SHAH ALAM: Konvensyen Pemangkin Generasi Istiqamah akan memberi lonjakan kepada perjuangan PAS.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, inilah ruang untuk sama-sama bermuhasabah selepas konvensyen kedua tahun lalu.
Katanya sudah tentu ada resolusi yang menjadi panduan untuk meneruskan gerak kerja.
Ahli Parlimen Kuala Langat itu berkata, dalam setahun As-Sabiqun penuh dengan gerak kerja pilihan raya selain terus memantapkan PAS.
“Terima kasih kepada As-Sabiqun dan As-Sabiqat yang bukan sahaja istiqamah dalam perjuangan tetapi keterlibatan mereka dalam setiap pilihan raya umum ke 15,” katanya ketika berucap di Konvensyen As-Sabiqun Pusat, di Hotel De Palma, di sini hari ini.
Beliau turut memuji Pengerusi As-Sabiqun Selangor, Prof Dr. Hamirdin Ithnin yang aktif dan dapat menerbitkan sebuah buku pejuang-pejuang PAS Selangor.
Menurut beliau Konvensyen 3.0 sangat bermakna di mana setiap perbincangan akan memberi kekuatan dan menjadi pemangkin golongan muda untuk terus berjuang. – HARAKAHDAILY 19/10/2023
—