Perangi kartel berkuasa besar tentukan harga barang

Tuan Guru Abdul Hadi Awang
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberi perhatian terhadap kartel dalam menentukan harga barangan keperluan asas rakyat.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan apakah pelan komprehensif bagi jangka pendek dan jangka panjang kementerian dalam memerangi kartel yang berkuasa besar dalam menentukan harga barangan keperluan asas rakyat.

Beliau yang juga Presiden PAS mengemukakan soalan itu pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Berikut ialah soalan daripada ahli-ahli parlimen PERIKATAN NASIONAL yang disenaraikan, hari ini.

Dato’ Rosol bin Wahid [Hulu Terengganu] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan perkembangan terkini terhadap perancangan mengadakan Kempen Beli Barangan Malaysia secara mega sebagai usaha memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana terutama dalam situasi perniagaan berdepan cabaran kemelesetan ekonomi.

Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz [Tanah Merah] minta Perdana Menteri menyatakan sejak awal tahun ini berapa jumlah kerugian dan berapa ramai yang menjadi mangsa scammer.

Tuan Hassan bin Saad [Baling] minta Perdana Menteri menyatakan usaha menaik taraf perkhidmatan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daripada segi jumlah anggota, logistik serta elaun anggota sukarelawan.

Dato’ Ahmad bin Saad @ Yahaya [Pokok Sena] minta Perdana Menteri menyatakan peranan JAKIM dalam melakukan usaha sama bersama Kementerian lain khususnya Kementerian Kesihatan dalam membendung aktiviti songsang seperti gay dan lesbian yang semakin membarah dalam masyarakat.

Dato’ Khlir bin Mohd Nor [Ketereh] minta Menteri Pertahanan menyatakan sejauh manakah perkembangan industri pertahanan yang telah diwujudkan satu ketika dahulu dan apakah projek-projek yang sedang berjalan di bawah industri pertahanan ini.

Tuan Shaharizukirnain bin Abd. Kadir [Setiu] minta Menteri Luar Negeri menyatakan pelan tindakan Kementerian bagi mempertahankan kedaulatan maritim negara dalam konflik pertindihan tuntutan Laut China Selatan melalui platform undang-undang antarabangsa.

Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman [Sik] minta Perdana Menteri menyatakan keberkesanan modul program MyInsaniah yang dilaksanakan oleh JAKIM sebagai usaha bagi memantapkan program penghayatan Islam dalam kalangan remaja dan belia.

Tuan Zakri bin Hassan [Kangar] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan penjelasan mengenai usaha-usaha untuk menyediakan kemudahan tinju di beberapa Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di seluruh negara.

Tuan Muhammad Ismi bin Mat Taib [Parit] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan bilangan projek- projek perumahan mampu milik di seluruh negara yang sedang dirangka oleh Kementerian dalam masa terdekat ini.

Kapten Dato’ Dr. Zulkafperi bin Hanapi (Bersara) [Tanjong Karang] minta Menteri Luar Negeri menyatakan kepada Parlimen tentang persetujuan perjanjian Ambalat antara Malaysia dan Indonesia yang telah diselesaikan serta menerangkan kepada Parlimen apakah bentuk kerjasama antara Kerajaan Indonesia di bawah PERTAMINA dan PETRONAS bagi Malaysia dalam usaha cari gali di Ambalat seperti mana yang disiarkan oleh media Indonesia.

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kasim [Arau] minta Menteri Pertahanan menyatakan usaha-usaha penambahbaikan dan modenisasi pertahanan yang dilakukan oleh Kementerian sebagai langkah memperkukuhkan kedaulatan negara.

Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas [Mersing] minta Perdana Menteri menyatakan adakah wujud usaha untuk mengkaji semula keseragaman cuti mingguan, cuti awam, dan cuti khas yang membabitkan sektor awam dan sektor swasta di peringkat Persekutuan dan Negeri-Negeri seluruh negara.

Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff [Rantau Panjang] minta Perdana Menteri menyatakan projek dan berapakah peruntukan untuk Negeri Kelantan yang dilaksanakan dalam tahun 2023.

Tuan Wan Razali bin Wan Nor [Kuantan] minta Perdana Menteri menyatakan:

(a) bilangan pelarian etnik Rohingya dan negara-negara lain di Parlimen Kuantan termasuk yang mempunyai dokumen dan tanpa dokumen UNHCR; dan

(b) tindakan Kerajaan mengawal pergerakan mereka dalam sektor sosial seperti masalah salah laku dan sektor ekonomi seperti penglibatan dalam perniagaan.

Tuan Hassan bin Saad [Baling] minta Perdana Menteri menyatakan usaha Kerajaan dalam menaikkan elaun guru KAFA kepada RM1500 dan nyatakan pelan tindakan Kerajaan untuk menambah bilangan guru-guru KAFA dalam mendidik anak bangsa.

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan bagaimanakah Kerajaan mengawal kenaikan harga barang-barang yang dilihat semakin hari semakin meningkat, yang mana ianya amatlah membebankan rakyat diketika ini dan apakah faktor yang menyebabkan kenaikan harga barang ini.

Kapten Dato’ Dr. Zulkafperi bin Hanapi (Bersara) [Tanjong Karang] minta Perdana Menteri menyatakan pendirian Kerajaan mengenai isu had umur persaraan pegawai perkhidmatan awam berikutan beberapa usul yang dibuat oleh beberapa pihak yang mahukan had umur tersebut dinaikkan daripada 60 tahun kepada 65 tahun. Adakahkah langkah ini akan membebankan lagi tanggungan Kerajaan dan membantutkan hasrat Kerajaan Madani dalam usaha mengecilkan kakitangan perkhidmatan awam.

Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin [Tangga Batu] minta Menteri Pertahanan menyatakan penjelasan tentang status terkini kerja projek membaik pulih bekalan air di Kem Terendak dan bilakah projek ini dapat disiapkan sepenuhnya.

Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary [Pengkalan Chepa] minta Perdana Menteri menyatakan:

(a) status terkini Lembaga Tabung Haji (LTH) yang masih mengalami kesukaran untuk menyelesaikan isu pelaburan RM600 juta sukuk di dalam Menara ABS Bhd (MABS) dan pelaburan hartanah di luar negara seperti di Arab Saudi; dan

(b) usaha-usaha yang sedang dijalankan oleh LTH bagi mengatasi perkara ini dan adakah pelaburan-pelaburan ini akan memberikan kesan negatif kepada keuntungan keseluruhan LTH seterusnya pembayaran dividen untuk tahun kewangan 2023.

Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Mohd. Yassin [Pagoh] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan sejauh manakah komitmen Kerajaan dalam mempertahankan kebebasan bersuara dan kebebasan media, mengambil kira pelbagai sekatan yang berlaku yang disifatkan sebagai bercanggah dengan janji-janji reformasi Pakatan Harapan sebelum ini.

Dr. Siti Mastura binti Muhammad [Kepala Batas] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan:

(a) adakah inisiatif Jualan Rahmah membantu rakyat dan perincikan keberkesanannya; dan

(b) adakah pihak Kerajaan bercadang membuat kekerapan Jualan Rahmah sebulan sekali di setiap DUN dan Parlimen di Pulau Pinang.

Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman [Kuala Krai] minta Perdana Menteri menyatakan adakah pihak Kerajaan bercadang menyemak semula kadar potongan sewa kuarters berdasarkan gred gaji yang diamalkan sekarang kepada kadar semasa atau lokaliti serta jenis kuarters yang lama atau baharu, kayu atau batu dan mempunyai kelengkapan yang mencukupi dan tidak mencukupi.

Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman [Kuala Krai] minta Perdana Menteri menyatakan:

(a) apa sikap dan pandangan Kerajaan terhadap isu petisyen yang difailkan oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam usaha mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu terbatal dan tidak sah; dan

(b) sejauh mana tindakan proaktif Kerajaan Persekutuan bagi mengawal tindakan rakyat mencabar kuasa Badan Undangan Negeri daripada berulang pada masa hadapan.

Dr. Abd Ghani bin Ahmad [Jerlun] minta Perdana Menteri menyatakan pendirian Kerajaan Persekutuan dan langkah drastik yang telah diambil dalam kes Nik Elin Zurina binti Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha binti Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan yang mencabar kuasa Badan Perundangan Negeri untuk menggubal Undang-undang Jenayah Syariah di bawah Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

Tan Sri Haji Abdul Hadi bin Awang [Marang] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan apakah pelan komprehensif bagi jangka pendek dan jangka panjang Kementerian dalam memerangi kartel yang berkuasa besar dalam menentukan harga barangan keperluan asas rakyat.

Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin [Larut] minta Perdana Menteri menyatakan bagaimana sasaran Indeks Persepsi Rasuah di tangga 25 teratas dunia yang terkandung dalam ekonomi Madani boleh dicapai setelah adanya keputusan DNAA baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 18/10/2023

- Advertisement -