Penyatuan Ummah Menuju Kemenangan

Ustazah Nuridah Mohd Salleh
- Advertisement -

MUKADIMAH

- Advertisement -

1.            Alhamdulillah, sepenuh kesyukuran dirafakkan kepada Allah SWT ar-Rahman ar-Rahim, yang mengizinkan kita berhimpun di muktamar ini dengan Iman dan Islam. Selawat dan salam, kita peruntukkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, Rasulullah khatimul anbia wal mursalin. Mudah-mudahan kita sentiasa dipandu oleh ajaran al-Quran dan petunjuk kenabian pusaka Baginda SAW dalam mengharungi kehidupan yang semakin mencabar ini.

2.            Marilah sentiasa kita penuhkan hati-hati kita dengan keikhlasan, ketakwaan dan ketundukan kepada Allah SWT yang memberikan pelbagai nikmat yang tidak terperi banyaknya, khususnya sebagai anggota Parti Islam Se-Malaysia, PAS. Sehingga kini, alhamdulillah kita dapat meneruskan usaha-usaha perjuangan yang diwariskan sejak awal penubuhan PAS dengan Islam yang menjadi dasar perjuangan.

AKIDAH PERJUANGAN PAS

3.            Perjuangan ini adalah perjuangan yang berpasakkan kepada akidah yang teguh. Akidah adalah suatu ikatan keyakinan dan keimanan kepada seluruh rukun iman yang tidak terpisah. Kesatuan rukun iman ini mengikat diri, hati, pemikiran dan kehidupan seseorang dengan ajaran Islam. Asas akidah yang teguh akan mampu membangunkan suatu peradaban yang tinggi dan mulia sebagaimana yang terbukti dalam sejarah perjuangan umat Islam pada zaman Daulah Islam dahulu.

4.            Dengan akidah ini, kehidupan beragama, berbangsa dan bernegara di dunia ini menjadi terarah dan terpimpin semata-mata kerana keimanannya kepada Allah SWT dan seluruh rukun iman yang lain. Dengan keimanan ini, setiap niat dan amal yang dikerjakan oleh umat Islam ketika di dunia ini, dinilai oleh Allah SWT dan akan diganjari sesuai dengan amalnya, sama ada lelaki ataupun perempuan. 

Firman Allah SWT:

فَٱسۡتَجَابَ لَهُمۡ رَبُّهُمۡ أَنِّي لَآ أُضِيعُ عَمَلَ عَٰمِلٖ مِّنكُم مِّن ذَكَرٍ أَوۡ أُنثَىٰۖ بَعۡضُكُم مِّنۢ بَعۡضٖۖ فَٱلَّذِينَ هَاجَرُواْ وَأُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِمۡ وَأُوذُواْ فِي سَبِيلِي وَقَٰتَلُواْ وَقُتِلُواْ لَأُكَفِّرَنَّ عَنۡهُمۡ سَيِّ‍َٔاتِهِمۡ وَلَأُدۡخِلَنَّهُمۡ جَنَّٰتٖ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ ثَوَابٗا مِّنۡ عِندِ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ عِندَهُۥ حُسۡنُ ٱلثَّوَابِ  ١٩٥

[Surah Ali-Imran: 195]

Yang bermaksud: Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya): “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal daripada kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan pelbagai gangguan) kerana menjalankan agama-Ku, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur syahid dalam perang Sabil), sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala daripada sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)”. 

5.            Dengan dasar Islam ini, PAS bergerak sejak ditubuhkan mengajak seluruh masyarakat Malaysia bersama dengan semangat persaudaraan Islam (ukhuwah Islamiah) agar mempertahankan Islam sebagai agama persekutuan yang tidak boleh diganggu-gugat sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan negara.

6.            Persaudaraan Islam ialah salah satu daripada tiga para meter utama iman. Rasulullah SAW menegakkan negara dan masyarakat Islam Madinah dengan ketiga-tiganya iaitu pertama, kekuatan iman dan akidah. Kedua, kekuatan ukhuwah dan ikatan hati. Ketiga, kekuatan kepemimpinan dan ketenteraan.

7.            Oleh itu umat Islam dituntut untuk memimpin dengan kebenaran dan berjuang mengatasi segala kebatilan. Umat Islam mestilah berjuang untuk menang dan mengalahkan musuh yang enggan atau menolak hukum Allah ‘azza wa jalla. 

TEMA PENYATUAN UMMAH MENUJU KEMENANGAN

8.            DMPM masih mengekalkan lagi tema PENYATUAN UMMAH MENUJU KEMENANGAN sebagaimana muktamar tahun lepas bagi memberikan pengukuhan dan keseriusan terhadap agenda penyatuan ummah yang berteraskan Islam.

9.            Sebentar tadi kita sama-sama mendengar tilawah yang dibaca oleh qari jemputan yang mengandungi isyarat rabbani berkaitan ciri-ciri Ulul Albab yang diabadikan Allah SWT di dalam surah al-Ra’du ayat 19-22. Melalui ayat tersebut Allah memberi panduan bahawasanya usaha  gagasan penyatuan ummah adalah usaha menyempurnakan janji dengan Allah SWT sebagai khalifah-Nya di muka bumi ini. Antaranya, memelihara semua perintah Allah sama ada melibatkan hak Allah atau hak manusia termasuk menjaga silaturahim, rasa takut dan sentiasa bimbang dengan hisab yang akan dihadapi pada hari akhirat, sentiasa sabar menghadapi cabaran dan menyempurnakan sebaik mungkin solat, serta mencari jalan menolak kejahatan dengan kebaikan. 

MUSLIMAT PAS DALAM AGENDA PENYATUAN UMMAH

10.          Bukti-bukti praktikal penglibatan kaum muslimah  di  medan amar makruf nahi mungkar dalam sirah Rasulullah SAW dan sejarah Islam begitu jelas. Tinta emas telah mengabadikan  nama-nama besar kaum muslimah yang dijuarai oleh ummahatul mukminin dan sahabiah RA turut serta di dalam perjuangan menegakkan Islam sama ada pada awal Islam dan sepanjang  tertegaknya Daulah Islam selama 14 abad.

11.          Begitulah juga dengan kewujudan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) yang termaktub di dalam perlembagaan PAS adalah bertujuan; “untuk menyatukan tenaga wanita muslim dalam negara ini, di samping membentuk keperibadian muslimah yang bertanggungjawab kepada agama dan negara.”

12.          Dalam setiap siri muafakat yang dijalinkan oleh PAS, DMPM turut sama mendukung setiap keputusan dan bergerak seiring dalam siri permuafakatan bersama sayap wanita rakan kerjasama parti lain. DMPM sentiasa komited dalam pembinaan kesatuan dengan berusaha memantapkan kefahaman secara berterusan khususnya di kalangan Muslimat PAS sendiri.

 DMPM mengadakan program berkala seluruh negara seperti Gelombang ‘AKIFI dan Munajat Hour agar keyakinan dengan pertolongan Allah makin mantap, istiqamah menghadapi tribulasi perjuangan tanpa gentar dan mundur, serta sentiasa husnuz zon dengan segala takdir Allah SWT.

PENYATUAN UMMAH MENERUSI PEMUAFAKATAN POLITIK

13.          Pendekatan permuafakatan politik adalah implementasi terhadap agenda PAS untuk memenangkan Islam secara muwajahah silmiyyah di negara ini. Ia bukan sahaja menjamin kehidupan bertoleransi dan keseimbangan antara kaum tetapi juga mengukuhkan kestabilan politik di Malaysia.

14.          PAS konsisten dalam agenda penyatuan ummah menerusi pelbagai pendekatan permuafakatan politik.  Pada tahun 1972, PAS menyertai Parti Perikatan dan membentuk Kerajaan Campuran. Pada tahun 1985, PAS bekerjasama dengan parti orang-orang Cina melalui Consultative Chinese Council (CCC). Pada tahun 1990, PAS bergabung dengan Parti Semangat 46, Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) sebagai front parti pembangkang.

15.          Pada tahun 1999 kemunculan gelombang reformasi dan selepas peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim yang merupakan Perdana Menteri Malaysia hari ini, PAS berada dalam Barisan Alternatif (BA) membentuk kesatuan front pembangkang bersama PKR, DAP dan parti lain, kemudiannya menjadi Pakatan Rakyat (PR) pada tahun 2008. Pada tahun 2020, PAS bersama BERSATU dan GERAKAN membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

16.          Dalam masa yang sama pimpinan PAS dan UMNO kembali duduk sepentas memperkatakan tentang kepentingan Islam dan kebajikan orang Melayu sehingga termeterai Piagam Muafakat Nasional pada tahun 2019 dan akhirnya terbentuk kerajaan Muafakat dan Perikatan Nasional (MPN) pada 2021 yang dipimpin oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9 menggantikan YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin.

17.          Dengan ini, kita dapat lihat usaha PAS sekian lama untuk memberi kefahaman kepada masyarakat Melayu Islam, kaum bukan Melayu dan bukan Islam tentang matlamat perjuangan PAS. Keterbukaan PAS dengan pelbagai siri muafakat ini adalah satu indikasi bahawa PAS sentiasa  bertoleransi dan layak dilihat sebagai sebuah parti untuk semua kaum. 

18.          PAS tetap teguh dalam mempertahankan dasar perjuangannya apabila terpaksa berkonfrontasi dengan DAP apabila mereka menyentuh soal dasar perjuangan PAS di samping beberapa isu utama melibatkan kepentingan Islam, ummah dan ketuanan Melayu Islam.

KEBERADAAN MUSLIMAT PAS DALAM AGENDA POLITIK NEGARA

19.          Alhamdulillah dan tahniah DMPM ucapkan kepada calon Muslimat PAS yang telah memenangi PRU dan PRN yang lepas, serta kepada calon muslimat yang belum menang. Alhamdulillah dan tahniah juga kepada ADUN Muslimat yang dilantik sebagai Exco dan Timbalan Exco dalam kerajaan empat negeri yang diperintah oleh PN. Tidak lupa juga tahniah kepada semua muslimat yang terpilih sebagai ahli majlis dan pelbagai jawatan penting di peringkat negeri yang dimenangi.

20.          Dengan rasa penuh syukur dan rendah hati, DMPM berpuas hati dengan penampilan calon-calon muslimat. Mereka adalah figura yang kita angkat dan memiliki kriteria yang diperlukan sebagai calon. Mereka berkelayakan dari sudut pencapaian akademik, pengalaman dalam gerak kerja jemaah, sahsiah dan kemahiran bersosialisasi dengan masyarakat.

Sudah tentu kelayakan tersebut menepati kehendak syara’ yang diperakui oleh Majlis Syura Ulama PAS Pusat.

21.          Penglibatan muslimat sebagai calon dalam pilihan raya berjaya menterjemahkan keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang memberi ruang seluasnya kepada muslimat dalam arena politik negara sesuai dengan tuntutan syara’ dan dipandu oleh kepimpinan ulama dalam PAS.

22.          Keberadaan wakil rakyat dalam kalangan Muslimat PAS telah mampu mendapat tempat di hati masyarakat dan telah mampu tampil di medan politik. Semoga ia menjadi model amalan politik patuh syariah sesuai dengan tuntutan Islam dalam berpolitik.  Kita tidak mahu masih ada isu berbangkit dalam hal memposisikan wanita dalam PAS dan masyarakat sehingga PAS dilihat meminggirkan kaum wanita.

23.          DMPM juga meyakini kedudukan PAS sebagai parti terbanyak dalam parlimen dan dewan undangan negeri memberi peluang kepada kepimpinan Muslimat PAS membawa suara wanita khususnya dan masyarakat amnya berkaitan isu berbangkit berkaitan kewanitaan, pendidikan, kekeluargaan dan kebajikan.

Kami meyakini dengan cara inilah kita mampu berhadapan dengan gerakan feminisme sekularis yang sangat tegar memperjuangkan kebebasan dan persamaan gender yang telah tersasar dengan ajaran Islam dan mempertikai kedudukan syariat Islam sebagai jalan penyelesaian pelbagai isu umat Islam.

24.          Justeru, kita menyeru kepada semua ahli PAS supaya menyedari keberadaan Muslimat PAS di persada politik negara bukan sengaja mahu menonjolkan diri tanpa matlamat yang jelas. Kita mahu menterjemahkan saranan Islam dalam memartabat kaum wanita dan membuktikan bahawa Islam memberi ruang seluasnya kepada kaum muslimat untuk terlibat sama dalam usaha amar makruf nahi mungkar di peringkat tertinggi negara iaitu di medan politik di bawah kepimpinan ulama ini.

CABARAN KEPIMPINAN MUSLIMAT DALAM ARUS POLITIK NEGARA

25.          Saya tidak menafikan wujudnya cabaran dan tekanan kepada kaum wanita dalam berpolitik. Izinkan saya berkongsi sedikit cabaran yang dihadapi oleh kaum Muslimat PAS khususnya dan wanita di luar sana umumnya bahawa wanita masih dilihat berdasarkan beberapa stereotaip iaitu:

i.              Pandangan gender tradisional: Mereka dilihat kurang layak atau tidak kuat dalam mengharungi cabaran berpolitik.

ii.             Diskriminasi politik: Wanita mungkin menghadapi diskriminasi dalam proses pemilihan dan pengiktirafan dalam parti politik.

iii.            Pengawasan keluarga: Tanggungjawab keluarga dan rumah tangga boleh menjadi cabaran besar dalam menjalankan perkhidmatan politik.

iv.           Keburukan dalam politik: Budaya politik yang kasar dan keadaan berdepan dengan ugutan boleh menghalang wanita daripada terlibat secara aktif.

v.            Kurangnya sokongan kewangan: Wanita mungkin menghadapi kesulitan dalam memperoleh sokongan kewangan untuk kempen politik mereka.

26.          Justeru, DMPM menyedari kepentingan Muslimat PAS sebagai cerminan terbaik dalam amalan berpolitik bagi menghadapi cabaran yang dinyatakan di atas. Mereka telah ditarbiah dan dipimpin dalam masa yang panjang sehingga mampu membawa suara dan kepentingan kaum wanita dan masyarakat secara lebih baik dalam proses pembuatan keputusan selaras dengan syara’ dan fitrah kewanitaan. 

27.          Mereka juga perlu menyuarakan isu yang berkaitan keperluan asas seperti, beras, tepung, kejatuhan ekonomi dan mata wang, konflik dan polemik rumahtangga yang melibatkan nafkah, harta sepencarian, jenayah siber, jenayah seksual termasuk terhadap kanak-kanak, dan sebagainya yang sangat dekat dengan kehidupan wanita.

28.          Kepelbagaian pandangan dengan keterlibatan wanita membawa perspektif yang berbeza ke dalam politik di tengah kaum lelaki membantu mencapai keputusan yang lebih komprehensif. Bahkan ada pendapat mengatakan politik lebih aman dengan lebih ramai wanita yang terlibat. DMPM meyakini figura kepimpinan muslimat yang ditampilkan boleh menyumbang kepada kepimpinan yang lebih berkualiti dalam kerajaan dan badan-badan politik di samping menghakis pandangan wujudnya diskriminasi dalam bidang politik dan sosial dalam kalangan kepimpinan Islam.

KONSEP MADANI DAN RAHMAH YANG DISALAHGUNAKAN

29.          YAB PM ke-10 kelihatannya membawa jenama Madani yang merujuk kepada masyarakat di Madinah pada zaman kepimpinan Rasulullah SAW dan agenda rahmah dengan merujuk kepada ayat al-Qur’an; “rahmatan lil ‘alamin” dalam memimpin rakyat.

30.          Kita melihat beliau kini diuji dengan jenama Madani dan Rahmah apabila banyak tindakan beliau tidak mencerminkan penghayatan sirah dan roh jenama tersebut. Tindakan balas dendam menyekat peruntukan yang sepatutnya disalurkan kepada semua wakil rakyat tanpa mengira parti, menahan pimpinan PN dan membekukan akaun mereka, membatalkan program dan menggugurkan jemputan pendakwah yang bertauliah tanpa sebarang justifikasi yang relevan, benar-benar berlawanan dengan agenda Madani dan Rahmah yang dicanang oleh kerajaan PH.

31.          DMPM ingin menarik perhatian pihak pemerintah agar membuat kajian semula terhadap amalan Madani dan Rahmah yang dicanang-canang selama ini. Sewajarnya pemimpin menjadi teladan serta mengamalkan cara hidup yang betul dan tidak menyeleweng. Sekiranya kepimpinan tidak mengamalkan ‘kebenaran’, maka rakyat akan menjadi lebih rosak lagi, sebagaimana maksud firman Allah SWT:

۞أَتَأۡمُرُونَ ٱلنَّاسَ بِٱلۡبِرِّ وَتَنسَوۡنَ أَنفُسَكُمۡ وَأَنتُمۡ تَتۡلُونَ ٱلۡكِتَٰبَۚ أَفَلَا تَعۡقِلُونَ  ٤٤

[Surah al-Baqarah: 44]

Yang bermaksud: “Mengapakah kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebaikan, sedangkan kamu melupakan dirimu sendiri.”

ANCAMAN TERHADAP UNDANG-UNDANG SYARIAH

32.          Rentetan daripada serangan pemikiran yang dilihat, ada pihak yang membuat propaganda tersusun menggunakan perundangan dalam usaha menghapuskan atau merendahkan kedudukan undang-undang syariah dan institusi Islam yang memang telah dijamin oleh perlembagaan persekutuan Malaysia sejak merdeka lagi.

33.          Oleh itu, DMPM mengambil perhatian serius perkara ini dan mendesak pihak kerajaan mengambil tindakan yang efektif dan tegas mempertahankan hak dan kedudukan orang Islam di Malaysia. Saya menyeru para muslimah yang memiliki kepakaran dalam hal ehwal undang-undang kenegaraan hendaklah membina hubungan dengan pihak yang menguasai badan eksekutif, legislatif, dan kehakiman supaya isu yang berbangkit berkaitan undang-undang dan kenegaraan difahami dengan baik dan dapat diketengahkan kepada masyarakat.  

CABARAN TEKANAN HIDUP PASCA COVID

34.          Kesan el nino yang mempengaruhi perubahan cuaca dunia sudah mula dirasai oleh rakyat Malaysia. Ia memberi kesan yang besar kepada produksi tanaman, perdagangan import dan eksport serta bencana alam yang tidak menentu. Secara tidak langsung memberi kesan yang ketara kepada ekonomi rakyat dan keluarga. Kerajaan pula dilihat lebih suka berpolitik berbanding menyelesaikan isu rakyat. Sejak awal penubuhan kerajaan PH+BN selepas PRU-15, rakyat tidak didedahkan dengan kesiap-siagaan dalam menghadapi perubahan-perubahan yang bakal berlaku dan persediaan yang perlu dibuat.

35.          Jangkaan berlakunya kekurangan bekalan dan kenaikan harga barangan makanan asasi telah diramalkan oleh pakar sejak Julai tahun lepas. Dalam masa yang sama nilai mata wang RM semakin rendah berbanding USD.

36.          Rakyat menilai kerajaan Persekutuan memandang enteng saranan untuk melaksanakan intervensi seawal mungkin agar kebajikan rakyat terjaga dan tidak dihimpit bebanan ekonomi yang tidak stabil.

Kerajaan dilihat lambat bertindak dan hanya menjanjikan semua masalah sedang dipertimbangkan dan mengarah rakyat agar bersabar dan memberi masa kepada mereka untuk menyelesaikan isu ini.

37.          DMPM memandang serius isu tekanan hidup akibat kenaikan harga barang yang tidak terkawal. Kenaikan harga barang dan perkhidmatan telah menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup dan kadar kemiskinan.

38.          DMPM menyarankan, isu kebajikan rakyat sebagai pengguna khususnya berkaitan harga barangan asas memerlukan tindakan holistik berpandukan syariat Islam yang merangkumi kebolehupayaan dan kelangsungan negara dalam menghasilkan sumber makanan dan barangan asasi, mengoptimumkan ruang dan peluang menjana pendapatan dan melestarikan ekonomi selain meningkatkan kuasa beli rakyat kebanyakan.

39.          Oleh itu, kesedaran kepenggunaan perlu dipertingkat menerusi aktiviti advokasi dan turun padang mendekati rakyat marhaen. DMP di setiap peringkat harus bersedia mengangkat isu masyarakat terutamanya isu yang melingkari keluarga dan peranan wanita dan mencadangkan solusi yang lebih praktikal di peringkat keluarga dan masyarakat. Rakyat perlu dibantu untuk menangani isu yang turut terkesan di peringkat global.

40.          DMP mendesak supaya kerajaan PM10 membuat introspeksi secara serius amanah yang dipikul sebagai pemerintah dalam hal menjaga kepentingan hak rakyat. Saya bacakan satu hadith agar kita dapat sama-sama menginsafi tugas sebagai golongan yang diberi kuasa mengendalikan urusan rakyat sabda Nabi SAW:

مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللَّهُ رَعِيَّةً ، يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ ، إِلاَّ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةِ

[Riwayat Imam al-Bukhari (7150) dan Muslim (142)]

Maksudnya: “Tiada di kalangan hamba yang diberikan kepimpinan untuk memimpin rakyatnya dan dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya di bawah pimpinannya, melainkan Allah mengharamkan ke atasnya syurga.”

GELOMBANG ANAK MUDA

41.          DMPM sangat terharu dan bersyukur dengan arus perubahan golongan muda yang telah memberikan undi kepada PAS dan PN. Wacana Sinar Siri 404 pada 4 Julai 2023 mendedahkan kajian dalam talian mendapati kecenderungan pengundi anak muda memilih PN masih tinggi iaitu sebanyak 63%. Separuh daripadanya adalah dalam kalangan wanita muda.

42.          Telah diabadikan banyak kisah di dalam al-Quran, peranan golongan muda yang berjaya membawa kebenaran, seperti kisah ashabul ukhdud, ashabul kahfi dan pemuda dalam rehlah Nabi Musa AS. Begitu juga golongan muda dalam kalangan para sahabat RA yang terlibat langsung sebagai pendukung perjuangan Rasulullah SAW bagi menegakkan dan mempertahankan negara Islam Madinah.

43.          Perbezaan usia dalam kalangan kepimpinan Muslimat PAS tidak menjadi penghalang untuk muslimat muda terlibat sama dalam agenda penyatuan ummah. Ini terbukti dengan kehadiran ramai anak muda yang terlibat secara langsung dalam entiti Ameerah, Nusaibah dan Briged Muslimat. Muslimat muda juga diberikan kepercayaan untuk menjadi calon dan meraih kemenangan di peringkat Parlimen dan DUN hasil gelombang kesedaran pengundi muda.

44.          Gelombang ini perlu terus dikekalkan serta ditambah baik. Pelbagaikan lagi pendekatan bagi meningkatkan lagi sokongan dan minat anak muda kepada PAS dan Perikatan Nasional sehingga PRU-16 nanti. Kerjasama dengan Lajnah Tarbiah dan Perkaderan DMP dan APSA dalam membentuk jati diri dan kesedaran kepimpinan wanita Islam hendaklah sentiasa dipertingkatkan. Di samping menjalankan kerjasama dengan DPPM dan DUPP agar wujud keselarasan strategik dan tindakan bersama golongan muda muslimin.

45.          DMPM meletakkan harapan agar anak muda PN dalam menuju kemenangan, membina keperibadian dan jati diri ashabul kahfi yang bercirikan keimanan, istiqamah dan ribat serta sentiasa bertindak berpandukan petunjuk ajaran Islam. Perbaikilah diri dan serulah orang lain agar sama-sama menghayati Islam sehingga berdaulatnya Islam dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara.

SG4 BESAR HARAPAN KITA

46.          DMPM bersyukur dan menaruh harapan besar kepada penubuhan SG4 atau ‘State-Government 4’. Ia adalah suatu kerjasama antara empat buah negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis. Kerjasama ini telah diwujudkan pada 2 September 2023 yang lalu. Kerjasama ini akan memfokuskan pada pembangunan ekonomi dan peningkatan taraf hidup rakyat di negeri terbabit.

47.          DMPM mendoakan perancangan ini dipermudahkan oleh Allah SWT dan berjaya dengan cemerlang.

Mudah-mudahan negeri-negeri Perikatan Nasional ini akan menjadi contoh “Smart & Best Government” kepada rakyat Malaysia. Mudah-mudahan ia juga menjadi tarikan sokongan dan kepercayaan rakyat kepada Perikatan Nasional di seluruh Malaysia.

48.          Dalam masa yang DMPM amat memahami bahawa disebalik pemimpin yang hebat terdapat wanita yang hebat dibelakangnya dan begitulah juga sebaliknya. “Behind every great man there stands a great woman. Behind every great woman is a great behind”. Oleh itu, DMPM menerusi Lajnah Politik dan Pilihan Raya mahu mewujudkan suatu pertemuan dan kerjasama dengan seluruh pasangan YB-YB PAS. Diharapkan pertemuan itu akan dapat menghasilkan gerak kerja yang lebih mantap dan tersusun bagi meneguhkan lagi kejayaan Parti Islam Se-Malaysia PAS di persada masyarakat dan negara, insya-Allah.

 MUSLIMAT PAS DI PERSADA ANTARABANGSA LAMBANG KESATUAN AMAL

49.          Sebagai sebuah gerakan Islam, PAS sentiasa mempunyai hubungan yang rapat dengan negara Islam di luar sana. PAS juga terlibat dalam perjuangan mengangkat isu-isu yang menimpa dunia Islam sama ada dalam aspek politik, ekonomi, kemanusiaan dan sebagainya.

50.          Kami Muslimat PAS sangat menginsafi penglibatan kaum muslimat di peringkat antarabangsa yang telah dipaparkan dalam sirah dan sejarah Islam. Dalam sirah, Saidatina Khadijah RA telah tampil menjadi seorang usahawan yang disegani dalam dunia perniagaan bertaraf antarabangsa. Seramai lebih kurang 18 orang sahabiah termasuk dua orang anak Rasulullah SAW iaitu Saidatina Ruqayyah dan Ummu Kalthum RA terlibat dalam ekspedisi hijrah merentasi lautan ke Habsyah pada tahun 5 kenabian dan menjalinkan hubungan dengan negara luar. Banyak lagi fakta sejarah Islam yang membuktikan kaum wanita terlibat secara langsung dalam hubungan antarabangsa dari aspek politik, ekonomi dan sosial. 

51.          Contoh mithali ini sentiasa memberi inspirasi kepada DMPM supaya peka dan cakna pada agenda dan cabaran yang dihadapi oleh umat Islam di peringkat antarabangsa. Dengan langkah yang proaktif, DMPM melalui Lajnah Antarabangsa dan PASRELIEF melakukan misi kebajikan bersama NGO dalam dan luar negara. DMPM menghantar wakil-wakil membuat lawatan di tempat-tempat berlakunya bencana alam dan menyalurkan dana yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia. Dalam masa yang sama, kita menghantar delegasi ke dalam siri persidangan yang membincangkan kedudukan dan keperluan kaum wanita sedunia berkaitan dengan pelbagai isu; seperti isu pendidikan, kebajikan dan politik semasa.

52.          DMPM turut menerima lawatan daripada pihak luar negara yang berminat dengan peranan Muslimat PAS dalam mengendalikan pelbagai isu kaum wanita Islam di Malaysia dalam isu politik, ekonomi dan sosial. Ini menunjukkan keberadaan Muslimat PAS di persada antarabangsa disedari oleh pelbagai pihak. 

53.          Ahli Parlimen dari kalangan Muslimat PAS turut memainkan peranan dalam menyuarakan isu antarabangsa dalam Dewan Parlimen dan Dewan Negara termasuklah isu yang paling serius iaitu isu Ambalat dan kemasukan warga asing yang tidak ada rekod keluar semula serta mewakili parlimen Malaysia dalam pelbagai persidangan seluruh dunia. Begitu juga isu lambakan warga asing tanpa rekod keluar dari negara ini amat membimbangkan. Fenomena ini pastinya memberi kesan kepada keselamatan negara kita dalam mencorakkan sosioekonomi masyarakat. Sudah tentu fenomena ini memberikan kesan yang tidak baik kepada politik negara.

54.          DMPM mendesak agar Kementerian Luar Negeri Malaysia memberikan penjelasan dalam hal ini agar tidak lahir rasa kebimbangan dan sangkaan negatif terhadap kejujuran pihak kerajaan yang memikul amanah menjaga keselamatan negara.

55.          DMPM juga mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam sentiasa berdoa agar perjuangan rakyat Palestin membebaskan bumi Al-Aqsa daripada cengkaman rejim Israel menghasilkan kejayaan segera. Ingatlah bumi Al-Aqsa adalah bumi kita bersama.

Atas dasar keimanan dan kemanusiaan terhadap saudara kita ini, marilah kita kibarkan bendera Palestin di rumah kediaman, premis kedai atau di mana sahaja bagi menunjukkan sokongan kita terhadap rakyat Palestin yang sedang berdepan dengan rejim Israel yang kejam lagi zalim.

PENCAPAIAN DMPM SETAKAT INI

56.          DMPM komited mengurus organisasi berpandukan Pelan Tindakan Strategik. Ini memberi impak kepada semua peringkat negeri dan kawasan dengan bimbingan dan pemantauan Lajnah Pemerkasaan Parti DMPM.

57.          Lajnah Politik dan Pilihan Raya sentiasa memandu keberadaan Muslimat PAS di medan siasah sebagai calon pilihan raya, mewakili rakyat di parlimen dan dewan undangan negeri, dalam setiap lapisan saf kepimpinan agar mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh jemaah dan Islam itu sendiri.

58.          Usaha kemenjadian melahirkan Muslimat ‘AKIFI terus diperkukuhkan menerusi Gelombang Munajat ‘AKIFI, APSA, Kor Munajat ‘AKIFI dan seluruh aktiviti entiti di bawah DMP semua peringkat.

Gelombang Munajat ‘AKIFI terus dilaksanakan seluruh negara secara berkala bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT dan kebergantungan sepenuhnya kepada pertolongan-Nya serta merapatkan hati (wehdatul qalb dan wehdatul fikr) dalam kalangan ahli dan masyarakat yang turut serta.

59.          DMPM beriltizam melestarikan pendidikan muslimat abad ke-21, belajar dan mengajar dalam kerangka pembudayaan ilmu Islam secara berterusan sepanjang hayat. Kita sentiasa menyasarkan pembinaan jati diri golongan muslimah dengan bekalan ilmu dan iman dalam menghadapi pelbagai serangan pemikiran dan ancaman akidah serta persiapan memimpin kemenangan.

60.          Dengan dukungan padu seluruh kepimpinan muslimat yang memiliki kepakaran dan sumbangan ahli di semua peringkat, DMPM sedang mempersiapkan sebuah kompleks yang menjadi mercu tanda gerak kerja Muslimat PAS. Kompleks ini bakal menempatkan pusat  pendidikan khusus untuk kaum wanita, pusat latihan kepimpinan wanita berteraskan Islam serta pusat penempatan warga emas (As-Sabiqat) yang berhasrat memenuhkan hujung usia dengan ilmu dan amal kebajikan.

61.          Usaha membangunkan satu sistem pendidikan wanita oleh DMPM dengan institusi Taman Asuhan Tunas Islam (TASTI) dan Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA) ini dilihat dapat melengkapkan rangkaian institusi pendidikan yang telah diusahakan oleh Dewan Pemuda PAS dan Dewan Ulama PAS iaitu PASTI, SRITI, SMITI, Darul dan Kolej-kolej.

62.          Dengan ini, penting untuk kita terus meningkatkan keyakinan diri berbekalkan ilmu, iman, kemahiran pengurusan kepimpinan diri dan organisasi. Mereka yang terpilih berada di medan hadapan ini memerlukan sokongan padu daripada kalian semua dari sudut ilmu kepakaran, pengalaman, pandangan yang bernas, semangat dan doa agar mereka dapat terus bertahan menjadi figura siasi yang cemerlang berkhidmat untuk Islam dan jemaah yang kita cintai ini.

AWAS TERHADAP AGENDA PERPECAHAN

63.          Dalam usaha kita meneruskan agenda penyatuan ummah ini, musuh-musuh Islam sentiasa berusaha dengan pelbagai cara untuk menganggu gugat kedaulatan Islam dan umatnya, dengan cara menggunakan perundangan, politik, ekonomi, hiburan, aktiviti kemasyarakatan, media sosial dan sebagainya.

64.          DMPM menyedari wujudnya agenda musuh yang menggunakan wanita Melayu Islam untuk memecahbelahkan  kesatuan. Mereka dicatur untuk menjadi juru cakap apabila berdepan dengan PAS dan isu yang berkaitan Islam ibarat baling batu sembunyi tangan sehingga menimbulkan kekeliruan yang membawa kepada perpecahan dan gagalnya usaha penyatuan ini. Rasulullah SAW memberi peringatan kepada umat baginda dengan sabda baginda;

فَإِنَّ يَدَ اللَّهِ عَلَى الْجَمَاعَةِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ يَرْكُض

[Riwayat Al-Nasa’ie (4020)]

Maksudnya: “Sesungguhnya tangan Allah bersama dengan Jama’ah. Dan sesungguhnya syaitan itu akan berlari bersama dengan mereka yang memisahkan diri daripada Jamaah (kelompok umat Islam).”

65.          Oleh itu, DMP di semua peringkat perlu memastikan terlebih dahulu  tidak wujudnya bibit-bibit perpecahan di peringkat dalaman. Faktor yang paling utama yang menimbulkan perpecahan ialah kerana penyelewengan yang dilakukan terhadap ajaran Allah SWT.

Jangan sampai kita terjebak dengan dosa-dosa besar dan selesa melakukan dosa-dosa kecil yang mengundang kemurkaan Allah SWT dan penghalang daripada kemenangan yang diredhai Allah.

66.          Hati-hati kita dipegang oleh Allah SWT selama mana kita sentiasa berpegang dengan tali Allah iaitu menjaga hubungan dengan Allah dan menjauhi pelbagai penyakit hati. Firman Allah SWT,

وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٞ  ٦٣

[Surah al-Anfal: 63]

Yang bermaksud: “Dan Dia (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, Dia Maha Perkasa, Maha Bijaksana.”

67.          Dalam hal ini, pentingnya kita mengamalkan proses tarbiyah zhatiyah (tarbiah kendiri), berpandukan agenda tarbiah yang disusun dalam tanzim tarbiah oleh Lajnah Tarbiah dan Perkaderan PAS Pusat.

Dengan berpegang kepada fikrah tarbawiyah ini, insya-Allah bibit-bibit perpecahan mampu dikenal pasti sejak awal dan dapat dipulihkan. Dengan kesatuan ini, PAS mampu meningkatkan lagi kepercayaan kepada rakan PN dan para pengundi dalam usaha kita meraih kemenangan yang hakiki.

68.          DMPM mengambil kesempatan juga untuk menyeru seluruh umat Islam untuk sama-sama mendukung perjuangan mempertahankan Islam dengan penghijrahan minda, kecintaan kepada Islam dan kesedaran mendalam bahawa wujudnya agenda yang terancang untuk menggugat kedudukan Islam di negara ini.

FOKUS BERAMAL DENGAN KEYAKINAN

69.          Tugas muslimat abad 21 yang semakin rencam memerlukan pengukuhan agenda ‘AKIFI secara kolektif agar mampu menggalas cabaran dan ujian akhir zaman. Kita mahu seluruh Muslimat PAS menghayati keperluan khusus muslimah  dalam beramal  sebagaimana yang diabadikan dalam surah al-Ahzab ayat 29-36 iaitu:

i.              Meluruskan matlamat hidup (FI = Sufi),

ii.             Menghindari amalan fahisyah (FI = Sufi),

iii.            Sentiasa berusaha qunut (taat) segala perintah Allah dan Rasul dengan amal soleh (FI = Sufi),

iv.           Menjaga batas aurat, kehormatan diri, pergaulan dan ikhtilat ketika di khalayak ramai (KIFI = Haraki Sufi),

v.            Mencintai  dan membudayakan ilmu berteraskan al-Quran dan hadith bermula dari dalam rumah (‘A = ‘Alim),

vi.           Menghayati 10 sifat golongan Muhsin (‘AKIFI),

vii.          Melibatkan diri dalam usaha menegakkan hukum Allah SWT dan menegakkan Islam sebagai peraturan hidup bermasyarakat dan bernegara (KI = Haraki).

70.          Menang atau kalah di dunia ini dalam persaingan mendapatkan kuasa, kita serahkanlah kepada Allah SWT. Kita berusaha sedaya mampu dan sentiasa mengharapkan kemenangan daripada Allah SWT, dengan bantuan tentera yang kita tidak sangka-sangka.

وَمَا جَعَلَهُ ٱللَّهُ إِلَّا بُشۡرَىٰ لَكُمۡ وَلِتَطۡمَئِنَّ قُلُوبُكُم بِهِۦۗ وَمَا ٱلنَّصۡرُ إِلَّا مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ ٱلۡعَزِيزِ ٱلۡحَكِيمِ  ١٢٦

[Surah Ali ‘Imran: 126] 

Yang bermaksud: “Dan Allah tidak menjadikannya (bantuan tentera malaikat itu) melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu. Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya daripada Allah Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

71.          Jadikan sejarah perjuangan dan kemenangan para nabi dan rasul serta ulama pewaris yang berjaya menyampaikan kebenaran dengan penuh keyakinan dan istiqamah walaupun ada dalam kalangan mereka pada zahirnya ditolak oleh kaumnya dan juga tidak dinyatakan kesudahan perjuangan mereka. Tetapi Allah SWT memaparkan keteguhan jiwa mereka melaksanakan amanah kerasulan memimpin kaum masing-masing sehingga Allah SWT mendatangkan keputusan-Nya.

KHATIMAH

72.          Saya sebagai Ketua yang diberikan kepercayaan mengemudi bahtera DMPM sehingga kini  melahirkan rasa kerdilnya diri ini dengan segala sokongan padu yang diberi oleh semua ahli jawatankuasa dalam saf kepimpinan DMP seluruh peringkat.

Kak Nuri sangat terharu dan bersyukur dengan komitmen yang diberi oleh semua muslimat di semua peringkat yang sentiasa menunaikan amanah tanpa mengira waktu susah atau senang, menjayakan aktiviti jemaah dan parti, gerak kerja tarbiah dan dakwah, penerangan dan kebajikan, aktiviti ekonomi dan sosial, politik dan pilihan raya, kesihatan dan kepenggunaan, dan sebagainya. Inilah kesatuan amal (wehdatul ‘amal) yang kita perlu sentiasa suburkan berbekalkan niat yang satu semata-mata demi memenangkan Islam di muka bumi yang sementara ini. Semoga setiap usaha susah payah, ujian yang dilalui, pengorbanan yang dilakukan penuh dengan keikhlasan hanya kerana Allah SWT dan diterima oleh-Nya. 

73.          Kak Nuri memohon berbanyak kemaafan di atas segala kekurangan diri memimpin DMP dan ketika menyantuni semua ahli muslimat sekalian setiap kali turun ke cawangan dan kawasan menerusi program Munajat ‘AKIFI dan lain-lain program bersama.

74.          Jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua jentera muslimat yang sentiasa berdaya juang menjayakan visi dan misi DMP, urus setia muktamar yang bekerja keras memastikan muktamar berjalan mengikut jadual, semua perwakilan, pemimpin dan pemerhati yang datang dari jauh dan dekat untuk sama-sama kita berhimpun di dewan ini.

Kepada para penyumbang muktamar dan semua program jemaah, kami ucapkan jazakumullahu khairan kathira. Moga diganjari oleh Allah SWT dengan sebaik-baik ganjaran dunia dan akhirat.

75.          Buat akhirnya, saya hadiahkan 4 rangkap pantun buat semua pejuang muslimat sekalian.

DMPM menggalas visi dan misi yang jelas,

Membangun jiwa ‘AKIFI muslimat,
Sentiasalah beramal dengan ikhlas,
Pastinya segala kebaikan pahalanya dicatat.

Briged Muslimat menyantuni pesakit,
Ameerah dan Nusaibah bersama beliawanis,
Perjuangan itu memanglah pahit,
Kerana syurga itu sangatlah manis.

Usrah, tamrin, liqa’ fikri dan halaqah,
Suburkan tarbiah sebagai bekalan,
Dengan dakwah dan siasah,
Bersatu kita menuju kemenangan.

Terima kasih daun keladi,
Bersama berjuang hadapi kesusahan,
Janji Allah sentiasa diyakini,
Agar menjadi asas kemenangan.

Takbir!!! – HARAKAHDAILY 20/10/2023

Taeks ucaptama Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh pada Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia kali ke-63.

- Advertisement -