KUALA LUMPUR: Usaha untuk menarik pelaburan berkualiti oleh kerajaan mendapat perhatian daripada Mohd Syahir Che Sulaiman [PN-Bachok] di Dewan Rakyat, hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan apakah tindakan proaktif yang telah diambil kerajaan dalam tempoh 6 bulan yang lalu bagi menarik pelaburan berkualiti.
Beliau juga meminta menteri berkenaan menyatakan kejayaan yang diperoleh setakat hari ini.
Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL yang mengemukakan soalan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini sebagaimana di bawah.
Waktu Pertanyaan Menteri
Tuan Haji Kamal bin Ashaari [Kuala Krau] minta Menteri Pendidikan menyatakan langkah Kementerian dalam menangani isu peratusan murid menengah atas yang menyertai aliran STEM dari tahun 2017 hingga 2022 yang mencatatkan penurunan 45.2 peratus kepada 40.94 peratus termasuk peranan Jawatankuasa STEM yang ditubuhkan.
Pertanyaan Bagi Jawab Lisan
Kapten Azahari bin Hasan [Padang Rengas] minta Menteri Kerja Raya menyatakan:
(a) mempercepat proses agihan peruntukan kerja-kerja penyelenggaraan (baik pulih jalan raya/garisan jalan semakin pudar dan jalan berlubang) dengan kadar segera supaya dapat dijalankan segera dalam masa yang terdekat; dan
(b) inisiatif atau alternatif penambahbaikan menambah bilangan lorong atau membina laluan ringan juga boleh membantu dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas highway PLUS Utara-Selatan pada setiap kali hujung minggu dan terutamanya pada musim perayaan.
Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan [Merbok] minta Menteri Ekonomi menyatakan ketercapaian sasaran Kementerian dengan kerjasama Pihak Berkuasa Koridor, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri dan pejabat daerah dalam usaha membasmi isi rumah miskin tegar bagi golongan B40.
Datuk Muslimin bin Yahaya [Sungai Besar] minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan jumlah bantuan sara hidup yang disalurkan kepada nelayan di setiap negeri dari tahun 2018 sehingga 2022. Perincikan juga insentif-insentif yang telah diberikan dan juga dalam perancangan sehingga tahun 2023.
Dato’ Ahmad bin Saad @ Yahaya [Pokok Sena] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim menyatakan status terkini kajian terhadap tahap unjuran ekonomi sumber mineral strategik khusus kepada negeri Kedah berdasarkan Rancangan Malaysia Ke-12.
Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Haji Salleh [Pasir Puteh] minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan perancangan pihak Kementerian untuk memperkasa fungsi FAMA sebagai pengedar sayur-sayuran tempatan berbanding ketika ini FAMA bergantung kepada pemborong yang memonopoli rantaian bekalan makanan negara.
Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man [Kubang Kerian] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim menyatakan:
(a) perkembangan kerjasama dan rundingan dengan negara- negara jiran bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan; dan
(b) tahap kesiapsiagaan sistem pantauan kualiti udara negara dalam menghadapi musim kemarau dalam bulan-bulan mendatang.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin [Tangga Batu] minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan siapakah operator atau pengusaha yang mendapat konsesi menguruskan Taman Laut Pulau Undan, Pulau Dodol dan Pulau Nangka di Melaka termasuk boat service dan aktiviti snorkeling dan sebagainya.
Tuan Sabri bin Azit [Jerai] minta Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri menyatakan sejauh mana program Academy in Industry (AiI) disasarkan kepada golongan B40 yang kurang berkemampuan tetapi ada kemahiran.
Datuk Iskandar Dzulkarnain bin Abdul Khalid [Kuala Kangsar] minta Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya menyatakan sejauh manakah pemerkasaan inisiatif terbaharu Kementerian dalam menyemarakkan Kempen “Ini Batik Malaysia” bagi memperkenalkan batik Malaysia kepada orang ramai dan di peringkat global.
Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad [Bagan Serai] minta Menteri Ekonomi menyatakan adakah pihak Kementerian akan melaksanakan laporan secara berkala berkenaan kemajuan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) seperti mana laporan LAKSANA yang dibuat oleh Kementerian Kewangan dalam memastikan tatakelola yang lebih baik.
Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin [Jerantut] minta Menteri Kerja Raya menyatakan status cadangan untuk meningkatkan gaji permulaan Jurutera di sektor awam antara RM2,800 hingga RM3,500 mengikut kemampuan majikan yang disebut dalam Laporan Pasukan Khas LJM bertarikh 14 September 2022.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran] minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan usaha yang diambil oleh Kerajaan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan beras (tempatan) yang permintaannya tinggi disebabkan kenaikan melonjak harga beras (import) serta berapakah kos pengeluarannya.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki [Parit Buntar] minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan mengapa lesen sampan yang dipohon oleh nelayan-nelayan muda di Parit Buntar khususnya masih lagi dibekukan hingga sekarang.
Kapten Dato’ Dr. Zulkafperi bin Hanapi (Bersara) [Tanjong Karang] minta Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri menyatakan jenis pelaburan yang telah dan akan dibawa masuk ke Malaysia hasil lawatan delegasi Kerajaan Malaysia ke negara-negara berkuasa besar terutama dari negara China serta serantau.
Tuan Nurul Amin bin Hamid [Padang Terap] minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan apakah langkah yang diambil untuk membantu para penternak atau pengusaha lembu yang menghadapi masalah kemerosotan jualan lembu khususnya menjelang hari raya korban tahun ini sehingga 20 peratus.
Tuan Mohd Syahir bin Che Sulaiman [Bachok] minta Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri menyatakan apakah tindakan proaktif yang telah diambil Kerajaan dalam tempoh 6 bulan yang lalu bagi menarik pelaburan berkualiti dan nyatakan kejayaan yang diperoleh setakat hari ini.
Tuan Hassan bin Saad [Baling] minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan usaha Kerajaan dalam menangani kekurangan stok beras tempatan yang berpunca daripada tangan-tangan kartel terutamanya di Kedah.
Dato’ Haji Abdul Khalib bin Abdullah [Rompin] minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan langkah strategik ke arah mengatasi isu bekalan beras tempatan sebagai makanan asas dalam negara.
Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man [Kubang Kerian] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim menyatakan:
(a) status terkini program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) bagi setiap negeri dan sejauh mana sasaran tercapai; dan
(b) adakah Kementerian menyediakan peruntukan tambahan serta mohon senaraikan mengikut pecahan negeri.
Dato’ Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal [Bukit Gantang] minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan perancangan strategi lautan biru bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi pembangunan semula Laman Changkat Jering yang pada pemantauan saya baru-baru ini September 2023, bangunan ini terus terbiar, bumbung dan syiling semakin rosak teruk, pendawaian elektrik sudah tidak selamat dan bangunan menjadi sarang kelawar, burung merpati dengan dipenuhi najis tercemar. Adakah kelulusan RM 2 juta oleh YB Menteri Pertanian dan Industri Makanan pada 9 Ogos 2020 yang lalu dan pelawaan tawaran tender pada 14 Oktober 2022 sebelum ini boleh dipertimbang dan dibuka semula oleh Kerajaan Madani.
Datuk Haji Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim [Kuala Terengganu] minta Menteri Ekonomi menyatakan:
(a) jumlah peruntukan RM750 juta di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang disalurkan untuk Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN); dan
(b) senarai projek yang telah berjaya dilaksanakan di bawah inisiatif tersebut terutamanya di Kuala Terengganu.
Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan [Merbok] minta Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri menyatakan:
(a) jaminan Kementerian dalam memastikan FDI/DIA tidak terjejas dengan ketidaktentuan ekonomi negara; dan
(b) sejauh manakah pencapaian Program Misi Galakan Perdagangan dan Pelaburan (TIM) untuk pelabur baharu.
Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi [Tumpat] minta Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri menyatakan usaha Kerajaan dalam mengembalikan integriti dan kredibiliti di mata pelabur dan rakyat apabila trend penarikan balik secara berkelompok dan berturut-turut pendakwaan kes-kes berprofil tinggi termasuk kes yang telah sampai kepada peringkat prima facie. Ini telah merosakkan imej sistem perundangan dan kehakiman negara kerana ia dilihat bertentangan dengan usaha meningkatkan integriti yang dilaung-laungkan sebelum ini. – HARAKAHDAILY 19/10/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!