Kuliah duha setiap Sabtu di Wisma PAS Kota Bharu

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS Kota Bharu mengadakan semula kuliah duha setiap minggu pada hari Sabtu di Wisma PAS Kota Bharu selepas terhenti selama tiga tahun akibat penularan wabak Covid-19.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, majlis yang ditunjangi Dewan Ulama PAS Kota Bharu itu bakal dinamakan Medan Ilmu Ustaz Khaidir Khatib.

Katanya, usaha itu merupakan salah satu inisiatif PAS kawasan untuk memperkemaskan serta memperkasakan lagi aspek tarbiyah dalam kalangan ahli PAS selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kalau hari Jumaat rakyat Kelantan menuntut ilmu di Medan Ilmu Jalan Dato Pati, jadi hari Sabtu mulai hari ini dan seterusnya PAS Kota Bharu mengadakan medan ilmu yang kedua.

“Yang dinamakan medan ilmu Ustaz Khaidir Khatib sempena seorang tokoh besar ulama di Kelantan,” katanya selepas pelancaran kuliah Dhuha sempena sambutan Maulidur Rasul di perkarangan Wisma PAS Kota Bharu di sini hari ini.

Ustaz Khaidir merupakan seorang tokoh politik Islam yang berasal dari Sumatera Barat dan mendapat pendidikan tinggi agama di sana dan berhijrah ke Kelantan sebelum Perang Dunia Kedua.

Beliau juga pernah terlibat dengan gerakan politik Islam di Indonesia,  manakala Di Tanah Melayu, beliau berkhidmat sebagai guru agama di Maahad Il Ihya as-Syariff, Gunung Semanggol.

Aktif terlibat dalam Hizbul Muslimin pada 1948 kemudian menyertai PAS pada 1954 dan dicalonkan bertanding di DUN Ulu Kelantan Barat pada 1959 dan menjadi wakil rakyat sehingga 1964.

Tokoh yang pernah menjadi pemimpin utama PAS Kelantan yang merintis konsep parti menguasai kerajaan yang diamalkan di Kelantan selain memperkukuhkan kedudukan PAS di negeri itu.

Bagi tujuan itu, Ustaz Khaidir selaku Pesuruhjaya PAS Kelantan dilantik sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Asri Muda dilantik pada 10 Mei 1964.

Antara sumbangan terbesar beliau ialah cadangannya agar Menteri Besar, Exco dan Adun membuat potongan gaji secara tetap dalam Dana Pendidikan Kelantan bagi membiayai pendidikan tinggi.

Antara pelajar yang dibiayai dari dana ini ialah Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman (bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan) dan Datuk Daud Mohamad (bekas Kadi Besar Kelantan). – HARAKAHDAILY 7/10/2023

- Advertisement -