Muktamar: Pemuda tangguh jemput wakil kedutaan sokong zionis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Dewan Pemuda PAS Malaysia hari ini memutuskan untuk menangguhkan jemputan ke muktamar dewan itu kepada semua wakil kedutaan negara yang mengisytiharkan sokongan terhadap zionis Israel dalam konflik di Gaza.

- Advertisement -

Setiausahanya, Ustaz Hanif Jamaluddin berkata perkara itu dibuat atas dasar kemanusiaan dan sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin.

“Tindakan ini adalah suatu isyarat kami kepada negara-negara tersebut supaya berdiri atas dasar keadilan dan kemanusiaan.

“Kami mendesak agar negara-negara ini mula bersikap adil, rasional, dan tidak menjadi ‘bisu’ dan tidak ‘pejam mata’ atas jenayah perang yang dilakukan secara terbuka oleh Zionis Israel,” katanya dalam kenyataan media, di sini.

Menurut beliau, peristiwa konflik di Gaza sudah semakin meruncing, sehingga ke tahap yang tidak mampu digambar dek akal.

“Statistik kematian yang terus meningkat, dan kehancuran bangunan serta rumah kediaman akibat pengeboman berterusan tentera Zionis, membuktikan peperangan ini bukanlah sekadar isu geopolitik dan agama semata-mata.

“Hakikatnya, ia adalah soal nilai kemanusiaan yang mesti dipertahankan oleh semua pihak,” katanya.

Namun, kata Hanif, di saat pengeboman rejim Zionis Israel semakin rancak menyasarkan orang-orang awam termasuklah wanita dan kanak-kanak, masih terdapat negara-negara yang teguh berdiri di belakang mereka.

“Mereka menyatakan sokongan kepada Zionis Israel, seolah meredai pembunuhan dan genosid yang dilakukan ke atas warga Palestin di Gaza. Pemuda PAS menyatakan kekesalan terhadap negara-negara ini,” katanya.

Beliau berkata, Pemuda PAS akan selamanya berdiri teguh bersama rakyat Palestin, atas dasar keimanan dan kemanusiaan.

“Semoga Allah memberkati nyawa saudara-saudara seagama kami yang ikhlas jiwanya mempertahankan tanah air yang dijajah selama tujuh dekad,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/10/2023

- Advertisement -