar-dasar seperti Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 yang meliputi Nilai Teras Keselamatan Negara dalam aspek Pengiktirafan Antarabangsa sewajarnya mendapat perhatian berterusan oleh Kerajaan khususnya Wisma Putra. Perkembangan mutakhir ini begitu membimbangkan kita mengenai persempadanan maritim kita dengan negara sekitarnya. Dalam polemik Blok Ambalat, isu pertindihan tuntutan di blok ND6 dan ND7 Ambalat mencetuskan tanda tanya yang masih gagal dituntaskan oleh Kerajaan Persekutuan pada hari ini.

4.5 Oleh sebab itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa supaya Kerajaan mengambil berat isu kedaulatan negara khususnya melibatkan persempadanan maritim negara. Usah ambil ringan terhadap segala rungutan dan pertikaian yang berbangkit. Dokumen-dokumen berkaitan triti berkenaan hendaklah dinyahklasifikasi segera agar rakyat dapat mengetahui setiap butiran dan terma yang telah dipersetujui. Sewajarnya Kerajaan menyediakan sesi penerangan yang menyeluruh terhadap polemik Blok Ambalat ketika ini. Kami berpandangan rakyat di negara ini berhadapan situasi ‘assymmetrical information’ atau ketidaksepadanan maklumat di antara Malaysia dan Indonesia dalam isu Ambalat. Begitu menghairankan apabila media Indonesia meraikan kejayaan rundingan 18 tahun Blok Ambalat sedangkan media dan rakyat di negara ini masih terpinga-pinga apa sebenarnya kandungan triti yang dikemukakan.

4.6 Dewan Pemuda PAS Malaysia juga berpendirian isu persempadan maritim negara harus kembali ke medan wacana dan diskusi bersama kumpulan pakar dan ahli akademik. Kita harus membedah ruang lingkup isu-isu yang melingkari sempadanan perairan sementelah sebahagian besar sempadan negara kita dilingkungi oleh perairan. Kita sewajarnya belajar daripada kehilangan Batu Puteh ke tangan Singapura pada tahun 2008, apatah lagi secara tiba-tiba Kerajaan Persekutuan menghentikan rayuan ke ICJ yang sepatutnya dibuat pada tahun 2018.

Hubungan Dengan ASEAN dan China

4.7 Isu Laut China Selatan juga antara isu pertindihan tuntutan sempadan maritim yang masih belum berpenghujung. Kemelut penyelesaian antara ASEAN dan China melalui pendokumentasian Code of Conduct terhadap Laut China Selatan kelihatan masih mempunyai persoalan lanjut apabila China menerbitkan Peta Standard China Edisi 2023. Penerbitan peta itu bukan sahaja melibatkan Malaysia dan negara-negara penuntut dalam kalangan ASEAN sendiri, bahkan juga negara India yang turut terpalit sama apabila bahagian wilayah Arunachal Pradesh di Aksai Chin terangkum sama dalam peta standard berkenaan.

4.8 DPPM menyokong nota bantahan yang dibuat Wisma Putra sebagai usaha proaktif Kerajaan melindungi kepentingan negara di Laut China Selatan khususnya di sebahagian Kepulauan Spratly dan Beting Patinggi Ali. Namun, kita harus memandang penyelesaian jauh lebih ke hadapan menggunakan kolektiviti bersama rakan-rakan dalam ASEAN. Prinsip ‘hedging’ dalam menanggapi kuasa-kuasa besar US dan China amat diperlukan bagi mengelakkan rantau Asia Tenggara tenggelam dalam pertembungan konflik kuasa besar yang berpanjangan di samping mengekalkan keamanan sedia ada.

DUA ARAHAN UTAMA : TARBIAH DAN DAKWAH

5.0 TARBIAH JANGAN REBAH

5.1. Sudah sering kita diperingatkan di dalam program-program dalaman PAS akan pentingnya tarbiah. Ingatan ini adalah berasaskan petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah di samping adunan pengalaman gerakan Islam serta para tokoh murobbinya di sepanjang zaman. Program tarbiah paling asas ialah usrah dan tamrin. Bukan pemuda PAS namanya jika tiada usrah. Lajnah Tarbiah dan Perkaderan PAS sudah menyusun Nizam Tarbiah sebagai silibus tarbiah PAS yang sudah lengkap berjadual, tajuk dan pemeringkatannya. Kewajipan organisasi dan ahli pemuda di setiap peringkat ialah memastikan usrah berjalan semampu mungkin di samping program-program rutin yang selainnya.

5.2. Kefahaman yang jelas, penghayatan yang mendalam, hati yang bersih, niat yang ikhlas, keperibadian soleh, jati diri yang teguh dan berdisiplin adalah sumber kekuatan dalaman pemuda PAS. Rutin mereka adalah usrah, tamrin, liqa’ fikri, mukhayyam, ijtimak tarbawi, majlis-majlis ilmu, Al-Quran, Ma’thurat, solat berjamaah, melazimi ke masjid, puasa sunat, iftar jamaie, qiamullail, sedekah dan lain-lain lagi. Para pemuda PAS seharusnya dikenali melalui identiti rutin mereka sebegini yang membezakan mereka dengan para pemuda selain mereka.

5.3. Yakinlah, tanpa tarbiah pasti jamaah rebah. Tanpa tarbiah bercelarulah fikrah, tanpa tarbiah rengganglah ukhuwah, tanpa tarbiah longgarlah wala’, tanpa tarbiah hilanglah thiqah, tanpa tarbiah rosaklah jamaah. Pasakkan kalimah ini dalam jiwa pemuda PAS – Tarbiah! tarbiah! tarbiah! Janganlah kilauan kemenangan melekakan kita sehingga melupakan asas kekuatan kita yang paling utama. Janganlah taburan harta rampasan perang di tengah medan yang ditinggalkan musuh sekali kali melekakan tentera yang telah diarah berkubu di atas bukit, lantas menyaksikan Uhud sekali lagi ditawan oleh pihak lawan.

6.0 LEBARKAN CAKUPAN DAKWAH

6.1 Sejarah penubuhan dan pembangunan Madinah yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW telah membuktikan bahawa Islam merupakan satu sistem kehidupan yang diturunkan oleh Allah berupaya membawa keadilan dan keharmonian kepada masyarakat yang memiliki kepelbagaian agama dan bangsa. Prinsip kelapan Piagam Madinah menyatakan bahawa orang bukan Islam mempunyai hak dalam agama dan harta mereka. Mereka tidak boleh dipaksa memeluk agama Islam dan harta mereka tidak boleh dirampas. Prinsip ke-12 pula menekankan bahawa kerajaan mestilah membantu orang bukan Islam yang dizalimi sebagaimana kerajaan melindungi orang Islam yang diganggu. Prinsip-prinsip ini adalah bukti bagaimana Islam membela dan memberikan keluasan kepada orang bukan Islam.

6.2 Mahu tidak mahu, diakui oleh pihak lawan dan kawan, PAS telah menjadi sebuah parti arus perdana yang kuat. Bukan lagi hanya dilihat berteraskan Islam tetapi juga telah menjadi parti teras kepada orang Melayu. Walau bagaimanapun, kita menginsafi bahawa penerimaan pengundi atas pagar bukan Melayu kepada idea dan pendekatan PAS masih lagi perlu ditambahbaik. Taktik menakut-nakutkan rakyat atas pagar bukan melayu dengan isu perkauman dan agama masih lagi diguna pakai untuk melebarkan jurang. Namun, anak muda tidak boleh berputus asa dan berpeluk tubuh dalam memastikan pengundi atas pagar bukan Melayu ini memahami politik matang dan sejahtera yang PAS sedang bawa.

6.3 Jalan dakwah ini sangat panjang. PAS telah membawa tema ‘PAS Untuk Semua’ (PAS for all) pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-34 (2008) dan telah menatijahkan sokongan kepada PAS oleh masyarakat bukan Melayu pada beberapa siri pilihan raya umum semasa berada dalam Pakatan Rakyat. Sejak dari 2008 sehingga ke Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15, PAS telah mempertandingkan ahlinya yang bukan beragama Islam dari Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP). PAS juga telah melantik ketuanya, YB Senator Balasubramaniam sebagai ahli Dewan Negara. Bukan itu sahaja, ahli-ahli DHPP yang berkelayakan telah diberikan kepercayaan menggalas tugas sebagai pegawai khas kepada Menteri-menteri besar, Exco Kerajaan negeri-wakil-wakil rakyat dan beberapa posisi penting dalam masyarakat.

6.4 Dewan Pemuda PAS Malaysia telah mengambil peranan secara konsisten melalui Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) dalam usaha memperkukuhkan hubungan dengan badan-badan bukan Kerajaan (NGO) dan individu pempengaruh serta pemimpin masyarakat bukan Islam melalui program seperti sidang meja bulat, forum secara atas talian, majlis makan malam, penulisan, kunjung mahabbah dan banyak lagi. Alhamdulillah. Kita dapat lihat jurang pemahaman mereka terhadap Islam dan PAS makin kendur. Kesannya, sudah ada di kalangan mereka yang secara terbuka memberi sokongan kepada PAS malah menjadi jurucakap kepada PAS dan Perikatan Nasional. Tugas ini tidak mudah dan memerlukan komitmen yang tinggi dan masa yang bertahun-tahun.

6.5 Bagi menghadapi pilihanraya-pilihanraya pada masa akan datang, PAS perlu meletakkan dirinya bukan hanya sebagai parti teras Melayu tetapi juga disokong dan didokong oleh masyarakat berbilang kaum dan agama. Pemuda PAS akan terus memberikan komitmen dalam usaha membina jambatan antara PAS dan Masyarakat bukan Melayu dengan memperkasa komunikasi dan penerangan kepada mereka. Dewan Pemuda PAS percaya bahawa sikap hormat-menghormati perbezaan yang ada dalam masyarakat majmuk ini adalah penting dalam memastikan Malaysia akan terus harmoni, aman dan sejahtera. Kita yakin dengan strategi yang betul, pendekatan yang bijaksana, kita mampu memahamkan dan menarik sokongan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-16 nanti, insya Allah.

7.0 AGENDA MENGISI KEMENANGAN

Pemuda Yang Kompeten

7.1 Bekerja untuk menang adalah suatu perkara yang sukar. Namun, mengisi kemenangan adalah suatu perkara yang lebih rumit dan memerlukan pengorbanan, tanggungjawab, komitmen dan keupayaan yang secukupnya. Dewan Pemuda PAS ingin menegaskan bahawa kita tidak mahu generasi pemuda yang hanya sekadar berupaya memberikan komen di media sosial. Adalah menjadi suatu kewajipan kepada semua ahli-ahli pemuda untuk turun beramal, berjihad dan berkorban. Telah ditekankan pada ucaptama yang lalu, mengisi kemenangan memerlukan pemuda yang bekerja (Rijalul Fa’al). Memetik kata-kata Saidina Uthman bin Affan R.A. selepas dibaiahkan sebagai khalifah:
إنكم إلى إمامٍ فعّال أحوجَ منكم إلى إمامٍ قوّال
Maksudnya, “Sesungguhnya kalian lebih berhajat kepada seorang pemimpin yang banyak bekerja daripada yang banyak berkata-kata. (Tafsir al-Qurtubi : 18/115).

7.2 Firman Allah di dalam Surah An-Nisa’, ayat 95:
لَّا يَسْتَوِى ٱلْقَـٰعِدُونَ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ غَيْرُ أُو۟لِى ٱلضَّرَرِ وَٱلْمُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ ۚ فَضَّلَ ٱللَّهُ ٱلْمُجَـٰهِدِينَ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ عَلَى ٱلْقَـٰعِدِينَ دَرَجَةًۭ ۚ وَكُلًّۭا وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلْحُسْنَىٰ ۚ وَفَضَّلَ ٱللَّهُ ٱلْمُجَـٰهِدِينَ عَلَى ٱلْقَـٰعِدِينَ أَجْرًا عَظِيمًۭا
Maksudnya, “Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang yang beriman, selain daripada orang yang ada keuzuran, dengan orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang yang berjuang atas orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar.
7.3 Untuk bekerja dengan baik, seorang pemuda itu perlu dibentuk dengan baik. Dijelaskan akidahnya. Dipupuk fikrahnya. Diperkemaskan ibadahnya. Dipastikan 10 muwasafat tarbiah mencapai petunjuk prestasi yang sewajarnya. Dimaknai kepakaran bidangnya, agar setiap pemuda itu akhirnya menjadi seorang amilin, pendokong dan menerajui kepemimpinan masa depan. Pemuda ini seharusnya mempunyai set kompetensi yang terbaik. Antara yang terpenting adalah; حَفِيظٌ عَلِيمٌۭ (menjaga dan tahu mengurus) seperti yang dikisahkan di dalam Al-Quran di dalam surah Yusuf ayat 55, ٱلْعِلْمِ وَٱلْجِسْمِ ۖ(ilmu dan jasmani) pada kisah Talut dalam surah Al-Baqarah ayat 247 dan ٱلْقَوِىُّ ٱلْأَمِينُ (Kuat lagi bertanggugnjawab) pada kisah nabi Musa di dalam surah Al-Qasas ayat 26. Ketiga-tiga kriteria ini merujuk kepada ciri-ciri asas intelektual, integriti dan kompetensi yang perlu digilap pada setiap pemuda PAS.

Metodologi 5S
Dewan Pemuda PAS Malaysia ingin menengahkan Amalan 5S yang boleh digunapakai bagi menguruskan pengisian kemenangan secara lebih tersusun dan sistematik. Dipelopori dari negara Jepun; Seiri, Seiton, Seiso, Seiketsu dan Shitsuke adalah lima langkah tindakan pelaksanaan yang diringkaskan menjadi 5S.

7.4 Seiri / Sisih – sisih perbincangan yang tidak produktif, sekarang adalah masa untuk bekerja. Salurkan tenaga dan masa kepada perkara dan perbincangan yang membina. Usaha menyediakan pemuda-pemuda yang mempunyai asas intelektualiti, integriti dan kompetensi yang kukuh diteruskan melalui program-program pembangunan diri dan kerjaya yang dikelolakan oleh Jabatan Pembangunan Graduan, Jabatan Profesional Muda dan Akademi Kepimpinan Pemuda.

7.5 Seiso / Sapu – sucikan jiwa dan hati para pemuda melalui amalan ibadat yang sahih bagi membina akidah yang jernih. Pastikan para pemuda ikuti program tarbiyah yang telah ditetapkan oleh pihak AKTAR. Untuk mengisi kemenangan, pemuda PAS perlu memperkasakan diri dengan keperluan ilmu Islam dan fikrah perjuangan. Fahami latar belakang perjuangan PAS, sejarah penubuhannya, perlembagaannya, dasar dan prinsip PAS, manhaj dan halatuju serta pendekatan semasa yang diputuskan oleh pimpinan PAS. Persiapan keperibadian (zatiah) mencakupi tarbiah ruhiah, ‘aqliah, jasadiah, harakiah dan amaliah, agar PAS dapat melahirkan pemuda yang beriman dan beramal dan tidak hanya berteori.

7.6 Seiton / Susun – setiap tenaga pemuda yang telah dikenal pasti perlu disusun di posisi yang sesuai dan optimum. Pemuda perlu sentiasa bersedia untuk memikul taklifan yang diberi tanpa banyak soal dan alasan. Ahli Pemuda yang memiliki kelayakan dan kompetensi yang sesuai perlu diberi ruang dan peluang untuk memenuhi fungsi dan taklifan sebagai salah seorang anggota pentadbiran dalam kerajaan-kerajaan negeri yang ditadbir. Semakin ramai individu profesional pelbagai bidang dan kepakaran telah memilih dan bersama dengan PAS. Mereka telah menyaksikan dan mengalami sendiri nilai integriti dan profesionalisma semasa PAS dan gabungan Perikatan Nasional memerintah sebelum ini. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk melipat gandakan lagi usaha untuk melahirkan pendokong-pendokong PAS serta menarik lebih ramai profesional dan bijak pandai untuk mengundi dan bersama kita, khususnya di kawasan-kawasan bandar, tidak dilupakan di Sabah dan Sarawak.

Justeru, dalam kesempatan ini Pemuda ingin sekali lagi menggesa kepimpinan parti untuk lebih serius memberikan ruang dan peluang kepada tenaga muda untuk tampil ke depan mengisi kemenangan. Sudah tentu Pemuda sedikit terkilan apabila dalam suasana anak-anak muda memberikan sokongan tinggi kepada PAS dan Perikatan Nasional dalam PRU15 tahun lepas, tiba-tiba di dalam PRN di enam buah negeri, penyertaan calon-calon muda sangatlah minimum. Jika dibincang dai konteks Ketua Pemuda Negeri, hanya satu sahaja Ketua Pemuda PAS Negeri bertanding di di kerusi Kota Anggerik di Selangor, mankala 5 lagi negeri tidak membariskan ketua pemuda negeri atas pelbagai sebab dan faktor.

Bukanlah Pemuda memburu kerusi untuk menjadi calon, namun apakah persepsi yang ingin kita bentuk dan hidangkan kepada anak muda di luar, jika parti kita sedikit bermasalah untuk memberikan ruang kepada muka baru berpencak silat di barisan hadapan. Justeru, di dalam mengisi kemenangan di negeri-negeri yang ditadbir, Pemuda menggesa agar ruang-ruang dalam kerajaan diperbanyakkan tenaga pelapis muda dengan perbincangan bersama Dewan Pemuda PAS negeri-negeri agar tenaga yang bertungkus lumus di peringkat parti turut sama didedahkan dalam agenda berkerajaan.

7.7 Seiketsu / Seragam – kesepaduan gerak kerja dapat dicapai melalui sistem musyawarah yang sering diamalkan. Keseragaman dalam gerak kerja juga boleh dicapai melalui pengarahan yang jelas dan sistem kawalan dan pelaporan yang mantap. Dewan Pemuda PAS melalui agensi, jabatan atau unit di bawahnya perlu memainkan peranan yang sewajarnya dalam melahirkan pemuda PAS yang mempunyai ciri-ciri yang dinyatakan ini secara bersungguh-sungguh (juhd), bersepadu (syumul) dan seimbang (tawaazun) tanpa mengabaikan mana-mana aspek. Kebimbangan Dewan Pemuda PAS adalah sekiranya kemenangan ini diurus tanpa melihat kepada aspek-aspek yang dinyatakan ini, akan menyebabkan akan timbul suatu hari nanti fitnah ke atas jamaah. Bimbang kepada ujian integriti, kompetensi yang diragui, istiqamah, ketahanan jiwa serta virus politik yang semakin lama semakin mencabar keimanan dan ketahanan iman.

7.8 Shitsuke / Sentiasa Amal – pemuda perlu berdisiplin dalam melaksanakan ketetapan dan arahan Jemaah. Ini bagi memastikan prestatsi PAS dan khususnya Pemuda PAS berada di tahap terbaik. Dewan Pemuda PAS Malaysia perlu terus serius terhadap misi mencetak pelapis pimpinan yang berkualiti ke arah kemenangan dan seterusnya membina ‘Better Malaysia’ yang mengimbangi aspek kecemerlangan dunia dan akhirat. Sektor Sumber Manusia dan Latihan (SSML) merupakan tonggak utama bagi merealisasikan misi ini. Acuan tarbiah PAS tidak hanya terhenti dengan kecemerlangan di PASTI-SRITI-SMITI, bahkan melalui SSML bakat-bakat kepimpinan boleh mula digilap sejak peringkat remaja/sekolah hingga ke Institut Pengajian Tinggi tempatan dan antarabangsa.

8.0 PENUTUP

Terbang Gagak Di Awan Raya,
Mentari Hangat Memancar Cahaya;
Agama Tonggak Negara Berjaya,
Penyatu Umat Sepanjang Masa.

Bandaraya Anggerik Teramat Cantik
Berdiri Seroja Tepi Jalanan
Kita Generasi Umat Terbaik
Generasi Sejahtera Mengisi Kemenangan

8.1 GENERASI SEJAHTERA, MENGISI KEMENANGAN merupakan suatu seruan yang tuntas kepada semua pemuda PAS untuk bersedia menabur bakti dan menyemai budi dalam era ini. Tanpa jihad dan pengorbanan, kita tidak akan mencapai kemenangan yang diimpikan. Tanpa taat dan tsabat, usaha kita akan menjadi sia-sia. Sudah pastinya, para penyokong dan rakyat Malaysia amnya sering membuat penilaian prestasi kita bagi tempoh empat tahun yang akan datang.

8.2 Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada para urusetia Panitia Muktamar DPPM kali ke-64 yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kelancaran muktamar pada hari ini. Terima kasih juga diucapkan kepada Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor selaku tuan rumah, anggota Jabatan Amal Malaysia serta barisan kepimpinan PAS negeri-negeri dan semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Muktamar Tahunan DPPM kali ke 64.

8.3 Saya akhiri ucaptama dengan firman Allah S.W.T. dari surah As Saf ayat 8 dan 9

يُرِيْدُوْنَ لِيُطْفِـُٔوْا نُوْرَ اللّٰهِ بِاَفْوَاهِهِمْۗ وَاللّٰهُ مُتِمُّ نُوْرِهٖ وَلَوْ كَرِهَ الْكٰفِرُوْنَ 

هُوَ الَّذِيْٓ اَرْسَلَ رَسُوْلَهٗ بِالْهُدٰى وَدِيْنِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهٗ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهٖۙ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُوْنَ

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).”

“Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad SAW) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.” – HARAKAHDAILY 20/10/2023

Teks ucaptama Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke-64 bagi sesi 2021-2023.

- Advertisement -