Pameran dinar, dirham sempena Muktamar PAS

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan Gold Trade (KGT) turut mengadakan pameran dinar dan dirham keluarannya sempena Muktamar PAS ke-69 yang berlangsung di Shah Alam sekarang.

- Advertisement -

Pengurusnya, Wan Muhammad Najahuddin Wan Fuad berkata, pihaknya berada di lokasi muktamar selama lima hari bermula hari ini (Khamis) hingga muktamar berakhir.

Katanya seramai tiga kakitangannya ditugaskan di muktamar untuk memberi penerangan berhubung KGT.

“Sempena muktamar, KGT bersama Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) mempunyai gerai pameran dan jualan bagi mempamerkan produk dinar dan dirham pelbagai bentuk ivolusi bermula dari awal hingga terkini.

“Kita juga mengadakan sesi penerangan kepada orang ramai yang berminat untuk menjana pendapatan atau untuk membuat simpanan serendah RM11 sebagai permulaan sebelum melangkah untuk menyimpan dinar,” ujarnya di sini.

Beliau juga berkata, KGT turut menyasarkan anak-anak muda supaya golongan berkenaan turut berminat untuk menyimpan kewangan mereka bersama KGT.

Tambahnya juga KGT turut memberi penerangan khususnya anak-anak muda yang ingin mendirikan rumah tangga supaya menggunakan dinar sebagai maha perkahwinan mereka.

“Penggunaan dinar bukan hanya di Kelantan, sebaliknya terdapat juga di Selangor, Pahang, Terengganu, Kedah atau Perlis,” ujarnya.

Najahuddin juga berkata, keistimewaan menggunakan dinar sebagai mas kahwin, mereka mendapat pakej bulan madu di hotel-hotel yang mereka pilih di seluruh Malaysia.

Katanya, sekiranya mereka membeli 10 dinar sebagai mas kahwin, KGT akan menghadiahkan pakej bulan madu selama tiga hari dua malam.

“Tetapi sekiranya mereka hanya membeli lima dinar, pakej untuk dua hari dua malam. Ia sebagai saguhati kerana memperjuangkan untuk mengangkat dinar dan dirham ini ke tengah masyarakat,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau turut berharap penggunaan dinar dan dirham bukan hanya digunakan di Kelantan sahaja, sebaliknya melebar ke negeri-negeri lain khususnya Terengganu, Perlis dan Kedah. – HARAKAHDAILY 19/10/2023

- Advertisement -