Lynas: Kerajaan perlu ada pandangan daripada pakar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bersama enam orang ahli parlimen yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) mengunjungi Lynas Malaysia untuk mendengar berkenaan pengurusan unsur nadir bumi (Rare Earth Elements) di kilang mereka, hari ini.

- Advertisement -

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, Naib Presiden Lynas Malaysia, Datuk Seri Mashal Ahmad memberikan taklimat berkenaan perjalanan operasi serta menunjukkan fasiliti-fasiliti yang ada.

“Seperti dalam kenyataan saya sebelum ini di Parlimen, kerajaan harus mempunyai pandangan daripada pakar-pakar dalam setiap isu berkaitan Lynas,” ujarnya dalam hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Ini, katanya supaya apa saja keputusan yang dibuat, tidak akan merugikan negara dan rakyat untuk jangka masa panjang.

“Semasa lawatan ini juga, ia ruang kepada kami untuk menilai dan meneliti aspek pematuhan terhadap best management practices yang dijalankan di Lynas Malaysia,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau dan anggota JKPK lain bersetuju agar dapatan daripada pertemuan itu akan didokumenkan dan seterusnya dipanjangkan cadangan kepada pihak kerajaan. – HARAKAHDAILY 4/10/2023

- Advertisement -