Ancaman harimau: MAIK agih makanan bantu Orang Asli

- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) melancarkan misi menghantar bantuan makanan bagi membantu penduduk Orang Asli yang terjejas akibat ancaman harimau.

- Advertisement -

Sumbangan makanan berkenaan dianggar sebanyak RM73,000 akan diagih kepada 304 isi rumah di Pos Bihai, manakala 185 lagi di Pos Belatim.

Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, bantuan makanan itu diedar bertujuan meringankan beban masyarakat Orang Asli di pos tersebut yang tidak dapat keluar bekerja.

Katanya, MAIK melahirkan rasa bimbang ancaman harimau yang merayau di penempatan mereka sejak lebih sebulan lalu sehingga membahayakan keselamatan penduduk.

“MAIK menerima permohonan bantuan bakul makanan dari Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Kelantan (JAKOA).

“Kita prihatin terhadap nasib mereka dan tidak sesekali meminggirkan masyarakat Orang Asli,” katanya yang juga Tengku Temenggong Kelantan selepas pelepasan penghantaran bantuan makanan di perkarangan lobi MAIK di sini, hari ini.

Menurutnya juga walaupun mereka (Orang Asli) berada jauh di pedalaman, MAIK dengan kerjasama agensi berkaitan akan memastikan bantuan bakul makanan sampai dengan segera.

Sementara itu, Pengarah JAKOA Kelantan dan Terengganu, Zarina Razlan merakam ucapan terima kasih kepada MAIK di atas sumbangan berkenaan.

Katanya, sumbangan bakul makanan daripada MAIK diharap dapat meringankan beban penduduk yang rata-ratanya bekerja sebagai pencari hasil hutan. – HARAKAHDAILY 3/10/2023

- Advertisement -