5G-Huawei: Potensi kebocoran keselamatan dan monopoli asing

- Advertisement -

KENYATAAN Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Huawei, gergasi teknologi dari China, mungkin terlibat dalam pembinaan rangkaian 5G kedua Malaysia telah menimbulkan pelbagai persoalan dan kebimbangan. Dalam temu bual bersama majalah Time, Anwar menyatakan bahawa pertimbangan terhadap Huawei adalah sebagai tanda Malaysia tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada Amerika Syarikat dalam teknologi. 

Walaupun begitu, adakah keputusan ini diambil dengan mempertimbangkan keselamatan dan kepentingan jangka panjang negara? Keputusan kepimpinan terdahulu untuk memilih Ericsson melalui proses tender yang telus kini nampak berbeza dengan pendekatan semasa yang lebih cenderung kepada Huawei. Adakah ini bermakna janji ketelusan kerajaan kini dipertikaikan? 

Dengan kebimbangan global mengenai hubungan Huawei dengan Kerajaan China, keputusan untuk melibatkan syarikat ini dalam infrastruktur teknologi kita menimbulkan persoalan keselamatan siber. Adakah risiko ini telah dinilai dengan sewajarnya?

Dari sudut impak geopolitik pula, dengan melibatkan Huawei, Malaysia mungkin dilihat sebagai negara yang lebih memihak kepada China. Ini boleh menjejaskan hubungan kita dengan negara-negara lain, terutamanya yang berwaspada terhadap pengaruh teknologi China.

Walaupun kepelbagaian dalam perkongsian teknologi boleh membawa manfaat, adalah penting untuk memastikan keputusan dibuat dengan telus dan mempertimbangkan risiko serta manfaat. Melibatkan Huawei dalam pembinaan rangkaian 5G kedua Malaysia memerlukan penilaian mendalam untuk memastikan kepentingan jangka panjang Malaysia terjamin.

Baru-baru ini pula Digital Nasional Berhad (DNB), Telekom Malaysia Berhad (TM) dan ZTE (Malaysia) Corporation Sdn Bhd membentuk gabungan untuk memperkenalkan ujian kepantasan 5G di dunia dengan kelajuan sehingga 26 gigabait sesaat (Gbps) dan menstruktur semula landskap digital negara yang memberikan teras 5G khusus Standalone (SA) pertama di Malaysia.

Walaupun kerjasama ini merupakan langkah penting dalam landskap teknologi Malaysia, kebimbangan mengenai risiko keselamatan yang berkaitan dengan ZTE, sebuah raksasa teknologi China, telah timbul. Dalam alam teknologi global, ZTE telah menghadapi penyiasatan di peringkat global berkenaan pengintipan berpotensi dan kebimbangan privasi data.

Beberapa negara, termasuk Portugal dan United Kingdom, sebelum ini telah mengenakan larangan dan sekatan terhadap ZTE kerana kebimbangan keselamatan negara. Walaupun tindakan ini mungkin dipengaruhi oleh persaingan geopolitik yang lebih besar, ia menekankan keperluan Malaysia untuk melaksanakan penyiasatan yang rapi dalam kerjasamanya.

Janji kelajuan 5G yang belum pernah terjadi sebelumnya dan sokongan kepada ekonomi digital adalah jelas menarik. Namun, potensi kelemahan yang boleh diperkenalkan oleh teknologi sebegini tidak boleh diabaikan. Audit keselamatan menyeluruh, operasi yang telus, dan pemantauan berkala adalah penting untuk memastikan keselamatan negara tidak terjejas.

Walaupun manfaat ekonomi segera dalam menjadi peneraju dalam teknologi 5G adalah jelas, potensi jangka panjang untuk kebocoran keselamatan boleh membawa akibat ekonomi yang serius. Kos yang berkaitan dengan data yang terjejas atau pencabulan keselamatan negara mungkin jauh melebihi kelebihan segera dalam kelajuan internet yang lebih pantas.

Untuk mengatasi kebimbangan ini, pakar-pakar mencadangkan supaya diadakan perbincangan terbuka antara pihak-pihak yang terlibat, profesional keselamatan siber, dan orang awam. Perbincangan sebegini boleh membantu mengurangkan kebimbangan dan memastikan bahawa kerjasama ini akan memenuhi kehendak semua pihak yang berkepentingan.

Beberapa hari lalu, Profesor Madya Ooi Boon Yaik, Ketua Jabatan Sains Komputer dari Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar), pula ada berkata, jika rangkaian 5G kedua dilaksanakan dengan betul, ia akan menjadikan syarikat telekomunikasi lebih berdaya saing, memberi manfaat kepada pengguna akhir dan meningkatkan peluang untuk mencipta teknologi baru.

Profesor Datuk Mohamed Ridza Wahiddin dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pula mencadangkan bahawa kerajaan sepatutnya belajar dari Jepun untuk melaksanakan Rangkaian Akses Radio Terbuka (Open RAN) sebagai alternatif kepada operator rangkaian 5G kedua yang akan menjadi penyelesaian diplomasi yang memuaskan kedua-dua Amerika Syarikat dan China.

Namun kenyataan Ooi ini betul pada sudut teori sahaja. Teori ini hanya relevan kalau pasaran 5G bebas sepenuhnya dan DNB yang dikawal oleh kerajaan tidak wujud. Betul bila ada persaingan harga akan rendah dan speed akan tinggi, sebab syarikat akan bersaing untuk mendapatkan pengguna, tetapi dalam kes DNB harga murah dah speed yang tinggi memang sudah terjamin. 

Contoh Jepun yang diambil oleh Mohamed Ridza pula tidak sesuai digunakan kerana struktur dan budaya pentadbiran di Jepun tidak sama dengan Malaysia. Contoh yang lebih sesuai adalah Korea Selatan yang mempunyai struktur dan budaya pentadbiran yang sama dengan Malaysia. 

Korea Selatan asalnya menggunakan Single Wholesale Network (SWN) tetapi ia ditukar ke Dual Wholesale Network (DWN). Kesannya, kelajuan internet purata menjadi lebih rendah dan harga internet 5G menjadi lebih mahal sebab syarikat yang bersaing tidak bekerjasama untuk membina fasiliti menyebabkan kos pembinaan naik dan ia dipindahkan kepada pengguna akhir.

Sebab itulah, apabila DNB sudah diberikan kontrak awal dengan pendekatan SWN dan ia dikawal terus oleh kerajaan maka tidak ada keperluan untuk tukar ke DWN. Ini bukan monopoli biasa oleh syarikat swasta tetapi ini adalah kaedah kawalan untuk kepentingan rakyat. Contoh perbandingan yang lebih baik ialah bekalan elektrik yang jauh lebih murah di Malaysia berbanding di Amerika Syarikat sebab monopoli Tenaga Nasional Berhad (TNB) dikawal oleh kerajaan.

Secara praktisnya, implementasi 5G di Malaysia tidak memerlukan penyedia rangkaian kedua. Ini turut ditegaskan oleh pakar konsultan keselamatan siber, Fong Choong Fook, yang berkata, kadar penerimaan untuk 5G masih tidak terlalu tinggi di Malaysia jadi negara ini tidak memerlukan rangkaian kedua tetapi jika ia mahu diperkenalkan juga maka ia sepatutnya ditender.

FAIZOL ABDUL HALIM 
Pembangun perisian bebas – HARAKAHDAILY 19/10/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -