Adun Lantikan daripada PAS cemerlang di Sabah

Dr Aliakbar Gulasan
- Advertisement -

PAS melebarkan sayapnya secara rasmi pada tahun 1986 di bumi Di Bawah Bayu sebagai sebuah parti massa dan gerakan dakwah.

- Advertisement -

Langkahnya terus dihayun walau menempuh pelbagai ujian dan cabaran bagi memposisikan diri dalam rencam politik Sabah yang dilatari kepelbagaian budaya, bangsa dan agama.

Kini usia PAS Sabah mencecah 37 tahun. Usia yang matang dalam melayari bahtera perjuangan dakwah dan siasah dalam politik Sabah.

Atas prinsip toleransi dan kebijaksanaan, PAS kini sebuah parti yang penting dalam arena politik Sabah pasca PRN ke-16 pada 2020.

Lembaran baru tercipta apabila Setiausaha PAS Negeri Sabah, Dr Aliakbar Gulasan mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dilantik pada 8 Oktober 2020.

Beliau mewakili PAS dalam Kabinet Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Tidak dapat disangkal PAS berada sebaris dengan rakan-rakan politik dalam GRS bagi melayari pentadbir kerajaan negeri.

Selayaknya Dr Aliakbar dipilih menduduki jawatan itu sesuai dengan latar belakang pendidikannya sehigga ke peringkat PhD dalam bidang Geografi Bandar.

Berpengalaman luas dalam pentadbiran sebagai pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) selama lebih 20 tahun dan aktivis masyarakat.

Pernah menjawat jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Koko Malaysia. Beliau juga Ahli Lembaga Pengarah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). Turut diamanahkan sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Hospital Pakar Kumpulan Medic Iman (KMI) Healthcare Tawau Sabah.

Segenap lapisan masyarakt amat mengenalinya sehingga ke peringkat umur kanak-kanak. Suatu masa ketika turun kelapangan bagi membantu pesakit lumpuh di sebuah perkampungan di Batu Sapi Sandakan, seorang kanak-kanak seusia 6 tahun menyapa YB Dr Ali.

Kanak-kanak itu memberitahu dia kenal YB Dr Ali dalam siaran TV RTM dalam satu program bersama masyarakat. Ini adalah secebis kisah di sebalik puluhan kisah lagi yang menarik bagi YB tunggal PAS di Sabah.

Tidak keterlaluan juga apabila ada netizen mengungkapkan YB PAS adalah ‘YB seluruh Sabah’. Mengapa demikian, mereka melihat sendiri kelibat YB Dr Ali sentiasa berada di mana-mana program rakyat.

Walapun ia hanya YB Dilantik dan menetap di Kota Kinabalu, namun susunan jadualnya meliputi segenap pelosok Sabah. Jadual padatnya tidak menghalang beliau terus berbakti kepada rakyat tidak kira kaum dan agama. Semuanya disantuni dengan penuh mesra.

Di mana ada bencana dan rakyat yang memerlukan khidmat sokongan dan bantuan, insya-Allah YB PAS ringan tangan untuk turun membantu mereka. Peruntukan selaku Adun Dilantik walapun tidak sebanyak yang diperolehi oleh Adun lain digunakan sebaik mungkin agar setiap ringgit sampai di pangkuan rakyat.

Bahkan sering kali menggunakan wang gajinya sendiri untuk tujuan murni berkongsi rezeki dengan rakyat.

Sandakan, Kota Kinabatangan, Beluran, Lahad Datu, Semporna, Tawau iaitu bahagian Pantai Timur dan Keningau serta Tenom di bahagian pedalaman Sabah adalah destinasi yang sering disantuni Dr Ali.

Manakala Pitas, Kota Belud, Kota Marudu, Beufort dan Papar yang kerap dilanda bencana banjir adalah daerah yang telah sedia tercatat dalam jadual pergerakan YB Dr Aliakbar.

Ada orang berkata, YB Dr Aliakbar bekerja seperti seorang menteri. Namun ia adalah amanah yang perlu dituntaskan demi rakyat.

PAS ingin membuktikan bahawa parti Islam itu sedia menjadi khadam kepada rakyat tanpa mengira latar belakang budaya bangsa dan agama mereka.

Biar rakyat merasai kerja buat yang dipersembahkan oleh YB PAS. Ia sekali gus menidakkan dan meneutralisasikan salah tanggap sesetengah pihak terhadap keupayaan YB PAS di Sabah.

Walau hanya seorang, YB PAS terus berkhidmat cemerlang bukan sahaja di lapangan bersama rakyat bahkan memainkan peranan penting dengan melontarkan idea dan pandangan bernas setiap kali berlangsung persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah.

Dipaparkan antara isu-isu mendasar yang pernah dibangkitkan oleh YB Dr Aliakbar dalam sidang DUN Sabah:

1. Menggesa agar isu-isu infrastruktur asas dan ekonomi rakyat menjadi agenda utama dalam pembangunan negeri selaras dengan slogan Kerajaan ‘Sabah Maju Jaya’ (SMJ).

2. Mengutamakan budaya kerja secara profesionalisma, cemerlang dan berintegriti dalam urustadbir Kerajaan di semua peringkat.

3. Meningkatkan usaha untuk memperkasa institusi agama Islam seperti Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS), Masjid dan surau serta NGO Islam bagi menyemarakkan lagi usaha dakwah dan khidmat kepada rakyat di negeri ini.

4. Mencari penyelesaian terbaik dalam usaha mengatasi dan membanteras kebanjiran pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah.

5. Usaha terbaik yang perlu dilakukan kerajaan dalam menangani isu rumah-rumah setinggan yang wujud di seluruh daerah di Sabah kerana ia menimbulkan pelbagai isu sosial yang kritikal.

6. Langkah dan strategi proaktif kerajaan agar agenda perpaduan dan penyatuan pelbagai kaum dan agama terus disemarak dan diperkasakan.

7. Kerajaan dan semua pihak perlu berganding bahu mencari penyelesaian tuntas bagi menangani isu pengangguran yang semakin serius dalam kalangan anak muda dan rakyat Sabah.

8. Menggesa Kerajaan Pusat agar semangat federalisma perlu dilunaskan terutama membabitkan hak dan kepentingan rakyat Sabah termasuklah pelaksanaan MA63 berdasarkan perlembagaan.

9. Meningkat dan menambah infra perubatan yang berteknologi tinggi  serta menangani isu kekurangan doktor pakar di Hospital Kerajaan di seluruh Sabah dalam usaha menigkatkan kualiti rawatan dan kesihatan rakyat.

10. Mengusulkan agar pihak kerajaan meningkatkan usaha agar institusi pendidikan di bawah pentadbiran kerajaan negeri dapat dimartabatkan sebaik mungkin bagi melahirkan generasi yang berilmu dan modal insan yang berkeupayaan menjadi elemen penting dalam pembangunan negeri pada masa akan datang.

Pelbagai pihak juga sering membuat kunjungan rasmi ke Pejabat YB bagi merapatkan hubungan dua hala. Antaranya ialah Persatuan Rumpun Bajau Sama Bandaraya Kota Kinabalu, Pertubuhan Seni Silat Gayong Serantau Malaysia, Persatuan Shantung Muslim Sabah dan Kelab Family Team serta kelab Bola Sepak dan kebajikan Sepanggar Sabah.

Selain memikul amanah sebagai seorang Yang Berhormat, YB Dr Aliakbar juga sentiasa berada di pentas-pentas ceramah dan kuliah agama di masjid-masjid, surau dan program-program keagamaan demi mendidik rakyat agar cintakan agama.

Prinsipnya adalah ingin membangunkan rakyat bukan sahaja secara fizikal tetapi spiritual juga perlu diperkasakan.

Pada 8 Oktober 2023 genap tiga tahun YB Dr Aliakbar menabur bakti selaku Adun mewakili PAS Sabah.

Sungguhpun beliau tidak mempunyai sebarang portfolio sebagaimana Adun lain dalam kerajaan negeri, namun beliau memanfaatkan kedudukan bagi membantu kerajaan negeri memacu pembangunan dan peduli rakyat.

Inilah bukti PAS berkeupayaan memimpin dan hidup susah senang bersama rakyat. Justeru PAS bersedia menawarkan lebih ramai pemimpin berwibawa sepertinya yang berpendidikan tinggi dalam pelbagai bidang bagi memacu pembangunan negeri. Biar rakyat menjadi saksi. – HARAKAHDAILY 7/10/2023

Penulis ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah merangkap Yang Dipertua PAS Sandakan.

- Advertisement -