
KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris yakin dapat menarik kedatangan 300,000 pelancong ke Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, tahun ini.
Menurut beliau, seramai 141,487 pelancong direkodkan mengunjung tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara sehingga Julai lalu.
“Kita yakin mampu mencapai sasaran walaupun negeri bakal berhadapan dengan musim tengkujuh yang dianggap masa suram untuk aktiviti pelancongan,” katanya.
Jelas beliau, situasi suram itu tidak mempengaruhi Tasik Kenyir kerana tempat itu menjadi tumpuan kaki pancing pada musim tengkujuh.
“Ini kelebihan Tasik Kenyir kerana merupakan ‘syurga’ untuk kaki pancing setiap kali musim tengkujuh dan ia bakal memberi impak yang sangat positif kerana kebiasaannya tempahan rumah bot akan penuh sepanjang tempoh itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini, hari ini.
Terdahulu, ketika sesi soalan lisan, Adun Telemong, Mohd. Zawawi Ismail bertanya berapakah jumlah kehadiran pelancong ke Tasik Kenyir sejak kebelakangan ini dan apakah usaha yang dilakukan kerajaan negeri untuk merancakkan semula aktiviti pelancongan di lokasi tersebut.
Razali yang juga Adun Kijal memberitahu, kerajaan negeri juga meletakkan sasaran kedatangan satu juta pelancong ke Tasik Kenyir pada tahun 2024 melalui pelbagai aktiviti menarik yang akan dirancang.
Menurutnya, antara tarikan utama di Tasik Kenyir ialah kepelbagaian ekosistemnya yang menjadi tumpuan seperti gua batu kapur (Gua Bewah dan Gua Taat), air terjun (Lasir dan Saok) dan Gunung Gagau di Taman Negara.
Selain itu, katanya ada beberapa aktiviti untuk pelancongan sukan seperti kejohanan motor lasak, pacuan empat roda dan berbasikal turut diatur bagi individu yang meminati cabaran fizikal. – HARAKAHDAILY 4/10/2023











