Kelantan naik taraf kawasan padi luar jelapang

Foto daripada Facebook Ust Hj Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Beberapa tanah sawah di luar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) akan dinaik taraf sebagai kawasan penanaman padi dalam jelapang bagi meningkatkan pengeluaran beras tempatan di Kelantan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Agromakanan dan Komoditi Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata kira-kira 121 hektar sawah di Machang sedang diusahakan sebagai permulaan untuk program berkenaan tahun ini.

“Setakat ini Kelantan tidak berdepan masalah bekalan beras kerana kita mempunyai kawasan sawah yang luas dan dapat menampung keperluan penduduk negeri ini.

“Kita sudah ada kira-kira 26,000 hektar tanah sawah di bawah KADA namun kita mengambil pendekatan untuk meluaskan lagi perusahaan padi luar jelapang secara dua kali setahun memandangkan keperluan negara terhadap beras tempatan yang belum mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas Majlis Perasmian Sambutan Pesta Flora Negeri Kelantan yang disempurnakan oleh Sultanah Kelantan Nur Diana Petra Abdullah di Taman Perbandaran Tengku Anis, di sini malam tadi.

Pesta Flora Negeri Kelantan berlangsung selama lima hari bermula Rabu lepas sempena ulang tahun hari keputeraan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menampilkan pelbagai acara yang mengetengahkan keunikan florakultur negeri itu.

Mengulas lanjut, Tuan Mohd Saripudin berkata tahap kecukupan kadar sara diri (SSL) Kelantan dari segi hasil padi tahun lepas melebihi 200 peratus dan unjuran sama dijangka dapat dicapai tahun ini sekali gus membekalkan  beras mencukupi untuk rakyat Kelantan.

“Langkah memperluaskan kawasan penanaman padi juga adalah bagi menyahut seruan kerajaan yang meletakkan target SSL padi sehingga 75 peratus, maka kementerian meminta negeri-negeri yang ada kemampuan meningkatkan hasil terutamanya padi,” katanya.

Sementara itu, Tuan Mohd Saripudin berkata memandangkan pesta flora mendapat sambutan sangat menggalakkan, program berkenaan mungkin kembali dijadikan acara tahunan selepas kali terakhir diadakan pada 2012.

“Pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuk pertandingan landskap daripada 10 majlis daerah, gubahan bunga, bonsai, memasak ikan air tawar dan pameran. Kita menyasarkan 50,000 pengunjung hadir sepanjang pesta itu berlangsung,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -