LRA Tok Jaafar dimanfaat 20,000 akaun pengguna

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerja-kerja membina dan menyiapkan 15 telaga tiub dengan kedalaman 100 meter sedang giat dilaksanakan di Medan Telaga Kampung Tok Jaafar.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Dr Izani Husin berkata, 15 telaga tiub tersebut akan menghasilkan air mentah berkapasiti sebanyak 30 juta liter sehari (JLH).

Katanya, projek terbabit di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam Rolling Plan 2 Rancangan Malaysia ke-12 yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Tambahnya, projek tersebut dijangka siap pertengahan tahun hadapan.

“Projek terbabit melibatkan kos sebanyak RM80 juta terbahagi kepada dua pakej iaitu pakej 1 sumber air dan pakej 2 pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Tok Jaafar.

“Bagi pakej 1 membabitkan pembinaan telaga tiub sebanyak 15 dan proses pembinaan sedang berjalan rancak sekarang,” katanya di sini.

Manakala bagi pakej 2 proses reka bentuk oleh perunding bagi pembinaan LRA dengan menggunakan hasil sumber air daripada pakej 1.

Menurutnya LRA tersebut dapat dimanfaatkan 20,000 akaun pengguna di termasuk di Lembah Sireh, Kampung Tok Jaafar, Kampung Pintu Geng, Taman Guru, Bunut Payong, Bandar Baharu Tunjong, Salor dan kawasan sekitarnya. – HARAKAHDAILY 4/10/2023

- Advertisement -