Atlet Terengganu tidak sertai gimnastik wanita Sukma

Hishamuddin Abdul Karim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu tidak akan menyertai acara gimnastik wanita dan gimrama pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 disebabkan masalah pakaian tidak patuh syariah.

- Advertisement -

Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, sukan berkenaan memerlukan atlet memakai pakaian yang ketat dan menampakkan bentuk tubuh.

“Buat masa ini kita tak teruskan (sukan gimnastik). Kita tak akan berkompromi dalam perkara tersebut dan pendirian ini perlu dihormati,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Adun Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi, bertanya mengenai standard pemakaian menutup aurat yang ditetapkan kerajaan negeri pada setiap acara sukan dan program dianjurkan NGO.

Hishamuddin berkata, pihaknya mengggunakan pendekatan berhemah kerana untuk menguatkuasakan pakaian patuh syariah dalam kalangan atlet sukar dilaksanakan sepenuhnya.

“Kita membawa pendekatan mesra syariah sebagai langkah untuk melakukan perubahan dan proses itu perlu kepada pendidikan dan kesedaran kepada semua atlet.

“Kita tidak ambil pendekatan terus kepada enforcement. Sekarang lebih kepada proses pendidikan, memberi tempoh yang sesuai dengan pendekatan yang kita terokai,” katanya ketika ditemui pemberita di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri turut berusaha dalam beberapa segmen sukan termasuk basikal yang masih belum patuh syariah disebabkan perlumbaan basikal bergantung kepada safety.

Menurutnya ia juga terikat kepada undang-undang Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI).

“Jadi tidak semudahnya untuk kita terus menggunapakai, jadi kita akan sesuaikan mengikut keadaan daripada semasa ke semasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/10/2023

- Advertisement -