Bonda Ustaz Kamarudin kembali ke rahmatullah

JASIN: Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek reda dengan pemergian bondanya yang tercinta, Fatimah Ibrahim akibat sakit tua.

Advertisement

Fatimah menghembuskan nafas terakhir pada usia 86 tahun di Hospital Jasin pagi tadi selepas empat hari dimasukkan ke wad.

“Doktor suspek lebih kepada jangkitan kuman yang banyak mengganggu organ dalam badan dia. Tapi sehinggalah malam tadi, nampak keadaan agak terkawal.

“Mungkin dengan faktor umur, sebab beliau umur dah masuk 86 tahun. Jadi doktor pun ada beritahu bahawa kesihatan dia dah sampai klimaks,” ujar beliau.

Tambahnya, beliau dan adik-beradik yang lain sudah bersedia untuk menghadapi kemungkinan itu walaupun dimaklumkan oleh doktor berkaitan perkara itu secara mengejut.

“Tapi dengan kesihatan dia sebelum ini pun kita rasa memang dia tak boleh pergi jauh. Jadi apa pun saya reda, adik-beradik saya pun reda dengan pemergiannya,” ujarnya kepada Harakahdaily hari ini.

Sementara itu Setiausaha Badan Perhubungan PAS Melaka, Asri Shaik Abdul Aziz yang hadir pada majlis pengebumian itu menzahirkan ucapan takziah kepada beliau sekeluarga.

“Saya mewakili Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail dan semua Ahli Jawatankuasa Badan Perhuhungan PAS Melaka merakamkan takziah kepada Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Datuk Kamarudin Sidek.

“Kita berharap Datuk Kamarudin dan seluruh keluarganya tabah menghadapi dugaan atas pemergian ibu yang tercinta. Semoga rohnya dirahmati dan diampuni,” ujarnya.

Jenazah disolatkan di Masjid Umbai dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Umbai sekitar jam 11.30 pagi tadi.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub, Bendahari PAS Melaka, Mohsin Ibrahim, Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Kintan Man, Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Zulhilmi Subuh dan pimpinan PAS setempat. – HARAKAHDAILY 3/10/2023